Recent Posts

February 21, 2009

Optimis vs Pesimis..


Assalamualaikum wbt...

Seumpama bulan dan matahari silih berganti menampakkan diri di malam dan siang hari, seumpama lelaki dan perempuan tercipta untuk saling melengkapi, begitu juga pahala dan dosa yang diberi untuk kita sama-sama insafi. Begitu hebat ciptaan tuhan yang menciptakan segalanya dalam keseimbangan untuk sama-sama kita rasai, dengari, perhati dan teliti.

Sungguh, setiap inci penciptaan dunia ini, tidak ada cacat cela dan lompongnya. Ianya hadir dalam pakej dan legasi yang sempurna dan bermakna. Sejak berzaman, Allah telah mengutuskan Rasul-rasul bersama dengan agama Allah itu membawa berita gembira dan kesejahteraan kepada umat manusia.

'Dan tidak kami mengutuskan rasul-rasul melainkan sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan...'
Surah Al-Kahfi, Ayat 56

Diturunkan wahyu yang berintipatikan janji Allah tentang ganjaran pahala yang berlipat ganda, balasan syurga kepada hamba-hambaNya yang taat, tentang darjat kemuliaan yang tinggi dan kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat serta keluasan rahmat Allah yang tidak terhingga ke atas hamba-hambaNya. Ini, mencetuskan rasa harapan dan optimis di kalangan umat Islam.

Namun, Allah menggandingkan juga berita-berita sebaliknya yang mengandungi ancaman dan amaran tentang janji Allah dalam pembalasan azab neraka untuk mencetuskan rasa bimbang dan takut atau pesimis di hati para hambaNya.

Norma ini memangkin dan memungkinkan keseimbangan berlaku di antara dua pengalaman rasa tersebut iaitu optimis dan pesimis. Natijahnya, mereka tidak terlalu optimistik sehingga mereka lupa daratan dan tidak terlalu pesimistik yang menyebabkan mereka kecewa atau putus asa.

Antara dalil kepada kenyataan di atas iaitu Allah mengalun dan mengadunkan kedua-dua unsur berita gembira dan amaran ialah :

'Katakanlah sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk ke jalan-Nya sebagaimana kepada orang-orang yang bertaubat'
Surah Ar-Ra'ad, Ayat 27

Tetapi, malangnya, antara wabak yang kian menular di dalam hati-hati orang Islam ialah Terlalu Optimis dengan pertolongan Allah sehingga lupa untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh seolah-olah, pertolongan Allah itu akan datang secara bergolek dan tiba secara melayang. Sesungguhnya, fenomena ini telah melanggari konsep tawakal yang sebenar. Konsep tawakal yang digarisbawahkan oleh Islam ialah berusaha bersungguh-sungguh sebagai muqaddimahnya, disusuli dengan doa serta diakhiri dengan redha dan tawakal kepada Allah sebagai pengakhirannya.

Mengambil Ibrah(Pengajaran) daripada apa yang berlaku dalam Perang Hunain, yang mana perasaan terlalu optimis untuk menang telah mengambil posisi dalam hati tentera Islam ketika berhadapan dengan Bani Hawazin dan Bani Thaqif, lantaran kekuatan dari segi bilangan tentera iaitu seramai 12 ribu orang yang akhirnya membuka sedikit ruang kepada pihak musuh untuk mengolah dan mengorak langkah untuk mengalahkan tentera Islam sehingga umat Islam terasa kesempitan. Namun akhirnya, Allah mengirimkan tentera yang tidak kelihatan sebagai satu bentuk pertolongan kepada umat Islam.

'Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur.'
Surah Al-Nahl,Ayat 78

Sebenarnya, antara manhaj untuk mendapatkan petunjuk Allah itu adalah dengan menuntut ilmu. Pemahaman dan penginterpretasian ilmu itu perlu dihadam dan dicernakan dalam kehidupan kita. Mata akan dapat melihat dunia dengan lebih jelas dengan kanta mata. Mata hati akan dapat melihat dunia dan akhirat dengan lebih jelas dengan ilmu. Ingatlah kita makhluk yang bermula dengan tidak mengetahui sesuatu pun, dan kita eksploitasikan segala nikmat yang diberikan sebagai cangkul untuk menggali ilmu Allah yang Maha dalam dalam eksplorasi kita mencari keredhaan Allah.

