Recent Posts

March 07, 2009

Siapa Gatal, Dialah Menggaru...


Assalamualaikum...

Biarlah kerangka post saya kali ini, dimulakan dengan permohonan maaf dari hati kecil saya, kerana pemilihan tajuk post kali ini, yang mungkin sedikit kasar bunyinya, tetapi saya ingin meletakkan pengkonotasian tajuk ini pada premis yang lebih tepat dahulu. Saya ingin menjuzukkan tajuk ini berkenaan segolongan manusia yang merasa lebih senang menjadi hidupan parasit kepada hidupan orang lain. Hidupnya menumpang kesenangan orang lain, bahkan menyusahkan kehidupan orang lain pula.

Siapa yang tidak mahukan kejayaan? Satu pendustaan yang besar siapa yang mengatakan tidak mahu kejayaan. Walau sedikit dan sediskrit manapun kejayaan itu, memberi satu bentuk kepuasan terhadap seseorang. Sebenarnya, post ini sebagai satu unjuran terhadap enigma yang setelah sekian lama berkampung dalam daerah pemikiran saya. Secara konseptualnya, ianya berkenaan dengan sifat segelintir manusia yang suka berhibernasi dalam hidupnya. Lesu ,lembap, tidak bermaya bagaikan tidak diberi makan sebulan. Suka bergantung dengan usaha orang lain untuk mencapai matlamatnya bagaikan monyet-monyet di hutan yang bergayut dari satu dahan ke dahan yang lain untuk pergi ke destinasinya.

Memang fitrah manusia mengharapkan pertolongan orang lain, tapi tidaklah sampai pertolongan itu tiba dalam keadaan kita hanya berpeluk tubuh, bergoyang kaki dan berpangku tangan. Saya ingin mengikat subjek perbincangan ini dengan beberapa contoh kehidupan orang lain , Nelson Mandela seumpamanya, nama seorang pemimpin yang gah namanya di mata dunia. Walau hampir 27 tahun hidupnya dihabiskan di dalam jeriji besi yang kecil, tetapi mempunyai semangat dan personaliti yang besar di mata masyarakat."..pernah dikencing dan diludahi di kepalanya oleh penjaga penjara tersebut.." Siapa sangka seorang yang pernah dianggap perderhaka, dilayan hina di dalam penjara sehingga pernah beliau digantung dengan keadaan kepala di bawah, kaki di atas bahkan pernah dikencing dan diludahi di kepalanya oleh penjaga penjara tersebut, namun pengalamannya itu menjadi minyak tanah yang membakar semangatnya untuk terus menentang amalan Apartheid di Afrika Selatan dan diangkat menjadi Presiden Afrika Selatan pada tahun 1994. Dan dengan sifatnya yang hebat, beliau telah menjemput penjaga penjara yang pernah melayannya dengan hina sebagai tetamu terhormat dalam majlis perlantikkannya sebagai Presiden. Beliau berkata kepada orang itu 'Terima kasih,perlakuan anda beberapa tahun silam telah menguatkan saya memenangkan perjuangan ini' .

Ianya membayangkan betapa kejayaan mereka bukanlah datang dengan hantaran dulang emas melalui laluan kapet merah dan kepada kita yang duduk diatas kerusi bertahtakan berlian dan permata. Tetapi kita sendiri yang perlu melalui sungai kepayahan, yang di dasarnya duri-duri cubaan dan dugaan, dan ditenggelami dengan arus kesempitan. Panahan cabaran itu pasti akan datang dari seantero sudut dan dimensi. BAWAH, ATAS, KIRI, KANAN, DEPAN, BELAKANG, UTARA, SELATAN, TIMUR, BARAT, LUAR & DALAM sekalipun kita kena bersedia untuk segala kemungkinan. Janganlah dengan sewenang-wenangnya, kita menswastakan segalanya-galanya di atas bahu orang lain. Seperkara lagi, biarlah kita mengucapkan 'terima kasih' dan penghargaan atas pertolongan mereka walau sekecil-kecil dan sekerdil-kerdil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.

'Dan barangsiapa mengkehendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan ia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik'
Surah Al-Isra', Ayat 19

Insyaallah, siapa mahu berjaya, dialah kena usaha. Siapa yang bersungguh-sungguh, dialah yang akan dapat. Kejayaan perlu dicari, bukan dinanti. NOKTAH.

Atas meja study,
Isnin, 9 Mac 2009,
3.21am.

March 06, 2009

Tidur Sebantal,Mimpi lain-lain...


Assalamualaikum..

