Recent Posts

September 17, 2010

Menerobosi Budaya Politik Baru..

MENEROBOSI BUDAYA POLITIK BARU
Oleh Hasmadi Hasbi

Assalamualaikum wbt..

Nampaknya media massa sekarang sibuk melaporkan banyak kes jenayah seperti pembunuhan kejam Datuk Sosilawati dan 3 mangsa yang lain selepas dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010 yang lepas , pembunuhan kejam Ustazah Ishak bersama anaknya Amirul Ayman pada 3 Sept 2010, kematian Noraini Ahmad yang telah dirogol dan dibunuh kejam setelah ditemui dalam keadaan kepalanya cedera parah dan tangannya diikat dengan dawai pada 12 Ogos 2010 dan beberapa kes lagi dalam masa kurang 2 bulan.

Selain itu, media-media massa juga dipakejkan dengan perkembangan di sekitar Pemilihan 2010 Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pemilihan 2010 ini akan menyaksikan pemilihan pimpinan di peringkat Cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Satu perkembangan yang menarik untuk ditaakul bersama. Sesuai dengan aspirasi parti tersebut yang ingin menjadi sebuah parti yang lebih demokratik, ditambah lagi dengan kehadiran muka-muka muda yang dicalonkan untuk menduduki kerusi-kerusi yang dianggap kritikal dan panas.

Pemerhati-pemerhati politik mula menjadi ahli nujum dan tukang tilik membuat perkiraan siapakah yang bakal mengisi beberapa jawatan penting terutama dalam MPP. Tidak kurang juga ada tukang sihir amatur yang menggunakan pena ajaib mereka untuk membuat analisis dan spekulasi tersendiri dari sekitar proses pencalonan lagi. Ada yang berpendapat apa yang berlaku ini terutama kehadiran pemain muda bertanding bersama pemain yang dianggap lebih senior dan veteran dianggap satu krisis dan konflik sedang berlaku dalam PKR. Namun ianya hanyalah satu proses yang perlu kita lihat sebagai satu perubahan yang bersifat pragmatik, dan bukan perubahan yang didorong dengan tiupan sentimen feudalisme dan kronisme yang sudah out-to-date untuk disuaipakaikan dalam sistem masyarakat kita sekarang.

Masyarakat sekarang bukan lagi bacul, bahalul dan bangang seperti orang-orang yang primitif. Bezanya dulu yang lemah akan diperhamba dan mungkin hidup dalam sangkar besi yang gelap dan pengap, dan sekarang yang lemah, pemikiran mereka pula akan dirantai dan dipasung dgn pemikiran-pemikiran kolot dan kunoh seperti fahaman rasis dan perkauman, serta fahaman yang lain seperti komunisme, sosialisme, kapitalisme dan banyak lagi fahaman yang songsang dengan sekularisme sebagai ibunya.

Islam terbina dengan kekuatan hujah dan dalil. Kekuatan hujah (Matinul Hujjah) memberi kekuatan kepada umat Islam untuk mendokong Islam atas dasar aqidah. Manakala golongan sekular pula menggunakan kekuatan sebagai hujah (Hujjahtul Matin) untuk menjawab persoalan-persoalan dalam permasalahan kehidupan. Kekuatan polis dan tentera dijadikan hujah untuk menutup mulut para pejuang Islam. Berapa ramai pejuang Islam yang berdepan ancaman dan siksaan daripada pihak pemerintah yang menjadi barua musuh-musuh Islam. Contohnya Ayatollah Khomeini yang dipenjara pada tahun 5 Jun 1963 sebagai reaksi kepada pengisytiharan beliau yang menyatakan Shah Iran telah memulakan proses kehancuran Islam di Iran. Revolusi Iran yang berlaku pada tahun 1979 bukanlah berlaku kerana kekalahan dalam peperangan, krisis kewangan ataupun pemberontakan golongan bawahan mahupun tindakan ketenteraan seperti revolusi-revolusi lain. Revolusi ini berlaku dengan pantas dan berjaya menjatuhkan sebuah rejim yang dilengkapi dengan kuasa tentera yang kuat dan hebat yang akhirnya diganti dengan sistem teokrasi yang diundi berdasarkan tahap kemuliaan seseorang itu.

