Recent Posts

February 14, 2010

Indoktrinasi Pemikiran Sayyid Qutb ke dalam Gerakan Islam di Malaysia.

Sayyid Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa dan yang lainnya. Beliau mempunyai sejarahnya yang tersendiri sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia Islam. Sayyid Qutb dilahirkan pada tahun 1906 di Asyut, Mesir dalam lingkungan yang taat beragama, keluarbiasaan bakatnya dapat dikesan semenjak umurnya masih hijau. Menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berusia sepuluh tahun, bapanya Qutb Ibrahim merupakan pencinta al-Quran dan sangat tegas dalam urusan mendidik anak-anaknya dengan syaksiah Islam. Sayyid Qutb telah menyertai Ikhwanul Muslimin secara rasmi pada tahun 1951, namun nama beliau telah dikenali harum oleh seluruh lapisan Ikhwanul Muslimin kerana telah menyumbangkan artikel-artikel melalui penerbitan Ikhwan. Beliau merupakan orang yang pertama memberikan baiah kepada Hassan al-Hudhaibi sebagai Mursyidul Am bagi mengalang tugas Hassan al-Banna yang telah berkelana ke alam abadi. Sayyid Qutb telah mendekam di penjara mulai tahun 1954 sehinggalah beliau menemui kesyahidan ditali gantung pada 29 Ogos 1966, namun penjara bukanlah mematikan iltizam dan keseriusan intelektual Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zilal telah menjadi monumental beliau, karya 'magnum opus' ini telah meletakkan beliau sebagai intelektual Islam yang melakar sejarah. Sebagaimana Hamka (Prof. Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang mengarang Tafsir al-Azhar dari balik jeriji penjara, Said Hawa yang mengarang Tafsir al-Asas juga dari empat penjuru tembok bisu yang gelap dan pengap di Syiria.

Profesor Dr Zulkifli Muhammad
meninggal dunia ketika berusia 36 tahun akibat
kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang
melalui pembunuhan terancang oleh pemerintah.

Dalam PAS bekas pemangku Yang Dipertua, Profesor Dr. Zulkifli Muhammad (1963-64) dan bekas Yang Dipertua, Haji Yusuf Rawa (1982-88) adalah antara golongan terawal yang mendapat pendedahan pemikiran Ikhwanul Muslimin. Mereka berdua mengikuti pemikiran ini sejak akhir tahun 1940-an. Zulkifli mengikutinya sewaktu belajar di Mesir sewaktu Hassan Al-Banna masih hidup. Sementara Haji Yusuf Rawa pula mengikutinya sewaktu belajar di Makkah dalam waktu yang sama.

Prof Dr Zulkifli telah mengikuti Hadith al-Thulatha, kuliah agama mingguan yang disampaikan Hassan Al-Banna di Markaz Am Ikhwanul Muslimin sejak tahun 1948. Selepas kematian al-Banna tahun 1949, kuliah ini disambung oleh Sayyid Qutb, dan mereka mengikutinya sehingga 1951. Beliau sangat kagum dengan penyampaian Sayyid Qutb terutama dalam masalah pertembungan aqidah di zaman ini. Menurutnya, Sayyid Qutb menegaskan, ancaman utama aqidah umat Islam di zaman ini ialah falsafah jahiliyah yang diwakili oleh isma-isma sekular seperti nasionalisme, sosialisme, dan kapitalisme.

Haji Yusuf Rawa

Haji Yusuf Rawa juga menyatakan beliau mengikuti pemikiran Sayyid Qutb dan Ikhwanul Muslimin sejak akhir tahun 1940-an sewaktu menuntut di Makkah. Pada awal tahun 1950-an, setelah kepulangannya ke Malaysia, beliau turut membantu menyebarkan pemikiran tersebut melalui penerbitan majalahnya al-Islah di Pulau Pinang.

