Recent Posts

March 07, 2009

Siapa Gatal, Dialah Menggaru...


Assalamualaikum...

Biarlah kerangka post saya kali ini, dimulakan dengan permohonan maaf dari hati kecil saya, kerana pemilihan tajuk post kali ini, yang mungkin sedikit kasar bunyinya, tetapi saya ingin meletakkan pengkonotasian tajuk ini pada premis yang lebih tepat dahulu. Saya ingin menjuzukkan tajuk ini berkenaan segolongan manusia yang merasa lebih senang menjadi hidupan parasit kepada hidupan orang lain. Hidupnya menumpang kesenangan orang lain, bahkan menyusahkan kehidupan orang lain pula.

Siapa yang tidak mahukan kejayaan? Satu pendustaan yang besar siapa yang mengatakan tidak mahu kejayaan. Walau sedikit dan sediskrit manapun kejayaan itu, memberi satu bentuk kepuasan terhadap seseorang. Sebenarnya, post ini sebagai satu unjuran terhadap enigma yang setelah sekian lama berkampung dalam daerah pemikiran saya. Secara konseptualnya, ianya berkenaan dengan sifat segelintir manusia yang suka berhibernasi dalam hidupnya. Lesu ,lembap, tidak bermaya bagaikan tidak diberi makan sebulan. Suka bergantung dengan usaha orang lain untuk mencapai matlamatnya bagaikan monyet-monyet di hutan yang bergayut dari satu dahan ke dahan yang lain untuk pergi ke destinasinya.

Memang fitrah manusia mengharapkan pertolongan orang lain, tapi tidaklah sampai pertolongan itu tiba dalam keadaan kita hanya berpeluk tubuh, bergoyang kaki dan berpangku tangan. Saya ingin mengikat subjek perbincangan ini dengan beberapa contoh kehidupan orang lain , Nelson Mandela seumpamanya, nama seorang pemimpin yang gah namanya di mata dunia. Walau hampir 27 tahun hidupnya dihabiskan di dalam jeriji besi yang kecil, tetapi mempunyai semangat dan personaliti yang besar di mata masyarakat."..pernah dikencing dan diludahi di kepalanya oleh penjaga penjara tersebut.." Siapa sangka seorang yang pernah dianggap perderhaka, dilayan hina di dalam penjara sehingga pernah beliau digantung dengan keadaan kepala di bawah, kaki di atas bahkan pernah dikencing dan diludahi di kepalanya oleh penjaga penjara tersebut, namun pengalamannya itu menjadi minyak tanah yang membakar semangatnya untuk terus menentang amalan Apartheid di Afrika Selatan dan diangkat menjadi Presiden Afrika Selatan pada tahun 1994. Dan dengan sifatnya yang hebat, beliau telah menjemput penjaga penjara yang pernah melayannya dengan hina sebagai tetamu terhormat dalam majlis perlantikkannya sebagai Presiden. Beliau berkata kepada orang itu 'Terima kasih,perlakuan anda beberapa tahun silam telah menguatkan saya memenangkan perjuangan ini' .

Ianya membayangkan betapa kejayaan mereka bukanlah datang dengan hantaran dulang emas melalui laluan kapet merah dan kepada kita yang duduk diatas kerusi bertahtakan berlian dan permata. Tetapi kita sendiri yang perlu melalui sungai kepayahan, yang di dasarnya duri-duri cubaan dan dugaan, dan ditenggelami dengan arus kesempitan. Panahan cabaran itu pasti akan datang dari seantero sudut dan dimensi. BAWAH, ATAS, KIRI, KANAN, DEPAN, BELAKANG, UTARA, SELATAN, TIMUR, BARAT, LUAR & DALAM sekalipun kita kena bersedia untuk segala kemungkinan. Janganlah dengan sewenang-wenangnya, kita menswastakan segalanya-galanya di atas bahu orang lain. Seperkara lagi, biarlah kita mengucapkan 'terima kasih' dan penghargaan atas pertolongan mereka walau sekecil-kecil dan sekerdil-kerdil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.