Di sekitar Pemilihan 2010 ini, saya cukup tertarik dengan idea yang berani dan berseni untuk membuka gelanggang debat di kalangan calon-calon untuk merebut beberapa jawatan penting dalam PKR. Pentas debat ini menjadi medan kepada calon untuk berkongsi aspirasi, fikrah serta agenda perjuangan mereka. Berbanding kaedah sebelum ini yang hanya berkempen secara satu sisi yang akhirnya akan menambah jurang diantara calon-calon. Sekurang-kurangnya, dengan pertemuan empat mata ini mampu membincang, mencadang dan akhirnya merancang perkara yang boleh membawa manfaat kepada semua pihak walau siapapun yang dinobatkan sebagai pemenang.

Rakyat dan masyarakat perlu dididik dengan kefahaman tauhid dan bukanlah dengan habuan duit. Mereka perlu ditarbiyyah dengan budaya politik baru yang lebih telus dan terurus, dan menekan kepentingan politik di dalam membentuk sebuah masyarakat yang lebih harmoni. kita tidak perlu terlalu mengagungkan pemimpin, kerana ianya tidak berkekalan, namun , dengan berbekalkan kefahaman fikrah dan pemahaman tentang kepentingan politik dalam kehidupan, kita mampu mencipta satu masyarakat yang lebih dihormati dan dirahmati.

September 14, 2010

Lain Padang, Lain Belalang..

LAIN PADANG, LAIN BELALANG
Oleh Hasmadi Hasbi

Assalamualaikum wbt, nampaknya kotak minda saya berbunyi lagi, dan skeleton tangan saya mula bergerak menekan papan kekunci laptop, sambil lensa mata menjeling skrin laptop . Begitulah bagaimana hebatnya kalau dapat kita analogikan kehidupan kita dalam sebuah masyarakat yang harmoni tanpa mengira perbezaan ideologi, fikrah politik, bangsa, pangkat dan agama. Umpama apabila kaki kanan tertendang batu, mulut menjerit kesakitan. Bagai tangan luka berdarah, mata yang mengalirkan airmata kesakitan. Apabila telinga mendengar, mulut senyap tidak berkata. Ketika telinga mendengar orang memberi salam, mulut menyambut salam sahabat. Saat gigi bengkak mengadu sakit, tangan menggosok memujuk supaya bersabar. Eratnya hubungan mereka umpama mata hitam dan mata putih.

Kita bermain di padang yang berbeza. Saya suka bermain di padang blog. Ada yang suka bermain di pentas politik. Namun walau padang apapun tempat kita bergelut dan bergelumang, pastikan ianya hanya kerana Allah. Umpama sungai dan terusan, semuanya mengalir ke laut. Bukan semua padang cantik dengan hamparan rumput yang menghijau.

Contohnya Prof Hamka, beliau bermain di padang keilmuwan dan keintelektualan, beliau menguasai pelbagai bidang seperti bidang tafsir, fekah, sejarah, politik hatta sastera. Namun, disebabkan terdapat beberapa gengsi yang tersentuh kepentingan, mereka mengisytiharkan perang fitnah sehingga Prof Hamka terkena peluru tuduhan 'kaum muda' dan 'Wahabi' terhadapnya. Samalah yang dihadapi oleh ayahnya Haji Rasul, pernah dituduh sesat, kafir, wahabi, kaum muda dan berbagai lagi. Prof Hamka menceritakan dalam bukunya yang bertajuk 'Ayahku' bagaimana ulama-ulama tua (istilah yang digunakan oleh Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916. Kedatangnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu.

Di zaman Nabi, semua sahabat ada padang dan bidang masing-masing, contohnya Khalid Al-Walid dengan bidang ketenteraannya, Abdul Rahman bin Auf dengan bidang perniagaannya dan Ibnu Tamiyyah dalam bidang tajdidnya.Tidak kurang di zaman-zaman yang lain, contohya Ibnu Sina dengan bidang kedoktorannya, Khalifah-khalifah agung seperti Harun Ar-Rasyid dan Umar Abd Aziz dalam bidang siasah.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, seorang sarjana Islam, meninggal dunia pada tahun 750 H, menyatakan 'Islam terbina atas dasar kebaikan dan kemaslahatan umat.' Justeru, tidak timbul alasan untuk kita mahu mengendong Islam yang kita cintai ini. Berkata Rib'i bin Amir kepada panglima tentera Parsi, Rostam ketika menyertai tentera Islam menentang tentera Parsi di zaman pemerintahan khalifah Agung Amirul Mukminin Umar Al-Khattab 'Allah dengan jawapan yang sangat hebat, "Allah menghantar kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Allah kehendaki daripada mengabdikan diri sesama hamba kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada dunia yang sempit kepada keluasan dunia & akhirat."

