Sayyid Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa dan yang lainnya. Beliau mempunyai sejarahnya yang tersendiri sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia Islam. Sayyid Qutb dilahirkan pada tahun 1906 di Asyut, Mesir dalam lingkungan yang taat beragama, keluarbiasaan bakatnya dapat dikesan semenjak umurnya masih hijau. Menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berusia sepuluh tahun, bapanya Qutb Ibrahim merupakan pencinta al-Quran dan sangat tegas dalam urusan mendidik anak-anaknya dengan syaksiah Islam. Sayyid Qutb telah menyertai Ikhwanul Muslimin secara rasmi pada tahun 1951, namun nama beliau telah dikenali harum oleh seluruh lapisan Ikhwanul Muslimin kerana telah menyumbangkan artikel-artikel melalui penerbitan Ikhwan. Beliau merupakan orang yang pertama memberikan baiah kepada Hassan al-Hudhaibi sebagai Mursyidul Am bagi mengalang tugas Hassan al-Banna yang telah berkelana ke alam abadi. Sayyid Qutb telah mendekam di penjara mulai tahun 1954 sehinggalah beliau menemui kesyahidan ditali gantung pada 29 Ogos 1966, namun penjara bukanlah mematikan iltizam dan keseriusan intelektual Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zilal telah menjadi monumental beliau, karya 'magnum opus' ini telah meletakkan beliau sebagai intelektual Islam yang melakar sejarah. Sebagaimana Hamka (Prof. Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang mengarang Tafsir al-Azhar dari balik jeriji penjara, Said Hawa yang mengarang Tafsir al-Asas juga dari empat penjuru tembok bisu yang gelap dan pengap di Syiria.
Profesor Dr Zulkifli Muhammad
meninggal dunia ketika berusia 36 tahun akibat
kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang
melalui pembunuhan terancang oleh pemerintah.
Dalam PAS bekas pemangku Yang Dipertua, Profesor Dr. Zulkifli Muhammad (1963-64) dan bekas Yang Dipertua, Haji Yusuf Rawa (1982-88) adalah antara golongan terawal yang mendapat pendedahan pemikiran Ikhwanul Muslimin. Mereka berdua mengikuti pemikiran ini sejak akhir tahun 1940-an. Zulkifli mengikutinya sewaktu belajar di Mesir sewaktu Hassan Al-Banna masih hidup. Sementara Haji Yusuf Rawa pula mengikutinya sewaktu belajar di Makkah dalam waktu yang sama.
Prof Dr Zulkifli telah mengikuti Hadith al-Thulatha, kuliah agama mingguan yang disampaikan Hassan Al-Banna di Markaz Am Ikhwanul Muslimin sejak tahun 1948. Selepas kematian al-Banna tahun 1949, kuliah ini disambung oleh Sayyid Qutb, dan mereka mengikutinya sehingga 1951. Beliau sangat kagum dengan penyampaian Sayyid Qutb terutama dalam masalah pertembungan aqidah di zaman ini. Menurutnya, Sayyid Qutb menegaskan, ancaman utama aqidah umat Islam di zaman ini ialah falsafah jahiliyah yang diwakili oleh isma-isma sekular seperti nasionalisme, sosialisme, dan kapitalisme.
Haji Yusuf Rawa
Haji Yusuf Rawa juga menyatakan beliau mengikuti pemikiran Sayyid Qutb dan Ikhwanul Muslimin sejak akhir tahun 1940-an sewaktu menuntut di Makkah. Pada awal tahun 1950-an, setelah kepulangannya ke Malaysia, beliau turut membantu menyebarkan pemikiran tersebut melalui penerbitan majalahnya al-Islah di Pulau Pinang.
Pada tahun 1963, sewaktu PAS dipimpin oleh Profesor Dr Zulkifli Muhammad, beliau menghantar Haji Yusuf Rawa, seorang Ahli Jawatankuasa Agung PAS ke Timur Tengah untuk memperkenalkan PAS sebagai gerakan Islam. Dalam misi tersebut Haji Yusuf telah melawat Mesir dan Iraq. Semasa di Mesir beliau berkesempatan menemui Sheikh Muhammad al-Ghazali, bekas anggota Majlis Tertinggi Ikhwan. Sheikh al-Ghazali menasihatkan Haji Yusuf pergi ke Iraq kerana presidennya waktu itu, Abdul Salam Arif seorang yang bersimpati dengan Ikhwanul Muslimin. Sewaktu di Iraq, Haji Yusuf bertemu dengan Menteri Waqaf, seorang anggota Ikhwanul Muslimin. Dalam pertemuan tersebut menteri tersebut bersetuju menawarkan sepuluh biasiswa Kementerian Waqaf Iraq untuk pelajar-pelajar Malaysia. Urusan pemilihan pelajar-pelajar tersebut diserahkan kepada PAS.
