Penjajah sama ada British, Belanda, Perancis, Portugal, Itali telah melakukan modus operandi yang sama untuk menghalang alim ulama daripada menyuntik kesedaran bagi menentang penjajahan. Tindakan mereka ini samaada keras dan lembut sekurang-kurangnya telah berjaya melenturkan kebangkitan sebagaimana yang berlaku di banyak negara akibat daripada liciknya 'jerangkap samar' yang dipasang. Diantara langkah-langkah yang diambil ialah :
Mewujudkan Konflik Diantara Ulama
Penjajah Belanda telah mengambil peluang menyokong kaum adat dalam Perang Paderi yang dipimpin oleh Haji Miskin di Indonesia, di Tanah Melayu pula British telah menghasut istana supaya menghalang penyebaran idea golongan reformis Islam. Berselindung tentang bahaya Wahabi yang menentang khurafat dan bidaah yang sebenarnya mereka sangat takut kepada idea Pan Islamisme yang akan menjadi pemangkin kepada penentangan kepada penjajah.
Malangnya pula ada ulama yang berkonflik dalam perkara-perkara furuk sehingga melupakan perjuangan menentang penjajah, menghamburkan kata nista di antara satu sama lain bahkan telah mengheret masyarakat awam yang jahil sehingga keadaan semakin memburuk. Mereka bertempur bermati-matian tentang persoalan talkin, qunut, doa selamat, baca Al-Quran di atas kubur, merayakan maulid Nabi SAW, kedudukan jari ketika tasyahhud solat, berdiri untuk selawat dan hukum menyentuh anjing.
Perpecahan ulama dan masyarakat Islam diburukkan lagi dengan pertembungan Syiah dan Sunni di negara-negara umat Islam malah dengan sengaja dipertajamkan jurangnya oleh penjajah barat seperti yang berlaku di Lubnan, Iraq, dan Syiria.
Menghancurkan Kebangkitan Dengan Kekerasan
Kuasa Barat dengan teknologi yang mereka ada terutama teknologi peperangan telah menggunakan teknik kekerasan untuk menumpaskan sebarang bentuk penentangan terhadap mereka. Perancis di Morocco, Algeria dan Lubnan, Syria telah membantai pejuang-pejuang kemerdekaan tanpa belas kasihan. Dendam perang Salib mereka sangat mendalam dan menghiris, ulama-ulama diseret ke penjara padang pasir, disiksa sehingga menemui kesyahidan, ada yang mati di tali gantung seperti Sheikh Umar Mukhtar di Libya, dan ditembak mati seperti Tuan Guru Hassan bin Munas di Kelantan. Belanda meratah 200,000 nyawa rakyat Jawa dalam perang selama lima tahun di Indonesia.
Semasa serangan Perancis pada 25 Julai 1925 terhadap bumi Syria dengan kekuatan tentera seramai 60,000 orang, pembunuhan dan pembantaian adalah di luar garis kemanusiaan. Panglima perang iaitu Jeneral Gouraud mengumumkan "kematian seorang Perancis atau seorang Nasrani akan dibalas dengan pembalasan yang tidak kenal ampun, iaitu dengan bom dan kapal terbang"
Menyekat Bahan Penerbitan Ulama-Ulama Progresif
Ulama-ulama yang terpengaruh dengan idea-idea Islah dan tajdid yang dikemukakan oleh Sheikh Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh, Rashid Redha juga aktif menyebarkan idea melalui wacana penulisan seperti buku-buku, akhbar dan majalah. Diantaranya seperti Urwathul al-Wuthqa' yang hanya mampu dikeluarkan sebanyak 18 keluaran sahaja, majalah ini diharamkan oleh penjajah untuk beredar di Mesir, India, dan Iran.
Halangan-halangan kepada bahan penerbitan oleh kelompok Pan Islamisme juga berlaku di negara seperti Indonesia,, Tanah melayu, Algeria, Lubnan, India, Morocco dan sebagainya.
Mengasingkan Ulama Pejuang Daripada Masyarakat Awam
Penjara dijadikan pemisah antara ulama dan pengaruhnya daripada masyarakat. Di Jordan, apabila ulama serta gerakan Islam menentang keputusan Bangsa-bangsa Bersatu untuk membahagikan Palestin maka mereka telah dihumban ke dalam penjara, Clove telah mengarahkan ulama-ulama yang menentang British supaya disumbat ke penjara di Jordan, bahkan mengharamkan majalah 'al Kifah al-Islami' serta melarang khutbah yang menyentuh tentang isu Palestin dan penguasaan Inggeris.