Marilah sama-sama kita membaca kisah-kisah lampau, bukan bermaksud untuk mengungkit kesalahan orang lain atau sebarang niat negatif lain, tetapi sebagai panduan dan peringatan untuk mereka yang masih hidup kerana para pelakon di pentas sejarah ini datang dan pergi, tetapi watak yang diwarisi tetap seiras. Bak kata Winston Chirchill, ' History repeats itself because no one was listening the first time.'

Kesimpulannya, biarlah di mana juga kita berada , akhirnya ianya membawa kepada Islam, biarpun kita bermain bola sepak di padang bola bersama kawan-kawan, jangan biarkan ianya terhenti di padang bola, tapi jadikanlah hubungan kita itu untuk mengembangkan syiar dan syariat Islam.

September 02, 2010

Kemenangan Syawal : Isu di Sebalik Wajah.


KEMENANGAN SYAWAL : ISU DI SEBALIK WAJAH
Oleh Hasmadi bin Hasbi



Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah sayugianya bulan Syawal merupakan bulan kemenangan kepada umat Islam setelah sebulan ditarbiyyah di dalam Universiti Ramadhan yang di dalamnya beruratkan pelbagai ibadah dan berakarkan banyak kewajipan sebagai alat bantu tarbiyyah rohani dan jasmani. Rasulullah bersabda :

"Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari keduanya, iaitu hari Raya Aidilfitri & Aidiladha"

Namun, ironinya, acapkali sambutan Aidilfitri dibobrokkan dengan beberapa amalan-amalan yang memarginisasikan umat Islam daripada merasai roh Syawal yang sebenar. Aidilfitri memberi tindak balas berantai kepada umat Islam, seperti kebiasaannya, di fasa-fasa terakhir Ramadhan, umat Islam sibuk mengimarahkan dan memakmurkan pusat-pusat membeli-belah berbanding masjid-masjid & surau-surau untuk merebut tawaran Lailatul Qadar yang dihadiahkan Allah kepada makhluknya.

Selain itu, bulan Aidilfitri juga dijadikan kempen 'Jom Membazir' di pusat-pusat membeli-belah dengan tawaran potongan harga mengiurkan dan mencairkan para pembeli berbanding bulan Ramadhan sebagai kempen 'Jom Bersedekah' terutama kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam hal yang lain, siaran-siaran televisyen dan radio juga mula mempakejkan rancangan-rancangan hiburan nyanyian,drama, dan movie yang mencerita dan memberitakan mesej yang kurang bermanfaat berbanding siaran-siaran yang mengetengahkan fadhilat Syawal serta laungan-laungan takbir memuji Allah.

Bulan Syawal juga seringkali dijadikan waktu untuk 'Lepas Geram' setelah sebulan berpuasa sehingga melupakan satu amalan sunat yang amat diseru oleh Rasulullah iaitu berpuasa enam hari dalam Bulan Syawal. Sabda Rasulullah :

"Sesiapa yang berpuasa di Bulan Ramadhan dan kemudian diikuti 6 hari di Bulan Syawal maka perumpamaannya seperti ia berpuasa sepanjang tahun"

Itulah antara beberapa study case yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita dalam menyambut kehadiran Syawal. Mungkin inilah juga yang berlaku kepada tentera Islam dalam peristiwa Perang Uhud yang tertipu dengan kemenangan yang juga berlaku dalam bulan Syawal.

Perang Uhud: Kalah dalam Menang
Peperangan yang memberi tamparan dan pengajaran yang amat bernilai bagi umat Islam. Umat Islam yang mendapat kemenangan yang besar pada awalnya tetapi bertukar menjadi kacau-bilau ditewaskan oleh tentera Quraisy dengan sekelip mata. Dinamakan Perang Uhud kerana peperangan ini berlaku di sebuah tempat yang dinamakan Uhud dan dikelilingi dengan bukit (Bukit Uhud) pada tahun 3 Hijrah. Pihak Kafir Quraisy begitu bernafsu untuk membalas dendam atas kekalahan mereka di Perang Badar tahun sebelumnya.

Rasulullah SAW telah memerintahkan tentera pemanah Islam supaya tidak meninggalkan posisi masing-masing walau apapun berlaku. Disebabkan terpedaya dengan banyaknya harta rampasan perang, maka mereka membelakangkan arahan Rasulullah SAW dan meninggalkan bukit untuk mengutip harta rampasan. Maka tentera kafir Quraisy berpatah balik dan mengambil mengambil posisi yang mereka tinggalkan dan mula menghujankan panah kepada tentera Islam yang sedang leka mengumpulkan harta rampasan perang. Kacau bilau tentera Islam dan banyak sahabat yang gugur syahid termasuklah Hamzah Asadullah, bapa saudara Rasulullah SAW.