Pada tahun 1963, sewaktu PAS dipimpin oleh Profesor Dr Zulkifli Muhammad, beliau menghantar Haji Yusuf Rawa, seorang Ahli Jawatankuasa Agung PAS ke Timur Tengah untuk memperkenalkan PAS sebagai gerakan Islam. Dalam misi tersebut Haji Yusuf telah melawat Mesir dan Iraq. Semasa di Mesir beliau berkesempatan menemui Sheikh Muhammad al-Ghazali, bekas anggota Majlis Tertinggi Ikhwan. Sheikh al-Ghazali menasihatkan Haji Yusuf pergi ke Iraq kerana presidennya waktu itu, Abdul Salam Arif seorang yang bersimpati dengan Ikhwanul Muslimin. Sewaktu di Iraq, Haji Yusuf bertemu dengan Menteri Waqaf, seorang anggota Ikhwanul Muslimin. Dalam pertemuan tersebut menteri tersebut bersetuju menawarkan sepuluh biasiswa Kementerian Waqaf Iraq untuk pelajar-pelajar Malaysia. Urusan pemilihan pelajar-pelajar tersebut diserahkan kepada PAS.

Dr Zulkifli Muhammad sebagai orang yang sering mengikuti amanat perjuangan daripada Sayyid Qutb terutamanya, tidak dapat menerima kompromi PAS dengan puak sosialis. manusia diciptakan daripada roh dan jasad. Jasad hanya memerlukan kebendaan sedangkan roh memerlukan penyerahan sepenuhnya terhadap penciptanya, itulah fitrah seluruh manusia. Ini mendorong beliau menulis sebuah risalah berjudul "Sosialisma dan Percanggahannya Dengan Islam." Melalui risalah ini, beliau tetap menegaskan fahaman sosialis, walau apapun bentuknya, adalah berdasarkan fahaman materialisme sekular. Penentangan mereka dengan golongan kapitalis dan feudalis hanyalah berdasarkan kepentingan kebendaan semata-mata. Lantaran itulah, menurut beliau, fahaman sosialis mentafsirkan sejarah manusia dari sudut masalah ekonomi dan pertentangan kelas. Sebagai jawapannya, beliau menjelaskan, manusia diciptakan daripada roh dan jasad. Jasad hanya memerlukan kebendaan sedangkan roh memerlukan penyerahan sepenuhnya terhadap penciptanya, itulah fitrah seluruh manusia. Fitrah itulah yang membentuk tamadun dan sejarah sama ada manusia itu Muslim terhadap Allah ataupun kafir, bukannya faktor ekonomi ataupun pertentangan kelas.

Pemikiran Dr Zulkifli Muhammad, khususnya merujuk ulasan-ulasan beliau mengenai sosialisme dan percanggahannya dengan Islam jelas menampakkan persamaan dengan penjelasan Sayyid Qutb. Dalam membezakan antara ciri-ciri masyarakat Islam dan jahiliyyah. Sayyid Qutb antara lainnya mengatakan masyarakat komunis ingin mewujudkan persatuan manusia atas dasar tanpa kelas tetapi di bawah pengurusan kelas pekerja sejagat (proletariat). Proletariat sebagai satu parti yang memerintah dan menyediakan seluruh sumber keperluan jasad, meliputi makanan, pakaian , tempat tinggal dan pasangan seks. Berdasarkan khidmat ini masyarakat komunis diajar melakukan ubudiyyah kepada parti.

Demikianlah sekilas pandang tentang pasang surutnya perkembangan pemikiran Ikhwanul Muslimin khususnya Sayyid Qutb dalam PAS. Walaupun ia sudah berkembang dan bertapak dalam PAS terutama di zaman Dr. Zulkifli Muhammad, tetapi di zaman Dato' Asri pemikiran tersebut mula disisihkan. Sebaliknya pemikiran politik kebangsaan Melayu mula mengambil tempat. Hal ini berlangsung hampir dua dekad. Setelah PAS diterajui kepemimpinan ulama di awal tahun 1980-an, barulah pemikiran Ikhwanul Muslimin diberi tempat semula, malah semakin diberikan perhatian.

Sementara itu kelahiran ABIM pula dirintis terlebih dahulu oleh badan-badan dakwah pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan badan dakwah al-Rahmaniyyah. PAS pula telah didahului oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmi dan Hizbul Muslimin (Hamin) pimpinan Allahyarham Ustaz Abu Bakar Baqir.

Pemikiran Ikhwanul Muslimin sudah lama wujud di Malaysia. Bagaimanapun kesannya hanya nampak semenjak golongan belia seperti PKPIM dan ABIM mengambil peranan menyebarkannya semenjak awal tahun 1970-an. Ketika itu, tambahnya, pemikiran Sayyid Qutb lebih menonjol berbanding dengan pemikiran Hassan al-Banna sendiri. Ini kerana pemikiran Sayyid Qutb , yang bersifat revolusioner dan anti-Barat, sesuai dengan para belia Islam pada masa itu. Kebanyakkan belia Islam khususnya di Malaysia merasa kecewa dengan sikap pemerintah pada masa itu yang masih meneruskan sifat Barat yang menebal walaupun lebih satu dekad negara ini merdeka.

