Recent Posts

January 31, 2010

Tragedi 80an.

Dasawarsa 80an adalah transisi arah aliran ekonomi dan politik negara apalbila pada tahun 1981, Dr Mahathir telah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Hussien Onn. Mahathir telah menukar arah orientasi ekonomi daripada pertanian kepada perindustrian serta memulakan beberapa langkah baru dalam pentadbiran. Antara perubahan yang dilakukan ialah Dasar Pandang Ke Timur, Penerapan Nilai-Nilai Islam, bersih, cekap, amanah dan Kepimpinan Melalui Tauladan.

Anwar Ibrahim pernah disenaraikan pemikir ke-32 dunia.

Era Mahathir Mohamad, pelbagai isu dan peristiwa telah mempengaruhi gerakan mahasiswa, antaranya kemasukan Anwar ke dalam UMNO pada tahun 1982, tangkapan ISA terhadap pimpinan-pimpinan pemuda PAS pada tahun 1984, peristiwa Memali pada tahun 1985, Operasi Lalang pada tahun 1987, perpecahan UMNO pada tahun 1988, isu pengganguran dan pelbagai lagi isu yang membentuk perjuangan mahasiswa.

ANWAR KE DALAM UMNO
Kemasukan Anwar Ibrahim, seorang tokoh gerakan pelajar penghujung dekad 60an dan tokoh belia Islam pada dekad 70an dan awal 80an ke dalam UMNO telah menggemparkan negara. Riuh gegar peristiwa ini terkesan sehingga ke luar negara, bahkan telah membawa perpecahan kepada barisan mahasiswa Islam. Anwar sememangnya menjadi harapan paling utama peserta kebangkitan Islam untuk memimpin PAS, gerakan Islam paling tua di negara ini. Karisma, aura kepimpinan, pengalaman dalam dan luar negara dalam pertubuhan belia Islam serta pernah mendekam beberapa kali di bawah ISA menyebabkan beliau sangat popular. Anwar semasa memimpin ABIM telah memanfaatkan ruang panggung pemuda dengan membina jaringan dengan dunia Islam, keterlibatan beliau dengan WAMY telah memperkenalkan beliau dengan Prof Ismail Faruqi, Tariq Qureishi, Tareq Suweidan, Sheikh Ahmad Zaki Hammad dan juga cendekiawan serta aktivis belia Islam dari rantau Asia Tenggara seperti A.M Fatwa (Indonesia).

Mahathir telah menghidu keupayaan Anwar Ibrahim untuk dijadikan regu politik beliau dalam memintas gelombang kebangkitan Islam yang menyebabkan anak-anak muda dan pelajar Universiti tidak bersama kerajaan, Anwar telah menerima pelawaan Mahathir dengan beberapa pertimbangannya yang tersendiri.

Dato' Asri (Presiden PAS) sebelumnya juga telah menawarkan tempat kepada Anwar dalam PAS namun ditolak oleh Anwar kerana hujahnya beliau belum cukup persediaan. Penyertaan Anwar ke dalam UMNO telah mendapat laluan yang mudah berbanding tokoh UMNO yang lain, beliau memenangi Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1982 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 1983 beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, pada tahun 1984 pula dilantik sebagai Menteri Pertanian, 1986 pula dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan kemuncaknya Anwar menduduki pos Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993.

Kemasukan Anwar ke dalam UMNO pada tahun 1982 telah dibahas panjang dan menyebabkan perpecahan kepada Gerakan mahasiswa Islam, dan juga ABIM sebuah gerakan Islam yang ditubuhkan oleh Anwar sendiri.

GENERASI HARAKI DAN FENOMENA HAJI HADI
Berbanding dengan dekad 1970an, generasi kebangkitan Islam pasa dasawarsa 80an lebih terurus daripada sudut tarbiyah harakiah. Ini adalah akibat daripada kemunculan ramai tokoh ulama muda dari Timur Tengah yang mendapat pentarbiahan daripada Ikhwan secara langsung. Setiap gerakan pula semakin menunjukkan komitmen untuk mengkaderkan ahli-ahli baru serta merancakkan persiapan fikrah dalam pergerakan masing-masing.

Tuan Guru Haji Hadi Awang di Dublin

Awal dekad ini juga disoroti dengan 'fenomena Haji Hadi', seorang ulama muda yang karismatik serta mempunyai pakej kepimpinan yang memukau anak-anak muda peserta kebangkitan Islam. beliau mendapat pendidikan tinggi dati Timur Tenagh (B.A. Madinah dan M.A. daripada al-Azhar) merupakan anak kepada tokoh Hizbul Muslimin Terengganu, Haji Awang Muhammad. Keberadaan beliau di Timur Tengah telah mendedahkan Abdul Hadi kepada tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Professor Muhammad Al-Wakeel dan Said Hawwa serta tokoh-tokoh Ikhwan yang lain. Kebolehannya berpidato yang membakar semangat untuk kembali kepada jaran Islam serta perawakan yang meyakinkan menyebabkan beliau berjaya mengisi ruang yang luas dalam fenomena kebangkitan Islam di negara ini. Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam usianya yang muda telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan menjadi ikon kepada generasi haraki di kampus dalam dan luar negeri dalam dekad 80an.