'Dan barangsiapa mengkehendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan ia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik'
Surah Al-Isra', Ayat 19

Insyaallah, siapa mahu berjaya, dialah kena usaha. Siapa yang bersungguh-sungguh, dialah yang akan dapat. Kejayaan perlu dicari, bukan dinanti. NOKTAH.

Atas meja study,
Isnin, 9 Mac 2009,
3.21am.

March 06, 2009

Tidur Sebantal,Mimpi lain-lain...


Assalamualaikum..

Insyallah, tamsilan kali ini mungkin agak berbeza dengan nukilan-nukilan sebelum ini, nota yang akan dikepil dalam post kali ini lebih bercitrakan pandangan peribadi tentang beberapa episod hidup. Sebenarnya, saya pernah membuat sedikit perkongsian rasa dan bahasa melalui panggilan telefon dengan adik kesayangan saya yang kini sedang menelaah ilmu di Kolej Matrikulasi Labuan. Bukanlah satu perkara yang anomali menelefon adik saya, tetapi panggilan telefon pada malam itu sedikit mencuri ruang hati dan masa saya untuk berbicara lebih lama.


Seperti biasa soalan wajib, iaitu bertanya khabar diri, iman dan akademik membuka tirai diskusi. Kemudian, graf perbualan tiba-tiba meningkat secara eksponensial sejurus selepas adik saya melontarkan beberapa luahan pendapatnya tentang apa yang dilaluinya sejak kebelakangan itu.

Antaranya, sejak kebelakangan itu, beliau mendapat banyak taklifan (tugasan) yang datang mencurah-curah tanpa diundang. Walaupun berat, namun atas dasar tidak mahu menghampakan kepercayaan yang diberikan, beliau menerima dengan hati yang terbuka. Antara taklifan (tugasan) yang diberikan ialah menjadi pengarah Kem Penghayatan Islam, Festival Nasyid ditambah lagi dengan menjadi ahli dalam Lajnah Pustaka & Warisan Masjid, Ketua Mentor Mentee dan beberapa bebanan tugasan yang lain. Yang menjadi konflik diri bukanlah kuantiti taklifan yang dipikul, tapi, kualiti beberapa ahli yang begitu pasif. Inilah antara wabak yang biasa mengekstasikan sesebuah organisasi. Kuantiti yang ramai tidak menjanjikan kualiti yang bagus. Tidak ada segregasi antara pimpinan bawahan dan atasan dalam menjaga kepentingan organisasi, dan mencapai objektif yang telah dicanai dan dicanangkan. Mengapa kita selalu menjuzuk atau merujukkan kepentingan bersama hanya kepada orang atasan yang menjadi pengatucara untuk segalanya. Tidakkah kita dapat melihat dengan pandangan mata hati, sebenarnya ada ruang yang perlu kita tampung bersama pimpinan yang lain untuk terus menyokong tegak, tonggak organisasi supaya tidak senget sedikit walau.

Beliau juga ada mengklusterkan beberapa orang sebagai golongan yang terlalu bersifat stereotaip yang suka bertindak secara konvesional. Kekesalan ini bertambah apabila golongan ini terlalu pesimis terhadap idea-idea baru yang diutarakan oleh ahli organisasi yang lain. Sifat ini menjerebukan paradigma generasi pelapis yang bakal membarisi pimpinan di masa akan datang. Natijahnya, negara yang bakal dipacu akan bersifat rigid, kaku,beku dan lembap dengan lambakan-lambakan pemimpin yang muflis idea dan kebijaksanaan. Justeru, kita perlu membuka ruang berfikir seluas-luasnya kepada generasi sekarang agar generasi sekarang tidak mandul untuk menghasil dan melahirkan generasi yang bersifat dinamik di masa akan datang.