Bagaimanapun, sejak dekad 1980-an, sesuai dengan kematangan usia, sikap pendokong-pendokong ABIM mula berubah.Sejak Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran negara ini tahun 1981, beliau telah mengubah imej kerajaan yang sebelumnya bersifat barat. Di samping kematangan usia, faktor sikap pemerintahan juga mempengaruhi perubahan sikap ABIM. Sejak Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran negara ini tahun 1981, beliau telah mengubah imej kerajaan yang sebelumnya bersifat barat. Sebagai orang yang pernah dianggap "ultra-nasionalis" Dr Mahathir sebaliknya melancarkan Dasar Pandang Ke Timur. Di samping itu juga berbanding dengan lain-lain pemimpin sebelumnya beliau lebih bersikap positif terhadap Islam. Berikutnya Dr Mahathir mempelawa Presiden ABIM, Anwar Ibrahim menyertai kerajaan untuk melaksanakan dasar penerapan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran.

Menurut Siddiq Fadhil, dalam era kematangan ABIM itu, tidak lagi menjadikan pemikiran Sayyid Qutb sebagai rujukan utamanya. Tambahan lagi, beliau merasakan pemikiran Sayyid Qutb adalah aliran radikal dalam Ikhwanul Muslimin dan tidak mewakili pemikiran Ikhwan keseluruhannya. Sebaliknya, ABIM lebih melihat kepada pemikiran asal Ikhwan, iaitu pemikiran Hassan al-Banna. Baginya, pemikiran Sayyid Qutb hanya sesuai untuk meruntuhkan pemikiran Barat dan kini sesudah keruntuhannya, umat Islam lebih memerlukan suatu pemikiran yang lebih konstruktif berbanding dengan apa yang diperjuangkan oleh Sayyid Qutb, sesuai dengan era kebangkitan Islam.

Kalau dalam dekad 1970-an ahli-ahli ABIM menuduh PAS tidak jelas visi Islamnya, pada tahun 1980-an ahli-ahli PAS pula memulangkan kepada ABIM tuduhan tersebut.Pada dekad 1980-an sekali lagi kedua-dua pertubuhan ini, ABIM dan PAS mengalami perubahan. Kalau dalam dekad 1970-an ahli-ahli ABIM menuduh PAS tidak jelas visi Islamnya, pada tahun 1980-an ahli-ahli PAS pula memulangkan kepada ABIM tuduhan tersebut. Ini bermula dengan penyertaan Anwar Ibrahim, Presiden ABIM di dalam UMNO pata tahun 1982. Sebahagian ahli-ahli ABIM dan kebanyakkan ahli-ahli PAS menganggap tindakan tersebut 'tidak syar'e'.

Apabila para pemuda yang mendapat pendedahan konsep gerakan Islam semakin bertambah dalam PAS, begitu juga kesan kejayaan Revolusi Iran, menyebabkan desakan agar kepemimpinan parti diterajui ulama dan menjadikan PAS sebuah pergerakan Islam semakin lantang. Ia menyebabkan Dato' Asri dan kumpulannya meninggalkan PAS pada tahun 1983. Dengan itu PAS diambil alih kepemimpinan ulama.

Demikianlah sedikit kajian bagaimana pemikiran 'aqidah al-Illahiyyat oleh Sayyid Qutb terutamanya mengenai konsep al-Hakimiyyah dan pengaruhnya kepada gerakan Islam di Malaysia. Sesungguhnya konsep ini adalah force kepada gerakan "fundamentalis" Islam sama ada Ikhwanul Muslimin, Jama'at Islami mahupun Revolusi Islam di Iran. Demikian juga ia menjadi force kepada gerakan Islam di Malaysia masa kini, terutamanya PAS.