Insyallah, tamsilan kali ini mungkin agak berbeza dengan nukilan-nukilan sebelum ini, nota yang akan dikepil dalam post kali ini lebih bercitrakan pandangan peribadi tentang beberapa episod hidup. Sebenarnya, saya pernah membuat sedikit perkongsian rasa dan bahasa melalui panggilan telefon dengan adik kesayangan saya yang kini sedang menelaah ilmu di Kolej Matrikulasi Labuan. Bukanlah satu perkara yang anomali menelefon adik saya, tetapi panggilan telefon pada malam itu sedikit mencuri ruang hati dan masa saya untuk berbicara lebih lama.


Seperti biasa soalan wajib, iaitu bertanya khabar diri, iman dan akademik membuka tirai diskusi. Kemudian, graf perbualan tiba-tiba meningkat secara eksponensial sejurus selepas adik saya melontarkan beberapa luahan pendapatnya tentang apa yang dilaluinya sejak kebelakangan itu.

Antaranya, sejak kebelakangan itu, beliau mendapat banyak taklifan (tugasan) yang datang mencurah-curah tanpa diundang. Walaupun berat, namun atas dasar tidak mahu menghampakan kepercayaan yang diberikan, beliau menerima dengan hati yang terbuka. Antara taklifan (tugasan) yang diberikan ialah menjadi pengarah Kem Penghayatan Islam, Festival Nasyid ditambah lagi dengan menjadi ahli dalam Lajnah Pustaka & Warisan Masjid, Ketua Mentor Mentee dan beberapa bebanan tugasan yang lain. Yang menjadi konflik diri bukanlah kuantiti taklifan yang dipikul, tapi, kualiti beberapa ahli yang begitu pasif. Inilah antara wabak yang biasa mengekstasikan sesebuah organisasi. Kuantiti yang ramai tidak menjanjikan kualiti yang bagus. Tidak ada segregasi antara pimpinan bawahan dan atasan dalam menjaga kepentingan organisasi, dan mencapai objektif yang telah dicanai dan dicanangkan. Mengapa kita selalu menjuzuk atau merujukkan kepentingan bersama hanya kepada orang atasan yang menjadi pengatucara untuk segalanya. Tidakkah kita dapat melihat dengan pandangan mata hati, sebenarnya ada ruang yang perlu kita tampung bersama pimpinan yang lain untuk terus menyokong tegak, tonggak organisasi supaya tidak senget sedikit walau.

Beliau juga ada mengklusterkan beberapa orang sebagai golongan yang terlalu bersifat stereotaip yang suka bertindak secara konvesional. Kekesalan ini bertambah apabila golongan ini terlalu pesimis terhadap idea-idea baru yang diutarakan oleh ahli organisasi yang lain. Sifat ini menjerebukan paradigma generasi pelapis yang bakal membarisi pimpinan di masa akan datang. Natijahnya, negara yang bakal dipacu akan bersifat rigid, kaku,beku dan lembap dengan lambakan-lambakan pemimpin yang muflis idea dan kebijaksanaan. Justeru, kita perlu membuka ruang berfikir seluas-luasnya kepada generasi sekarang agar generasi sekarang tidak mandul untuk menghasil dan melahirkan generasi yang bersifat dinamik di masa akan datang.

Wabak seterusnya, adalah golongan yang menjadikan organisasi sebagai talian hayat untuk mengejar populariti dan publisiti. Antara simptom-simptom kewujudan golongan ini, adalah petah melontarkan idea-idea ketika mesyuarat tetapi melatah tidak melakukan tugasan yang diberikan. Kalau ada pun, tugasan yang diamanahkan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh. Golongan ini juga seringkali menjawab soalan-soalan licik daripada rakan seorganisasi dengan jawapan yang cerdik namun akhirnya hanya sekadar polemik dan retorik semata. Antara indikator lain yang boleh dijadikan parameter untuk mengesan kerabat ini adalah dengan melihat frekuansi dan momentum gerak kerja mereka yang berkadar songsang dengan masa.

Seterusnya, kurangnya imuniti terhadap ralat persekitaran. Yang dikatakan ralat di sini adalah seperti komitmen terhadap akademik, urus diri, keluarga dan ancaman-ancaman daripada pihak atasan dan bawahan. Mereka seolah-olah diserang AIDS dalam berorganisasi. Kurang daya tahan terhadap ralat-ralat ini, sehingga mereka tersepit dan terkepit tidak mampu bergerak dan hilang arah tuju. Mereka menjadi mangsa keadaan dan menuding jari, menyalahkan organisasi yang menjadi virus, bertanggungjawab menjadikan sistem hidup mereka menjadi tidak menentu. Kurangnya kebolehan untuk menaakul kembali ralat yang diterima dan menggunakan segala kapasiti yang ada untuk membentuk satu sinergi baru yang dapat membetulkan semula ralat tersebut.

Begitulah, apa yang dapat disimpulkan, walau kita berpijak pada dunia yang sama, tapi kita kadangkala hidup dalam alam yang berbeza...

"Interaksi Memaparkan Kematangan"

Dari meja penekan keyboard,
3.12am.

Wassalam.