Wabak seterusnya, adalah golongan yang menjadikan organisasi sebagai talian hayat untuk mengejar populariti dan publisiti. Antara simptom-simptom kewujudan golongan ini, adalah petah melontarkan idea-idea ketika mesyuarat tetapi melatah tidak melakukan tugasan yang diberikan. Kalau ada pun, tugasan yang diamanahkan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh. Golongan ini juga seringkali menjawab soalan-soalan licik daripada rakan seorganisasi dengan jawapan yang cerdik namun akhirnya hanya sekadar polemik dan retorik semata. Antara indikator lain yang boleh dijadikan parameter untuk mengesan kerabat ini adalah dengan melihat frekuansi dan momentum gerak kerja mereka yang berkadar songsang dengan masa.

Seterusnya, kurangnya imuniti terhadap ralat persekitaran. Yang dikatakan ralat di sini adalah seperti komitmen terhadap akademik, urus diri, keluarga dan ancaman-ancaman daripada pihak atasan dan bawahan. Mereka seolah-olah diserang AIDS dalam berorganisasi. Kurang daya tahan terhadap ralat-ralat ini, sehingga mereka tersepit dan terkepit tidak mampu bergerak dan hilang arah tuju. Mereka menjadi mangsa keadaan dan menuding jari, menyalahkan organisasi yang menjadi virus, bertanggungjawab menjadikan sistem hidup mereka menjadi tidak menentu. Kurangnya kebolehan untuk menaakul kembali ralat yang diterima dan menggunakan segala kapasiti yang ada untuk membentuk satu sinergi baru yang dapat membetulkan semula ralat tersebut.

Begitulah, apa yang dapat disimpulkan, walau kita berpijak pada dunia yang sama, tapi kita kadangkala hidup dalam alam yang berbeza...

"Interaksi Memaparkan Kematangan"

Dari meja penekan keyboard,
3.12am.

Wassalam.

February 21, 2009

Optimis vs Pesimis..


Assalamualaikum wbt...

Seumpama bulan dan matahari silih berganti menampakkan diri di malam dan siang hari, seumpama lelaki dan perempuan tercipta untuk saling melengkapi, begitu juga pahala dan dosa yang diberi untuk kita sama-sama insafi. Begitu hebat ciptaan tuhan yang menciptakan segalanya dalam keseimbangan untuk sama-sama kita rasai, dengari, perhati dan teliti.

Sungguh, setiap inci penciptaan dunia ini, tidak ada cacat cela dan lompongnya. Ianya hadir dalam pakej dan legasi yang sempurna dan bermakna. Sejak berzaman, Allah telah mengutuskan Rasul-rasul bersama dengan agama Allah itu membawa berita gembira dan kesejahteraan kepada umat manusia.

'Dan tidak kami mengutuskan rasul-rasul melainkan sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan...'
Surah Al-Kahfi, Ayat 56

Diturunkan wahyu yang berintipatikan janji Allah tentang ganjaran pahala yang berlipat ganda, balasan syurga kepada hamba-hambaNya yang taat, tentang darjat kemuliaan yang tinggi dan kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat serta keluasan rahmat Allah yang tidak terhingga ke atas hamba-hambaNya. Ini, mencetuskan rasa harapan dan optimis di kalangan umat Islam.

Namun, Allah menggandingkan juga berita-berita sebaliknya yang mengandungi ancaman dan amaran tentang janji Allah dalam pembalasan azab neraka untuk mencetuskan rasa bimbang dan takut atau pesimis di hati para hambaNya.

Norma ini memangkin dan memungkinkan keseimbangan berlaku di antara dua pengalaman rasa tersebut iaitu optimis dan pesimis. Natijahnya, mereka tidak terlalu optimistik sehingga mereka lupa daratan dan tidak terlalu pesimistik yang menyebabkan mereka kecewa atau putus asa.