Dr Zulkifli Muhammad sebagai orang yang sering mengikuti amanat perjuangan daripada Sayyid Qutb terutamanya, tidak dapat menerima kompromi PAS dengan puak sosialis. manusia diciptakan daripada roh dan jasad. Jasad hanya memerlukan kebendaan sedangkan roh memerlukan penyerahan sepenuhnya terhadap penciptanya, itulah fitrah seluruh manusia. Ini mendorong beliau menulis sebuah risalah berjudul "Sosialisma dan Percanggahannya Dengan Islam." Melalui risalah ini, beliau tetap menegaskan fahaman sosialis, walau apapun bentuknya, adalah berdasarkan fahaman materialisme sekular. Penentangan mereka dengan golongan kapitalis dan feudalis hanyalah berdasarkan kepentingan kebendaan semata-mata. Lantaran itulah, menurut beliau, fahaman sosialis mentafsirkan sejarah manusia dari sudut masalah ekonomi dan pertentangan kelas. Sebagai jawapannya, beliau menjelaskan, manusia diciptakan daripada roh dan jasad. Jasad hanya memerlukan kebendaan sedangkan roh memerlukan penyerahan sepenuhnya terhadap penciptanya, itulah fitrah seluruh manusia. Fitrah itulah yang membentuk tamadun dan sejarah sama ada manusia itu Muslim terhadap Allah ataupun kafir, bukannya faktor ekonomi ataupun pertentangan kelas.
Pemikiran Dr Zulkifli Muhammad, khususnya merujuk ulasan-ulasan beliau mengenai sosialisme dan percanggahannya dengan Islam jelas menampakkan persamaan dengan penjelasan Sayyid Qutb. Dalam membezakan antara ciri-ciri masyarakat Islam dan jahiliyyah. Sayyid Qutb antara lainnya mengatakan masyarakat komunis ingin mewujudkan persatuan manusia atas dasar tanpa kelas tetapi di bawah pengurusan kelas pekerja sejagat (proletariat). Proletariat sebagai satu parti yang memerintah dan menyediakan seluruh sumber keperluan jasad, meliputi makanan, pakaian , tempat tinggal dan pasangan seks. Berdasarkan khidmat ini masyarakat komunis diajar melakukan ubudiyyah kepada parti.
Demikianlah sekilas pandang tentang pasang surutnya perkembangan pemikiran Ikhwanul Muslimin khususnya Sayyid Qutb dalam PAS. Walaupun ia sudah berkembang dan bertapak dalam PAS terutama di zaman Dr. Zulkifli Muhammad, tetapi di zaman Dato' Asri pemikiran tersebut mula disisihkan. Sebaliknya pemikiran politik kebangsaan Melayu mula mengambil tempat. Hal ini berlangsung hampir dua dekad. Setelah PAS diterajui kepemimpinan ulama di awal tahun 1980-an, barulah pemikiran Ikhwanul Muslimin diberi tempat semula, malah semakin diberikan perhatian.
Sementara itu kelahiran ABIM pula dirintis terlebih dahulu oleh badan-badan dakwah pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan badan dakwah al-Rahmaniyyah. PAS pula telah didahului oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmi dan Hizbul Muslimin (Hamin) pimpinan Allahyarham Ustaz Abu Bakar Baqir.
Pemikiran Ikhwanul Muslimin sudah lama wujud di Malaysia. Bagaimanapun kesannya hanya nampak semenjak golongan belia seperti PKPIM dan ABIM mengambil peranan menyebarkannya semenjak awal tahun 1970-an. Ketika itu, tambahnya, pemikiran Sayyid Qutb lebih menonjol berbanding dengan pemikiran Hassan al-Banna sendiri. Ini kerana pemikiran Sayyid Qutb , yang bersifat revolusioner dan anti-Barat, sesuai dengan para belia Islam pada masa itu. Kebanyakkan belia Islam khususnya di Malaysia merasa kecewa dengan sikap pemerintah pada masa itu yang masih meneruskan sifat Barat yang menebal walaupun lebih satu dekad negara ini merdeka.