February 07, 2010

Peranan Ulama Dalam Kemerdekaan

Perjuangan kemerdekaan di setiap inci bumi umat Islam adalah dipelopori oleh alim ulama walaupun sejarah ini cuba dipadamkan oleh kelompok sekular pragmatis yang memerintah umat Islam. Dalam negara tercinta ini juga, sejarah perjuangan ulama dalam menentang penjajahan tidak didokumentasikan dengan baik sehingga pernah dituduh bahawa ulama tidak memperjuangkan kemerdekaan.
Sheikh Muhammad Abduh

Pada dekad 1920 an berlaku 'revolusi mental' yang digerakkan oleh ulama-ulama muda yang mendapat pendidikan tinggi di Universiti Al-Azhar di Mesir. Syed Syeikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaludin, Abas Mohd Taha, adalah sebaris nama-nama yang berjasa besar meniupkan api perjuangan untuk mengislahkan diri bangsa Melayu yang serba terpuruk akibat penjajahan dan kesalahfahaman terhadap Islam yang syumul.
Sheikh Jamaluddin Al-Afghani

Di Indonesia yang dijajah oleh Belanda selama 350 tahun, ulama-ulama telah bangkit di antaranya Imam Diponegoro yang memimpin umat Islam dalam Perang Jawa (1825-1830). Haji Miskin di Sumatera dalam perang selama 15 tahun manakala di bumi Libya yang dijajah Itali, perjuangan kemerdekaan telah dikemudikan oleh As-Syahid Sheikh Umar Mukhtar. Negara 'Sejuta Syuhada' iaitu Algeria turuut menyaksikan peranan para alim ulama dalam arus perjuangan kemerdekaan iaitu Sheikh Abdul Kader Al-Jazair. Negara ini telah bersimbah darah mewangi para syuhada sehingga Algeria mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1962.

Di Nigeria yang pernah tertegak sebelumnya Khalifah Sokoto telah diterjah oleh kuasa British namun umat Islam telah mengoborkan panji jihad yang mulia di bawah pimpinan Sheikh Uthman telah dibuang negeri oleh penjajah British.

Di Mesir pula bangkit ribuan ulama yang menentang penjajahan Perancis dan Mesir terutama tentang idea Pan Islamisme yang digendangkan oleh Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, dikembangkan gagasan ini secara praktis oleh Hassan Al-Banna melalui penubuhan Ikhwanul Muslimin. Pengaruh idea ini dengan pantas mengisi ruang umat Islam mencari identiti diri yang hilang akiba penjajahan, majalah-majalah seerta buku tersebar luas ke rantau Arab, Afrika, Benua Kecil India dan Asia Tenggara. Kemunculan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928 di Ismailiah, Mesir makin merancakkan perjuangan kemerdekaan di sleuruh dunia Islam apabila kaedah berorganisasi dalam acuan abad moden diperkenalkan oleh As-Syahid Hassan Al-Banna. Gerakan ini menjadi model kepada gerakan lain yang muncul kemudiannya seperti Jamiat Islami di Pakistan, Hizbul Muslimin di Tanah Melayu, Majlis Syura Muslimin (MASYUMI) di Indonesia dan puluhan yang lain di seluruh bumi umat Islam.

Kejatuhan Melaka ke tangan portugis pada tahun 1511 telah menandakan runtuhnya tamadun orang Melayu apabila kita terus dijajah oleh Portugis, Belanda, British Siam, dan Jepun untuk satu tempoh hampir 450 tahun. Menjadi bangsa yang dijajah hampir setengah alaf meletakkan orang Melayu sebagai bangsa yang mundur dan diperintah. Pengalaman orang-orang India amat berguna untuk memahami hakikat bangsa yang dijajah. Lihat sahaja bagaimana tamadun India yang diiktiraf sebagai bangsa pertama mencipta tulisan, pada hari ini menjadi bangsa yang paling ramai buta huruf. Dakwaan sarjana Barat bahawa bumi yang dijajah adalah lebih baik daripada tidak dijajah langsung adalah propaganda yang tidak bermaruah.

Kebangkitan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu pada awal abad ke-20, kemudian memuncak selepas Perang Dunia Kedua adalah langsung daripada gerakan ulama. Bahkan ulama terus berjuang melalui parti politik seperti Hizbul Muslimin dan PAS untuk menuntut kemerdekaan. Malangnya, selepas begitu lama berjuang, secara tiba-tiba baton perjuangan ini dirampas oleh tokoh-tokoh yang hanya mula bercakap soal kemerdekaan pada 1951, iaitu para pemimpin UMNO. Sebagai anak didik British mereka memperoleh manfaat dan dikenang sebagai pejuang kemerdekaan. Ulama yang sekian lama gigih berjuang, sehingga hari ini terus terpinggir dan tidak diingati sebagai pahlawan negara.