Antara dalil kepada kenyataan di atas iaitu Allah mengalun dan mengadunkan kedua-dua unsur berita gembira dan amaran ialah :

'Katakanlah sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk ke jalan-Nya sebagaimana kepada orang-orang yang bertaubat'
Surah Ar-Ra'ad, Ayat 27

Tetapi, malangnya, antara wabak yang kian menular di dalam hati-hati orang Islam ialah Terlalu Optimis dengan pertolongan Allah sehingga lupa untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh seolah-olah, pertolongan Allah itu akan datang secara bergolek dan tiba secara melayang. Sesungguhnya, fenomena ini telah melanggari konsep tawakal yang sebenar. Konsep tawakal yang digarisbawahkan oleh Islam ialah berusaha bersungguh-sungguh sebagai muqaddimahnya, disusuli dengan doa serta diakhiri dengan redha dan tawakal kepada Allah sebagai pengakhirannya.

Mengambil Ibrah(Pengajaran) daripada apa yang berlaku dalam Perang Hunain, yang mana perasaan terlalu optimis untuk menang telah mengambil posisi dalam hati tentera Islam ketika berhadapan dengan Bani Hawazin dan Bani Thaqif, lantaran kekuatan dari segi bilangan tentera iaitu seramai 12 ribu orang yang akhirnya membuka sedikit ruang kepada pihak musuh untuk mengolah dan mengorak langkah untuk mengalahkan tentera Islam sehingga umat Islam terasa kesempitan. Namun akhirnya, Allah mengirimkan tentera yang tidak kelihatan sebagai satu bentuk pertolongan kepada umat Islam.

'Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur.'
Surah Al-Nahl,Ayat 78

Sebenarnya, antara manhaj untuk mendapatkan petunjuk Allah itu adalah dengan menuntut ilmu. Pemahaman dan penginterpretasian ilmu itu perlu dihadam dan dicernakan dalam kehidupan kita. Mata akan dapat melihat dunia dengan lebih jelas dengan kanta mata. Mata hati akan dapat melihat dunia dan akhirat dengan lebih jelas dengan ilmu. Ingatlah kita makhluk yang bermula dengan tidak mengetahui sesuatu pun, dan kita eksploitasikan segala nikmat yang diberikan sebagai cangkul untuk menggali ilmu Allah yang Maha dalam dalam eksplorasi kita mencari keredhaan Allah.

'Genggamlah dunia dengan ilmu, gapailah akhirat dengan ilmu, dan gapailah dunia dan akhirat dengan ilmu'

Tuntutlah ilmu, Pertolongan-Nya perlu dicari, Bukan dinanti.

Salam Jihad...

February 12, 2009

Bergelut Dalam Kemelut.



Assalamualaikum, tidak disangka wacana kehidupan yang cuba dinukilkan dari hari ke sehari kadangkala, tercoret juga kalimah kecewa dan hampa. Namun, apa jua episodnya, kudrat terpaksa juga diperkuat agar tidak tersekat. Azam dan iltizam harus terus ditanam. Walau sekencang manapun prahara dugaan cuba menggoncang iman, walau sekuat dan sehangat manapun ia menyengat ketaqwaan sebenarnya itulah menjadi indikator kepada sejauh manakah tahap keimanan kita.

'Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan , penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat'
Surah Al-Baqarah,ayat 214

Kita bersyukur kerana impak dari jerit perit mujahid-mujahid Islam terdahulu, Islam menjadi citra kehidupan dan Ad-Deen kita sehari-sehari. Setiap langkah kita di atas muka bumi ini, setiap gerak-geri, berjalan dan berlari, berbaring dan mendongak ke langit kita, setiap butir kalimah yang terpancur dari lidah kita, setiap saat ingatan kita, mimpi, kerisauan dan kebimbangan kita, setiap pandangan, pendengaran dan sentuhan kita, setiap butir yang masuk dan keluar dari batang tubuh kita, setiap detik darah yang mengalir dalam badan kita, kegembiraan dan kedukaan kita, walau di mana, ke mana dan bila sahaja kita bergerak, itu adalah manifestasi Islam dalam kehidupan kita. Walau disebat dan dihambat dengan mehnah dan tribunasi sekalipun tidak bisa melukakan keimanan kita secoret walau.