Gerakan mahasiswa juga sering menjemput beliau menyampaikan ceramah-ceramah agama di universiti seperti di UM yang pernah menjemput beliau sebanyak tiga kali untuk menyampaikan ceramah di Dewan Tunku Canselor. PAS pula yang mendapat faedah yang paling banyak daripada kebangkitan Islam yang berlaku telah mengalami transformasi kepimpinan iaitu daripada kumpulan Dato' Asri kepada kepimpinan ulama berikutan daripada usul yang diluluskan oleh Muktamar Pemuda PAS Pusat pada tahun tersebut.

Kesimpulannya, peristiwa-peristiwa hitam dan putih yang berlaku ini, sedikit sebanyak mematangkan kita dalam berpolitik dan memumaizkan masyarakat dalam mencari nilai hidup yang sebenar walaupun disamari dengan kezaliman dan ketidakadilan yang dituangkan dari cara hidup yang tersasar dari syariat Islam yang sebenar.

January 29, 2010

Pengaruh Dunia terhadap Gerakan Mahasiswa

Beberapa Potret Mahasiswa menggoncang dunia.

Assalamualaikum wbt, dulu kita pernah belajar, tenaga tidak boleh dicipta dan dimusnahkan, tetapi boleh dipindahkan ke bentuk yang lain. Tidakkah kita pernah terfikir, bagaimana gerakan Mahasiswa tempatan mendapatkan tenaga sinerginya? Dari mana kesedaran untuk memperjuangkan sesuatu ideologi itu wujud? Apakah hukum tenaga tidak boleh dicipta dan dimusnahkan itu boleh diterimapakai dalam menterjemah jalur dan citra gerakan mahasiswa di negara kita? Sudah tentu, jawapannya YA! Terlalu banyak peristiwa yang menggemparkan dunia yang gelombangnya boleh dirasai sehingga ke Malaysia yang sedikit sebanyak menggerakkan modus operandi gerakan ini untuk tidak ketinggalan dalam arus perubahan untuk menyahut trompet kebangkitan dan perubahan yang telah ditiup oleh hero-hero dunia sebelum ini.

Revolusi Iran
Revolusi Iran adalah salah satu peristiwa besar pada abad 15 hijrah yang menyaksikan kemunculan kuasa baru yang bangkit mencabar Barat di mana gerakan pelajar adalah elemen terpenting yang menjayakan revolusi ini. Iran daripada sudut sejarahnya adalah tapak kepada kerajaan Parsi yang telah membina tamadunnya yang tersendiri. Iran yang mempunyai kekayaan hasil gas petroleum telah berkocak akibat kebangkitan kaum pelajar menumbangkan Shah Iran yang didokong oleh Amerika Syarikat. Revolusi ini dengan pantas telah menjadi bahan berita penting dalam permulaan abad 15 Hijrah serta memberikan impak yang besar kepada dunia Islam terutama di kampus-kampus universiti apabila Iran berusaha untuk mengeksport idea-idea revolusi ini kepada anak-anak muda terpelajar.

Shah Iran

Pencerobohan ke atas Afghanistan
Pada tahun 1979, dunia telah dikejutkan dengan pencerobohan kuasa komunis Soviet ke atas bumi Afghanistan. Peristiwa ini telah mengundang simpati dan amarah umat Islam seluruh duniamalah dianggap sebagai penyumbang kepada kebangkitan umat Islam apabila media memaparkan pembantaian, kekejaman di luar batas kemanusiaan terhadap umat Islam Afghanistan yang telah sedia ada dalam kedaifan sebelum ini. Kesan semerta daripada penjajahan ini ialah berbondong-bondong pemuda Islam dari seluruh dunia tertumpu kepada gerakan jihad membebaskan bumi ini. Pelajar-pelajar universiti di Algeria pada musim cuti semester telah datang memangku senjata, begitu juga dengan kehadiran seorang pensyarah universiti, Dr Abdullah Azzam yang telah menjadi mentor kepada pelajar-pelajar universiti di Timur Tengah. Beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi kepada perjuangan jihad di Afghanistan dan beliau akhirnya telah mati dibunuh dalam satu serangan bom yang dipasang pada keretanya oleh pihak CIA.
Dr Abdullah Azzam

Insyallah, kita akan cuba menelusuri lagi beberapa peristiwa sama ada di peringkat global ataupun tempatan yang telah menjadi katalis kepada perjuangan mahasiswa supaya kita terpanggil dengan seruan untuk menegakkan keadilan di muka bumi ini. Ingatlah, menegakkan keadilan di muka bumi ini bukanlah seperti 'menanti hujan naik ke langit'. Cuma, Ianya menagih sedikit keberanian dan kesabaran.