Bagaimanapun, sejak dekad 1980-an, sesuai dengan kematangan usia, sikap pendokong-pendokong ABIM mula berubah.Sejak Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran negara ini tahun 1981, beliau telah mengubah imej kerajaan yang sebelumnya bersifat barat. Di samping kematangan usia, faktor sikap pemerintahan juga mempengaruhi perubahan sikap ABIM. Sejak Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran negara ini tahun 1981, beliau telah mengubah imej kerajaan yang sebelumnya bersifat barat. Sebagai orang yang pernah dianggap "ultra-nasionalis" Dr Mahathir sebaliknya melancarkan Dasar Pandang Ke Timur. Di samping itu juga berbanding dengan lain-lain pemimpin sebelumnya beliau lebih bersikap positif terhadap Islam. Berikutnya Dr Mahathir mempelawa Presiden ABIM, Anwar Ibrahim menyertai kerajaan untuk melaksanakan dasar penerapan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran.
Menurut Siddiq Fadhil, dalam era kematangan ABIM itu, tidak lagi menjadikan pemikiran Sayyid Qutb sebagai rujukan utamanya. Tambahan lagi, beliau merasakan pemikiran Sayyid Qutb adalah aliran radikal dalam Ikhwanul Muslimin dan tidak mewakili pemikiran Ikhwan keseluruhannya. Sebaliknya, ABIM lebih melihat kepada pemikiran asal Ikhwan, iaitu pemikiran Hassan al-Banna. Baginya, pemikiran Sayyid Qutb hanya sesuai untuk meruntuhkan pemikiran Barat dan kini sesudah keruntuhannya, umat Islam lebih memerlukan suatu pemikiran yang lebih konstruktif berbanding dengan apa yang diperjuangkan oleh Sayyid Qutb, sesuai dengan era kebangkitan Islam.
Kalau dalam dekad 1970-an ahli-ahli ABIM menuduh PAS tidak jelas visi Islamnya, pada tahun 1980-an ahli-ahli PAS pula memulangkan kepada ABIM tuduhan tersebut.Pada dekad 1980-an sekali lagi kedua-dua pertubuhan ini, ABIM dan PAS mengalami perubahan. Kalau dalam dekad 1970-an ahli-ahli ABIM menuduh PAS tidak jelas visi Islamnya, pada tahun 1980-an ahli-ahli PAS pula memulangkan kepada ABIM tuduhan tersebut. Ini bermula dengan penyertaan Anwar Ibrahim, Presiden ABIM di dalam UMNO pata tahun 1982. Sebahagian ahli-ahli ABIM dan kebanyakkan ahli-ahli PAS menganggap tindakan tersebut 'tidak syar'e'.
Apabila para pemuda yang mendapat pendedahan konsep gerakan Islam semakin bertambah dalam PAS, begitu juga kesan kejayaan Revolusi Iran, menyebabkan desakan agar kepemimpinan parti diterajui ulama dan menjadikan PAS sebuah pergerakan Islam semakin lantang. Ia menyebabkan Dato' Asri dan kumpulannya meninggalkan PAS pada tahun 1983. Dengan itu PAS diambil alih kepemimpinan ulama.
Demikianlah sedikit kajian bagaimana pemikiran 'aqidah al-Illahiyyat oleh Sayyid Qutb terutamanya mengenai konsep al-Hakimiyyah dan pengaruhnya kepada gerakan Islam di Malaysia. Sesungguhnya konsep ini adalah force kepada gerakan "fundamentalis" Islam sama ada Ikhwanul Muslimin, Jama'at Islami mahupun Revolusi Islam di Iran. Demikian juga ia menjadi force kepada gerakan Islam di Malaysia masa kini, terutamanya PAS.
3 comments:
Salam ziarah dari Pak Karamu
Salam ziarah kembali Pak Karamu.. syukran kerana sudi membaca cerita dan berita di blog sy.. =)
sy tidak dpt bayangkan bagaimana dunia Islam akan terlakar jika penggerak2 Islam spt ikhwan dan yg seterusnya tidak hadir di tengah2 kemelut umat.pasti umat islam lebih azab dibantai oleh org yg jelas kafirnya dan sebahagian umat Islam yg tiada beza dgn mereka.masih ada umat Islam yg tidak mengenang jasa dan jerih perih mereka.mereka fikir untuk bebas hanya sekadar membuat rombongan utk mengadap tuan penguasa dan minta belas ehsan mereka.
Post a Comment