Sejarah juga tidak dapat memadamkan jasa gerakan Hizbul Muslimin dalam perjuangan kemerdekaan. Ditubuhkan pada Mac 1948 di Gunung Semanggol, Perak dan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Gerakan ini dengan jelas menyatakan matlamatnya untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan asing dan menegakkan darul Islam. Hizbul Muslimin telah diberi perhatian yang ketat oleh pihak risikan British kerana potensi mereka mampu menggugah kesedaran rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan.

February 05, 2010

Fenomena Mac 08'

Assalamualaikum, 'BAHASA JIWA BANGSA' . Kadangkala betul juga kata-kata, pepatah atau apa juga slogan yang dari hari ke sehari diperkenalkan untuk meransangkan pemikiran masyarakat. Bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi aliran pemikiran masyarakat sesuatu tempat. Ransangan melalui bahasa ini dapat menterjemahkan rasa seseorang kepada sesuatu bangsa. Sejak kebelakangan ini, seringkali kita diperkenalkan beberapa istilah-istilah baru yang mengambarkan landskap politik tanahair kita terutama pasca PRU ke-12 pada tahun 2008. Antara istilah yang saya cukup tertarik ialah 'tsunami politik' dan 'politik Feng Shui'.


Dari perspektif ilmu geografi, tsunami berlaku apabila lapisan-lapisan bumi di dasar lautan bergerak dan bertembung antara satu sama lain yang menyebabkan sebahagian dari lapisan itu lebih tinggi kedudukannya.'tsunami berlaku apabila lapisan-lapisan bumi di dasar lautan bergerak dan bertembung antara satu sama lain yang menyebabkan sebahagian dari lapisan itu lebih tinggi kedudukannya.' Keadaan ini mencetuskan gelombang ombak yang besar yang melandai pesisiran pantai. Ini merupakan satu perubahan yang radikal kepada alam semula jadi. Dengan menggunakan analogi yang sama , tsunami politik dapat didefinisikan, sebagai satu bentuk kesedaran politik yang bersifat radikal, substantif dan fundamental. Ia lahir dari proses sejarah yang panjang dalam sebuah sistemkapitalisme yang bersifat diskriminatif dan eksploitatif.

Antara amalan tradisional yang mendapat tempat di hati masyarakat Cina, termasuk masyarakat Cina di Malaysia, ialah amalan Feng Shui. Amalan Feng Shui adalah amalan yang mengambil kira apa yang dikenali sebagai penggunaan undang-undang Syurga dan undang-undang Dunia. Ini juga bermakna ia mengambil kira aspek astronomi dan geografi.'Feng Shui adalah amalan yang mengambil kira apa yang dikenali sebagai penggunaan undang-undang Syurga dan undang-undang Dunia.' Rujukan kepada aspek-aspek astronomi dan geografi ini bertujuan untuk memperbaiki 'aliran tenaga' positif yang dikenali sebagai Qi. Feng Shui ini juga melibatkan angkubah 'air' dan 'angin' yang mempengaruhi kehidupan manusia. Di era moden, Feng Shui merupakan amalan atau seni menyusunatur peralatan seperti perabot rumah bagi mencapai suasana harmonis dengan alam sekitar. Ia juga melibatkan amalan untuk memilih tempat tunggal, tanah perkuburan dan juga perancangan pertanian. Amalan Feng Shui dikatakan mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan kesihatan. Apa yang lebih menarik, pada zaman pra-Moden China, Feng Shui digunakan bagi memahami bentuk kuasa politik yang wujud pada ketika itu. Mutakhir ini amalan Feng Shui kembali populardan diamalkan oleh tokoh-tokoh dunia seperti Prince Charles dan Donald Trump. Ini selari dengan sikap politik masyarakat Cina yang berhati-hati dalam membuat keputusan politik yang bersifat strategikn dalam kerangka mempastikan kesinambungan politiknya. Pendekatan politik yang 'lembut' dan penuh cermat ala Feng Shui ini amat difahami selepas masyarakat Cina mengalami pengalaman politik yang perit yang terhasil dari peristiwa 13 Mei 1969. Dalam peristiwa 13 Mei 1969 pengundi Cina mengambil pendekatan 'keras' atau pendekatan ala Kung Fu apabila mereka bergabung dengan pengundi India dan berhadapan dengan pihak pemerintah atau Perikatan secara konfrontasi. Hasilnya, bangkitlah hegemoni Melayu dan terguballah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat sebagai memihak kepada orang Melayu. Penerusan amalan DEB sehingga kini (sungguhpun ia sepatutnya berakhir pada 1990), amat membimbangkan orang Cina. Mereka berpandangan dengan meneruskan amalan DEB tanpa had waktu, boleh menyebabkan mereka akan kehilangan kuasa ekonomi. Hilangnya kuasa ekonomi bererti hilangnya kuasa tawar-menawar dengan UMNO yang mewakili kuasa dominan BN.