Mereka Dalam ICU??

Assalamualaikum. Saya tidak pasti samaada tajuk atau entri yang saya pilih ini sudah lapuk ataupun sudah usang usianya, kerana ianya berkait rapat dengan PRU yang ke-12 yang telah berlalu lebih kurang dua tahun yang lepas. Tetapi, atas dasar wacana ilmiah, apa salahnya kita duduk bersemuka di layar maya internet untuk mencambahkan pemikiran kita.

Berdasarkan posmortem kendiri yang saya lakukan, termuntah beberapa alasan daripada kotak minda saya yang akhirnya mencetuskan tajuk seperti tertera di atas.Antaranya :
  1. Pertama, kerajaan BN Abdullah kehilangan empat kerajaan negeri di samping Kelantan.
  2. BN Pulau Pinang pimpinan Abdullah kehilangan Kerjaan Negeri Pulau Pinang.
  3. Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan lima kabinetnya (termasuk dua presiden parti komponen BN) tewas dalam PRU 12.
  4. Kerajaan BN pimpinan Abdullah gagal menunaikan janjinya untuk mengurangkan rasuah dan kronisme.
  5. Kerajaan BN pimpinan Abdullah menimbulkan perpsepsi umum bahawa ekonomi Malaysia hari ini seolah-olah sedang diasak oleh sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.
  6. Malaysia pimpinan Abdullah yang menjadi pengerusi OIC dan NAM kelihatan tidak memberikan perjuangan yang berkesan di pelantar antarabangsa.
  7. Kerajaan BN pimpinan Abdullah menggula-gulakan rakyat jelata dengan projek-projek koridor mega yang trilion ringgit kosnya semata-mata untuk menutup kesilapan besar akibat pelancaran WPI.
  8. Dan banyak lagi.
Itu adalah pemerhatian dari segi pencapaian yang boleh dihujahkan. Sekarang mari kita memerhati dan meneliti dari tona sejarah pula. Ingat!!! Sejarah tidak pernah menipu.

Hegemoni BN (sebelumnya Perikatan) selama 53 tahun kini mula berada di ambang berantakan dan pengecutan cengkaman, sebagaimana nasib kepada parti-parti senior di India (Parti Kongres) , GOLKAR di Indonesia, LDP di Jepun, PLN di Algeria. Parti-parti yang telah lama bergelumang dengan kuasa ini akhirnya mula ditolak oleh rakyat akibat kerakusan kuasa, penyelewengan , rasuah serta pelbagai sisi hitam yang lain. Biasanya dalam tempoh 50 tahun rakyat akan kembali menilai (revisited) tentang keupayaan parti-parti pemerintah manakala parti-parti oposisi akan kembali menawan hati rakyat sebagaimana yang berlaku di negara-negara membangun atau dunia ketiga. Di Mesir, contohnya, Ikhwanul Muslimin pada Disember 2005 telah berjaya memenangi 88 kerusi Parlimen di kawasan-kawasan bandar dan kawasan kelas menengah yang ramai. Regim pemerintah hanya masih berkuku di kawasan pedalaman yang disinonimkan dengan kemiskinan dan kejahilan.

Lambang Partai Keadilan Sejahtera (PKS)
Berasaskan Islam dan popular di kalangan Mahasiswa
dan kaum cendiakawan muda Islam.

Begitu juga di Turki, AK Parti telah menang di kawasan-kawasan bandar seperti Anatolia, Ankara, Istanbul dan kawasan-kawasan bandar yang lainnya di seluruh Turki. Begitu juga dalam pilihanraya di Pakistan baru-baru ini apabila parti oposisi telah memenangi kawasan-kawasan bandar di mana masyarakatnya lebih terdedah dengan maklumat. Sama juga di Indonesia, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) berkuku di bandar-bandar seperti Bandung.

Kini trend yang serupa telah berlaku di Malaysia, kawasan-kawasan bandar dan sub-bandar telah di menangi oleh Barisan Alternatif (BA) seluruhunya. Parlimen Wilayah Persekutuan daripada 13 parlimen, 11 daripanya telah dimenangi oleh BA. Parlimen bandar seperti Shah Alam, Kota Raja, Klang, Ampang, Gombak, Kuantan, Seremban, Kota Bharu, Kuching, Ipoh, dan Pulau Pinang. Secara keseluruhannya BA menguasai bandar-bandar di negara ini dan sudah tentu trend ini akan merebak ke luar bandar untuk tempoh lima tahun dari sekarang.

Kesimpulannya, apa yang pasti, walau apa pun yang bakal berlaku, kita perlu menyahkan banduan politik wang dari terus menjadi golongan ekspatriat dari terus memerintah negara, dan menyingkirkan mereka dari terus mengurat akarkan amalan-amalan jijik dan hina seperti kronisme, rasuah, mengongkong golongan lemah bermaharajalela dan menjadi Ad-Deen mereka. Nauzubillah..