Penjara dan pengasingan adalah cara yang berkesan untuk mengendurkan suara-suara ulama-ulama progresif, seperti yang dialami oleh Jamaluddin Al Afghani dan Sheikh muhammad Abduh. Muhammad Abduh telah dipenjarakan dan dikenakan pelbagai sekatan oleh pihak penjajah Inggeris termasuk dibuang negeri. Pemikirannya dianggap mencetuskan suasana tegang kepada penjajah melalui konsep Pan Islamisme yang akhirnya sangat mempengaruhi umat Islam untuk bersatu menentang penjajahan Barat. Beliau pernah dibuang selama enam tahun serta telah menyongsong laluan gurunya, Jamaluddin Al Afghani ke Perancis.
Strategi lain untuk mematikan pengaruh ulama ialah dengan membuang negeri ulama-ulama penentang seperti Tuan Guru Abdul Rahman Limbong telah dibuang ke Mekah, Imam Diponegoro telah dibuang jauh dari Pulau Jawa, tanah kelahirannya, Uthman Den Fodio telah diusir keluar dari Nigeria dan Sayyid Jamaluddin Al Afghani telah diusir India serta Mesir.
Meminggirkan Pendidikan Agama
Di Indonesia, penjajah Belanda mula mengawasi madrasah-madrasah yang meniupkan semangat pan Islamisme dan anti Belanda, bahkan dengan memperalatkan kebimbangan kepada pengikut mazhab Shafie bahawa arus fahaman wahabi sedang melanda Indonesia. Di antara sekolah yang ditubuhkan oleh reformis ialah 'Ambiya School' di Padang, Madrasah Puteri dan lain-lainnya yang terikut dengan sistem pendidikan Mesir bahkan kitab-kitab pemikir golongan islah mula diajar seperti Tafsir Al Manar karyaSheikh Muhammad Abduh.
Di Tanah Melayu juga British menggunakan modus operandi yang sama kerana menyadari bahawa api perjuangan membebaskan tanahair berakjar daripada sekolah-sekolah agama.
Di Mesir pula British secara halus memasukkan jarumnya di sekolah-sekolah agama iaitu dengan memasukkan dialek tempatan dimana kesannya, pelajar-pelajar akan semakin jauh dengan bahasa Arab Fushah, bahasa asli Al-Quran.
Di India, british dengan sengaja memperkenalkan sistem pendidikan sekular untuk melumpuhkan peranan ulama dalam masyarakat Islam. Namun ulama-ulama Islam dengan dokongan masyarakat telah bangkit membangunkan sistem persekolahan agama yang dikenali sebagai madrasah antaranya Madrasah deoband pada tahun 1882 dan Madrasah Mazahir Al-Ulum.
Madrasah-madrasah Islam di India telah melahirkan ramai alim ulama seperti Sheikh Salman An Nadawai, Sheikh Subli An Nukmani, Abu Hassan Ali An Nadawi. Malah ulama-ulama dari Tanah Melayu juga ramai yang diasuh di India seperti Tuan Guru Nik Abdullah bin Haji Wan Musa, Dr. Burhanuddin Al Helmi (Universiti Aligarh), Ustaz Ibrahim Libya (Assyahid), Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan ramai lagi.
Menyebarkan Fahaman Sekularisme
Islam telah diasingkan daripada pemerintahan, contohnya Perjanjian Pangkor 1874 merupakan manifestasi daripada fahaman ini apabila British menyerahkan soal agama Islam kepada Raja-raja Melayu.
Mufti terakhir kerajaan Uthmaniah Turki, Sheikh Mustapha Sobri sebagai jalan pintas menuju ke arah murtad. Said Hawwa pula melihatnya sebagai 'riddah yang berhias' manakala Dr Yusuf Qardawi menyebutnya sebagai ajaran sesat lagi menyesatkan.
Menebarkan Kesesatan Serta Memasung Mulut ulama Yang Haq
Penjajah Barat juga telah mengambil langkah mendiamkan para ulama dengan tidak dibenarkan berkhutbah, berceramah atau mengajar.
Selain itu, penjajah juga telah membantu menyebarkan fahaman sesat yang bercanggah dengan Islam seperti ajaran Bahai dan Qadiani. Mereka menggunakan akhbar dan majalah dalam mempromosikan ajaran ini ketengah masyarakat Islam. British sebagai contoh telah mengeksport ajaran Qadiani ke negara-negara tanah jajahannya.
Media telah digunakan untuk 'mencuci-putihkan' ajaran-ajaran sesat, contohnya dalam kes kematian ketua Bahai iaitu Abbas Abdul Baha pada November 1921 telah diperbesar-besarkan lebih dari sepatutnya, surat-surat khabar menyatakan kesedihan yang amat sangat di kalangan orang-orang Bahaie.