January 31, 2010

Tragedi 80an.

Dasawarsa 80an adalah transisi arah aliran ekonomi dan politik negara apalbila pada tahun 1981, Dr Mahathir telah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Hussien Onn. Mahathir telah menukar arah orientasi ekonomi daripada pertanian kepada perindustrian serta memulakan beberapa langkah baru dalam pentadbiran. Antara perubahan yang dilakukan ialah Dasar Pandang Ke Timur, Penerapan Nilai-Nilai Islam, bersih, cekap, amanah dan Kepimpinan Melalui Tauladan.

Anwar Ibrahim pernah disenaraikan pemikir ke-32 dunia.

Era Mahathir Mohamad, pelbagai isu dan peristiwa telah mempengaruhi gerakan mahasiswa, antaranya kemasukan Anwar ke dalam UMNO pada tahun 1982, tangkapan ISA terhadap pimpinan-pimpinan pemuda PAS pada tahun 1984, peristiwa Memali pada tahun 1985, Operasi Lalang pada tahun 1987, perpecahan UMNO pada tahun 1988, isu pengganguran dan pelbagai lagi isu yang membentuk perjuangan mahasiswa.

ANWAR KE DALAM UMNO
Kemasukan Anwar Ibrahim, seorang tokoh gerakan pelajar penghujung dekad 60an dan tokoh belia Islam pada dekad 70an dan awal 80an ke dalam UMNO telah menggemparkan negara. Riuh gegar peristiwa ini terkesan sehingga ke luar negara, bahkan telah membawa perpecahan kepada barisan mahasiswa Islam. Anwar sememangnya menjadi harapan paling utama peserta kebangkitan Islam untuk memimpin PAS, gerakan Islam paling tua di negara ini. Karisma, aura kepimpinan, pengalaman dalam dan luar negara dalam pertubuhan belia Islam serta pernah mendekam beberapa kali di bawah ISA menyebabkan beliau sangat popular. Anwar semasa memimpin ABIM telah memanfaatkan ruang panggung pemuda dengan membina jaringan dengan dunia Islam, keterlibatan beliau dengan WAMY telah memperkenalkan beliau dengan Prof Ismail Faruqi, Tariq Qureishi, Tareq Suweidan, Sheikh Ahmad Zaki Hammad dan juga cendekiawan serta aktivis belia Islam dari rantau Asia Tenggara seperti A.M Fatwa (Indonesia).

Mahathir telah menghidu keupayaan Anwar Ibrahim untuk dijadikan regu politik beliau dalam memintas gelombang kebangkitan Islam yang menyebabkan anak-anak muda dan pelajar Universiti tidak bersama kerajaan, Anwar telah menerima pelawaan Mahathir dengan beberapa pertimbangannya yang tersendiri.

Dato' Asri (Presiden PAS) sebelumnya juga telah menawarkan tempat kepada Anwar dalam PAS namun ditolak oleh Anwar kerana hujahnya beliau belum cukup persediaan. Penyertaan Anwar ke dalam UMNO telah mendapat laluan yang mudah berbanding tokoh UMNO yang lain, beliau memenangi Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1982 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 1983 beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, pada tahun 1984 pula dilantik sebagai Menteri Pertanian, 1986 pula dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan kemuncaknya Anwar menduduki pos Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993.

Kemasukan Anwar ke dalam UMNO pada tahun 1982 telah dibahas panjang dan menyebabkan perpecahan kepada Gerakan mahasiswa Islam, dan juga ABIM sebuah gerakan Islam yang ditubuhkan oleh Anwar sendiri.