Usah kita bertolak ansur dengan tipu daya dunia sehingga akhirnya kita ditolak beransur-ansur. Tidak boleh tidak, kita terpaksa akur dengan percaturan hidup kita di dunia ini. Islam itu syumul, Islam itu Alamiah, Islam mempatrikan setiap inci kehidupan kita kepadanya, kerna itu kita secara jelas dan tuntas perlu larut dalam masyarakat, dan menelanjangkan kemungkaran dari manusia, dan mewarnainya dengan sinar Islam yang agung. Memang benar ia satu tugas yang berat bagi mereka yang takutkan celaan dan tidak percaya dengan janji Allah.

'Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui'
Surah Al-Baqarah, Ayat 216.

Jadilah kita umat yang mobilis, bukan pasif, beku, kaku dan senang dipaku. Adakah kita lupa? Kita pernah memacu hampir dua pertiga dunia suatu ketika dahulu, Insyaallah Allah akan bersama-sama dengan kita dalam perjuangan.

'...jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir'
Surah Yusuf, Ayat 87.

Dikala banyak fitnah dilemparkan kepada umat Islam mutakhir ini, tersingkap lompong yang menyerlahkan keindahan Islam yang sebenar. Antaranya, penyebaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW yang memarakkan kemarahan umat Islam seluruh dunia sebagai contoh, telah menarik ramai pihak untuk mengenali, siapakah insan mulia yang bernama Muhammad ini sebenarnya berbanding sebelum ini yang mungkin langsung tidak kenal siapa dia Muhammad SAW. Ketika krisis ekonomi yang begitu nazak di Amerika dan terpalit ke seluruh dunia sekarang ini umpamanya, membuka mata pakar-pakar ekonomi dunia untuk mengkaji sistem ekonomi Islam yang dilihat mampu menyelamatkan ekonomi dunia kini.

Kita mahu melahirkan ilmuan tersohor seperti Imam Ghazali dan Saidina Ali bukannya golongan artisan seperti Elvis Presley. Kita mahu melahirkan ulama yang agung seperti Imam Bukhari bukannya seperti Mariah Carey. Kita mahu lahirkan mujahid seperti Imam Hassan Al-Banna bukannya penyayi barat Rihanna. Kita mahu pemimpin yang bertaqwa seperti Al-Farouk bukannya seperti Kamal Altartuk yang terkutuk. Kita inginkan manusia yang tawaduk seperti Al-Razi bukannya seperti Nicolas Sarkozy yang angkuh.

Salam Perjuangan...

January 11, 2009

Masa Yang Terluang dan Terbuang...


Assalamualaikum...

Yang pertama, utama, dan selamanya, ucap syukur kepada Allah sbt, kerana memberi kesempatan, kesihatan dan kekuatan untuk terus menekan papan kekunci ini sebagai satu manifestasi kepada rantaian dakwah yang dicetuskan oleh junjungan besar Rasulullah SAW dan juga para pejuang Islam sehingga roh Islam itu hidup dalam hati-hati orang yang beriman dan bertaqwa.

Dalam ruangan maya kali ini, kita tidak membincangkan Maudu' atau topik tertentu, tetapi insyallah membawa semua pembaca untuk kita sama-sama mem'post mortem'kan diri sempena ketibaan tahun Hijrah yang baru,1430 H.

Semakin masa bergerak semakin usia meningkat, semakin usia meningkat ajal semakin dekat. Iman kadang-kadang meningkat acapkali tersekat. Hati sering terpikat, tapi pada maksiat. Andai Allah, Rasul, dan Malaikat tidak ditaat ,alamat tidak selamat di hari kiamat.