'Genggamlah dunia dengan ilmu, gapailah akhirat dengan ilmu, dan gapailah dunia dan akhirat dengan ilmu'

Tuntutlah ilmu, Pertolongan-Nya perlu dicari, Bukan dinanti.

Salam Jihad...

February 12, 2009

Bergelut Dalam Kemelut.



Assalamualaikum, tidak disangka wacana kehidupan yang cuba dinukilkan dari hari ke sehari kadangkala, tercoret juga kalimah kecewa dan hampa. Namun, apa jua episodnya, kudrat terpaksa juga diperkuat agar tidak tersekat. Azam dan iltizam harus terus ditanam. Walau sekencang manapun prahara dugaan cuba menggoncang iman, walau sekuat dan sehangat manapun ia menyengat ketaqwaan sebenarnya itulah menjadi indikator kepada sejauh manakah tahap keimanan kita.

'Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan , penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat'
Surah Al-Baqarah,ayat 214

Kita bersyukur kerana impak dari jerit perit mujahid-mujahid Islam terdahulu, Islam menjadi citra kehidupan dan Ad-Deen kita sehari-sehari. Setiap langkah kita di atas muka bumi ini, setiap gerak-geri, berjalan dan berlari, berbaring dan mendongak ke langit kita, setiap butir kalimah yang terpancur dari lidah kita, setiap saat ingatan kita, mimpi, kerisauan dan kebimbangan kita, setiap pandangan, pendengaran dan sentuhan kita, setiap butir yang masuk dan keluar dari batang tubuh kita, setiap detik darah yang mengalir dalam badan kita, kegembiraan dan kedukaan kita, walau di mana, ke mana dan bila sahaja kita bergerak, itu adalah manifestasi Islam dalam kehidupan kita. Walau disebat dan dihambat dengan mehnah dan tribunasi sekalipun tidak bisa melukakan keimanan kita secoret walau.

Usah kita bertolak ansur dengan tipu daya dunia sehingga akhirnya kita ditolak beransur-ansur. Tidak boleh tidak, kita terpaksa akur dengan percaturan hidup kita di dunia ini. Islam itu syumul, Islam itu Alamiah, Islam mempatrikan setiap inci kehidupan kita kepadanya, kerna itu kita secara jelas dan tuntas perlu larut dalam masyarakat, dan menelanjangkan kemungkaran dari manusia, dan mewarnainya dengan sinar Islam yang agung. Memang benar ia satu tugas yang berat bagi mereka yang takutkan celaan dan tidak percaya dengan janji Allah.

'Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui'
Surah Al-Baqarah, Ayat 216.

Jadilah kita umat yang mobilis, bukan pasif, beku, kaku dan senang dipaku. Adakah kita lupa? Kita pernah memacu hampir dua pertiga dunia suatu ketika dahulu, Insyaallah Allah akan bersama-sama dengan kita dalam perjuangan.

'...jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir'
Surah Yusuf, Ayat 87.

Dikala banyak fitnah dilemparkan kepada umat Islam mutakhir ini, tersingkap lompong yang menyerlahkan keindahan Islam yang sebenar. Antaranya, penyebaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW yang memarakkan kemarahan umat Islam seluruh dunia sebagai contoh, telah menarik ramai pihak untuk mengenali, siapakah insan mulia yang bernama Muhammad ini sebenarnya berbanding sebelum ini yang mungkin langsung tidak kenal siapa dia Muhammad SAW. Ketika krisis ekonomi yang begitu nazak di Amerika dan terpalit ke seluruh dunia sekarang ini umpamanya, membuka mata pakar-pakar ekonomi dunia untuk mengkaji sistem ekonomi Islam yang dilihat mampu menyelamatkan ekonomi dunia kini.

Kita mahu melahirkan ilmuan tersohor seperti Imam Ghazali dan Saidina Ali bukannya golongan artisan seperti Elvis Presley. Kita mahu melahirkan ulama yang agung seperti Imam Bukhari bukannya seperti Mariah Carey. Kita mahu lahirkan mujahid seperti Imam Hassan Al-Banna bukannya penyayi barat Rihanna. Kita mahu pemimpin yang bertaqwa seperti Al-Farouk bukannya seperti Kamal Altartuk yang terkutuk. Kita inginkan manusia yang tawaduk seperti Al-Razi bukannya seperti Nicolas Sarkozy yang angkuh.

Salam Perjuangan...