Segera Rasulullah SAW menyusun semula tentera Islam dan berjaya menyekat kemaraan tentera kafir. Tamparan kepada umat Islam bagaimana kemenangan bertukar kekalahan di saat tak sepatutnya kalah. Pengakaran kepada para sahabat dan umat Islam seluruhnya bahawa kita perlulah sangat taat kepada Allah dan Rasul tidak cukup hanya dengan percaya sahaja.

Perang Khandak : Dalamnya Iman Umat Islam sedalam Parit Khandak
Perang Khandak telah berlaku pada tahun kelima Hijrah. Ia juga dinamakan dengan peperangan Ahzab. Khandak membawa erti 'Parit'. Nama ini diambil sempena peristiwa umat Islam bersama-sama Rasulullah SAW telah menggali parit di sekililing Madinah untuk menghalang tentera kuffar dari melanggar Madinah.

Dan dinamakan juga dengan peperangan Ahzab yang membawa erti 'bersekutu' kerana beberapa puak Quraisy telah bergabung termasuklah beberapa puak Yahudi telah membentuk satu pakatan tentera bersekutu untuk melanggar Madinah dan memerangi umat Islam. Peperangan ini berlaku pada tahun ke-5 Hijrah. peperangan ini berakhir dengan kemenangan tentera Islam dengan bantuan Allah SWT.

Perang Hunain : Menang dalam Kalah
Perang Hunain terjadi pada 3 Syaawal tahun ke-8 Hijrah, 15 hari setelah peristiwa pembukaan Kota Makkah. Selepas Perang Uhud, umat Islam sekali lagi telah mendapat pengajaran yang amat bernilai iaitu kuantiti bukan faktor utama kemenangan.

Semasa perang Hunain, diriwayatkan jumlah umat Islam yang turut sama ikut keluar berperang tidak kurang dari 10 000 dan tentera kuffar hanyalah 2 puak kecil yang masih degil menentang Islam (puak Hawazan & puak Tsaqif). Dengan jumlah tentera yang ramai, umat Islam sudah mula berasa bongkak dan takabbur sehingga lupa tentang pertolongan Allah SWT.

Allah telah menguji tentera Islam dengan jebakan (helah) tentera musuh dan tentera Islam telah masuk perangkap. Kacau bilau dan ramai yang melarikan diri. Tentera Islam terpaksa berundur dan menyusun strategi dan bertahan sehinggalah Allah SWT mengurniakan kemenangan untuk tentera Islam.

Kelahiran Imam Bukhari : Talian Hayat Hadis-hadis Rasulullah
RH Muhammad ibnu Ismail adalah nama sebenar Imam Bukhari RH. Beliau lahir di Bukhara, Uzbekistan pada tahun 194 H dan meninggal dunia pada 256H. Kitab beliau yang terkenal ialah Shahih Bukahri. Sehingga kini beliau masih menduduki carta tempat pertama 'Ulama Hadis Nombor Satu'.

Seluruh hidup beliau dihabiskan untuk mengkaji, menghafaz dan mencatit hadis-hadis Rasulullah SAW. Hadis-hadis yang diriwayatkan adalah hadis-hadis shahih.

Kesimpulan :
  1. Saya mulakan post ini dengan beberapa real case yang perlu kita sedar untuk menguji keabsahan supaya kita kaget dari kealphaan kita.
  2. Kemudian, saya susuli dengan beberapa rentetan sirah yang berlaku dalam bulan Syawal supaya kita mengambil pengajaran daripadanya.
  3. Setiap maudhu' (tajuk) peristiwa tersebut saya gandingkan beberapa naratif dan persoalan supaya mesej yang cuba disampaikan dalam setiap peristiwa itu dapat diterima dengan tegas dan jelas.
  4. Marilah sama-sama kita melombong makna kemenangan yang sebenar daripada penerokaan kisah-kisah Rasulullah, para sahabat dan pejuang-pejuang Islam yang terdahulu, dan kita coretkan kembali kemenangan itu pada masa kini.
  5. Sesungguhnya kemenangan Islam itu sesuatu yang PASTI , mahukah kita mencalonkan diri kita untuk menjadi salah seorang yang mencari kemenangan itu?

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin




Ikhlas Daripada :

Hasmadi bin Hasbi
Kejuruteraan Awam
Tahun 4 Semester 1
Universiti Teknologi PETRONAS