'Demi masa. Sungguh, manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.'
Surah Al-Asr, Ayat 1-3.

Masa makin dewasa itu perkara biasa. Seumpama hidup kita yang berfasa-fasa. Cuma, apa daya dan gaya kita untuk berjaya? Kita terus memekak walau masa terus merangkak. Peka dan pekak mana satu pilihan kita? Sahabat-sahabat kita kian terhimpit dan tersepit. Sedang kita bebas dari ditindas. Mana umat agung, kenapa tidak terpanggilkah untuk sama-sama membangkit dan mengungkit keagungan silam?

Kenapa dan mengapa kita sering lupa dan alpa tatkala kita kaya dan berjaya.?Tidak guna kaya harta kalau miskin hati. Tidak guna berjaya dunia andai gagal akhirat. Usah gentar menyatakan apa yang nyata. Hati ini mual dan muak dengan sandiwara duniawi. Bukan senang hendak menghasil, lantas jangan kita membazir. Biar ia kecil, asal berhasil. Biar perlahan, asal bertahan. Biar sumbang asal menyumbang. Biarlah yang terang disuluh lagi, mudah-mudahan mata hati kita celik memandang kesamaran dunia.

Perjalanan hidup harus dilintas dan direntas,walau dugaan dunia terus memintas. Masa terus bergerak pantas, justeru jangan kita malas. Mengapa kita terus membahas apa yang telah jelas dan tuntas, biar kita tegas dan lantas. Terus mengharung walau terkurung. Terus mengasah dan memperkasa. Terus mengenal jangan meninggal. Terus dan terus memahami dan mendalami. Terus mencari laluan dan panduan. Mudah-mudahan kita tidak bankrap dan muflis di akhirat kelak.

Salam Hijrah...

December 22, 2008

Rindu Pada-Nya..

Assalamualaikum,
Tak sangka, terlalu pantas masa berlalu, rasanya baru sahaja saya menulis artikel yang bertajuk 'Lambaian Kaabah' yang mengisahkan perasaan ketika mak dan ayah saya berlepas ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji. Pagi 22,Disember,2008 Alhamdulillah, mereka telah selamat pulang ke tanah air. Saya tertarik dengan beberapa kisah yang sempat dikongsi bersama mereka yang mengisahkan kebesaran Allah yang sempat disaksikan sepanjang mereka berada di sana.Antara kata-kata yang betul menyentuh perasaan saya ialah, mereka terlalu rindu dengan tanah suci sehingga sukar untuk digambarkan hingga kini. Ini beberapa gambar yang dapat dikongsi sebagai tatapan bersama...





















December 19, 2008

Pinjaman Yang Dipulangkan...


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, bagaimana rasanya perasaan seorang ayah apabila baru sahaja menimang seorang cahaya mata? Bagaimana pula rasanya perasaan seorang ibu yang mengandungkannya sembilan bulan, dan menggadai nyawa pula ketika melahirkannya? Gembira, lega, risau, atau bagaimana? Tiada Frasa yang bisa menterjemah Rasa.

Sebenarnya, ucap syukur Alhamdulillah banyak-banyak, kerana tanggal 19,Disember,2008 (Jumaat) satu lagi hari bersejarah buat Pak Cik saya, kerana baru sahaja menimang cahaya mata lelaki. Tahniah dan takziah buat beliau. Kami seisi keluarga pun turut terpalit kegembiraan itu bersama. Saya berpeluang melawat sepupu (bayi) itu di hospital. Gambar bayi yang comel di atas adalah sepupu (bayi) saya yang baru lahir.

Sesampainya saya di bilik tempat mak cik saya dan bayinya ditempatkan, sejenak saya terkaku dan terpaku, lantaran melihat wajah bayi yang begitu suci berseri seumpama bercahaya. Terasa sejuk mata memandang. Terasa tenang gelora hati. Mungkin inilah yang dikatakan, jasad yang baru mengenal dunia, yang masih suci dan bersih dari titipan noda, jasad yang akan memulakan tarbiyyah sebagai seorang insan, jasad yang AzanLah tarbiyyah pertama yang disuapkan ke dalam hatinya, kalimah-kalimah yang mensuci dan mengagungkan Allah dan Rasul-Nya, jasad yang tercari-tercari siapa Robbul Izzati. ALLAH Subhanahu Wataala.


Gambar Madi ketika berumur 4 bulan

Madi, Mak, Ayah, Hairul(Adik)

SEDAR. Tetiba saya terdengar dan tersedar suara mak cik menegur kehadiran kami. Suaranya lemah tapi ramah intonasinya. Suaranya berencahkan perasaan kasih sayang, berempahkan ketabahan dan penuh berintikan dengan pengharapan. Mukanya pucat tapi senyumannya ligat. Mukanya menterjemahkan kesyukuran, mempotretkan iltizam, dan mengekspresikan keyakinan.

KENANG. Setelah sekian lama dibuai dengan suasana yang senang dan tenang itu, saya terkenang dengan AYAHANDA dan BONDA yang sedang mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah. Hanya tinggal tiga hari lagi untuk menyambut kepulangan Ayahanda dan Ibunda tercinta ke tanah air. Tiba-tiba tercerap wajah kedua mereka di layar minda saya. Wajah yang suci, yang banyak mengajar erti kehidupan. Terkenang saat kecil, mereka mendidik dengan bahasa dan rasa penuh kasih sayang dan kesabaran, hanya kata-kata semangat,nasihat dan doa yang acapkali terpancur dari lidah mereka walaupun mungkin jauh di sudut hati kecil dan terpencil mereka rasa terguris dan terhiris dengan gerak laku kami.

Kerana merekalah, hari ini kami celik dan cerdik. Kerana merekalah kami bisa membezakan antara yang bermanfaat dan maksiat. Kerana merekalah, kami bersyukur jauh sekali kufur. Tiada harga yang bisa membayar jasa mereka, walau harta dan kata-kata pun tidak berhasil untuk membayarnya. Inilah kudrat Tuhan, supaya kita sama-sama sedar betapa kecil dan kerdilnya kita selaku hamba-Nya. Sungguh, takdir mengatasi tadbir.

“Apabila meninggal seorang Anak Adam itu, maka terputuslah segala
amalannya, melainkan 3 perkara:
Ilmu yang bermanfaat, Sedekah jariah dan doa Anak yang soleh.”

(Maksud Hadith)

Terma dan syarat kehidupan, yang lahir pasti akan berakhir. Usah kita resah dan gelisah bila kita akan berakhir, kita serah semua itu kepada Tuhan, mari kita sama-sama tingkatkan kualiti akidah dan ibadah kita agar tidak padah yang menimpa kita di sana. Biarlah jasad yang kita pinjam di dunia ini kita pulangkan dalam keadaan suci sesuci ketika kita dilahirkan dahulu.

Salam Muhasabbah...

December 17, 2008

We Care We Share

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, 15-16 Dis 2008 yang lepas, saya baru sahaja menjadi fasilitator untuk 'Program We Care We Share' 2008 bersama pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML). Program yang diadakan selama dua malam itu antara lain sebagai satu wahana kepada Alumni KML untuk 'turun padang' untuk bertemu adik-adik yang sekarang tengah melanjutkan pelajaran di KML. Program ini telah diadakan hanya pada sebelah malam. Modul SWOT (Strength,Weakness,Opportunity,Threat) dijalankan sebagai pembuka tirai kepada program ini dan diakhiri dengan Resolusi sebagai penutup tirai untuk pengisian malam pertama.

Untuk malam kedua, dijalankan Forum yang bertajuk 'Realiti Kehidupan di IPT'. Tiga orang panelis telah dibariskan sebagai nadi penggerak dan dibantu oleh moderator dan rakan-rakan fasilitator yang lain untuk sama-sama menyelongkar dan menbongkar maudu' (topik) yang telah dipilih. Moderator adalah saudara Mohammed Fanshuri Bin Badaruddin (Setiausaha Agung Alumni KML), manakala ahli panel pula terdiri daripada saya sendiri Hasmadi bin Hasbi , Saudara Johan bin Mohd (Presiden Alumni KML), dan seorang serikandi saudari Shahirla Azmin Bte Kadir@ Abd Malik (MPP UMS 07/08). Sesi soal jawab juga dibuka kepada pelajar untuk mengajukan sebarang persolan kepada para panelis.

Saya sendiri banyak yang saya dapat belajar melalui program ini menerusi beberapa slot perkongsian bahasa dan rasa selama dua malam program ini dilangsungkan. Antara beberapa bait nasihat yang sempat saya nukilkan ialah

'...dugaan dan kesempitan itu sebenarnya mematangkan kita...'

'...seumpama kek yang kita hias dengan bunga,hiasan berwarna-warni, dan krim, begitu juga dengan diri kita...'

'...erti kegagalan ialah orang yang melakukan kesalahan yang sama berulang kali...'

'...kejayaan untuk kita syukuri, kegagalan untuk kita renungi...'

'...kita mesti ingatkan diri kita yang kita ini dalam bahaya..jadi,berwaspadalah setiap masa...'

'...we cannot success without U...'

'...setiap hari adalah hari baru bagi kita, jadi tiada alasan untuk kita buat yang terbaik...'

Begitulah antara bait-bait nasihat yang sempat saya kongsikan. Sesungguhnya program ini banyak mencoretkan pengalaman dan pengetahuan. Mudah-mudahan program seumpama ini, dapat mereflek dan memuhasabahkan diri para peserta dan semua orang.

Insyallah..

December 12, 2008

One MILE , Thousands SMILES

Assalamualaikum, bak kata Imam Ghazali, benda yang paling jauh dari kita adalah masa lalu. Ada kebenarannya disebalik jawapan kepada persoalan itu. Walau jauh beribu batu pun, manusia bisa menggapai bulan. Namun, bagaimana pula dengan masa lalu? Justeru, sama-samalah kita isi masa mendatang kita dengan perkara yang bermanfaat walaupun ianya pedih dan sedih. Saya terpanggil untuk berkongsi beberapa potret yang menterjemah pelbagai memori kepada saya.


Selepas menerima Anugerah Pelajar Terbilang Keseluruhan Bahagian Matrikulasi, Malaysia tahun 2007.
Keratan Akhbar Anugerah Pelajar Terbilang Keseluruhan Bahagian Matrikulasi,Malaysia tahun 2007. (Mingguan Malaysia, September 9 2007)
Barisan kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Matrikulasi 2006/07.
Ini adalah koleksi logo-logo sekolah, matriks & universiti saya.
(Dari kiri : SRK Stella Maris, SK Pekan Kuala Penyu, SMS Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Universiti Teknologi PETRONAS)



Ini pula antara memori bersama dengan AJK Surau KML 06/07
(Kiri dari atas : Barisan Kepimpinan AJK Surau KML 06/07, Di hadapan Sepanduk ketika perarakan Maulidurasul peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 07, Muslimin sedang berposting )

Bersama pengarah, Ketua-ketua Jabatan, En Masah(Kemeja kuning, Kaunselor) dan para fasilitator untuk Program We Care We Share 2007.

Dari Kiri : Teman2 seTutorial time di KML , Riadah bersama PRD KML di Pancur Hitam, Labuan.

Bersama Kumpulan bersiar-siar di Palembang, Indonesia.

Dari Kiri :JPP+PRD, Roomateku time di KML.

Di atas feri Menumbok.

Sahabat-sahabatku yang terrer bermain squash.