GENERASI HARAKI DAN FENOMENA HAJI HADI
Berbanding dengan dekad 1970an, generasi kebangkitan Islam pasa dasawarsa 80an lebih terurus daripada sudut tarbiyah harakiah. Ini adalah akibat daripada kemunculan ramai tokoh ulama muda dari Timur Tengah yang mendapat pentarbiahan daripada Ikhwan secara langsung. Setiap gerakan pula semakin menunjukkan komitmen untuk mengkaderkan ahli-ahli baru serta merancakkan persiapan fikrah dalam pergerakan masing-masing.

Tuan Guru Haji Hadi Awang di Dublin

Awal dekad ini juga disoroti dengan 'fenomena Haji Hadi', seorang ulama muda yang karismatik serta mempunyai pakej kepimpinan yang memukau anak-anak muda peserta kebangkitan Islam. beliau mendapat pendidikan tinggi dati Timur Tenagh (B.A. Madinah dan M.A. daripada al-Azhar) merupakan anak kepada tokoh Hizbul Muslimin Terengganu, Haji Awang Muhammad. Keberadaan beliau di Timur Tengah telah mendedahkan Abdul Hadi kepada tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Professor Muhammad Al-Wakeel dan Said Hawwa serta tokoh-tokoh Ikhwan yang lain. Kebolehannya berpidato yang membakar semangat untuk kembali kepada jaran Islam serta perawakan yang meyakinkan menyebabkan beliau berjaya mengisi ruang yang luas dalam fenomena kebangkitan Islam di negara ini. Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam usianya yang muda telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan menjadi ikon kepada generasi haraki di kampus dalam dan luar negeri dalam dekad 80an.

Gerakan mahasiswa juga sering menjemput beliau menyampaikan ceramah-ceramah agama di universiti seperti di UM yang pernah menjemput beliau sebanyak tiga kali untuk menyampaikan ceramah di Dewan Tunku Canselor. PAS pula yang mendapat faedah yang paling banyak daripada kebangkitan Islam yang berlaku telah mengalami transformasi kepimpinan iaitu daripada kumpulan Dato' Asri kepada kepimpinan ulama berikutan daripada usul yang diluluskan oleh Muktamar Pemuda PAS Pusat pada tahun tersebut.

Kesimpulannya, peristiwa-peristiwa hitam dan putih yang berlaku ini, sedikit sebanyak mematangkan kita dalam berpolitik dan memumaizkan masyarakat dalam mencari nilai hidup yang sebenar walaupun disamari dengan kezaliman dan ketidakadilan yang dituangkan dari cara hidup yang tersasar dari syariat Islam yang sebenar.

January 29, 2010

Pengaruh Dunia terhadap Gerakan Mahasiswa

Beberapa Potret Mahasiswa menggoncang dunia.

Assalamualaikum wbt, dulu kita pernah belajar, tenaga tidak boleh dicipta dan dimusnahkan, tetapi boleh dipindahkan ke bentuk yang lain. Tidakkah kita pernah terfikir, bagaimana gerakan Mahasiswa tempatan mendapatkan tenaga sinerginya? Dari mana kesedaran untuk memperjuangkan sesuatu ideologi itu wujud? Apakah hukum tenaga tidak boleh dicipta dan dimusnahkan itu boleh diterimapakai dalam menterjemah jalur dan citra gerakan mahasiswa di negara kita? Sudah tentu, jawapannya YA! Terlalu banyak peristiwa yang menggemparkan dunia yang gelombangnya boleh dirasai sehingga ke Malaysia yang sedikit sebanyak menggerakkan modus operandi gerakan ini untuk tidak ketinggalan dalam arus perubahan untuk menyahut trompet kebangkitan dan perubahan yang telah ditiup oleh hero-hero dunia sebelum ini.

Revolusi Iran
Revolusi Iran adalah salah satu peristiwa besar pada abad 15 hijrah yang menyaksikan kemunculan kuasa baru yang bangkit mencabar Barat di mana gerakan pelajar adalah elemen terpenting yang menjayakan revolusi ini. Iran daripada sudut sejarahnya adalah tapak kepada kerajaan Parsi yang telah membina tamadunnya yang tersendiri. Iran yang mempunyai kekayaan hasil gas petroleum telah berkocak akibat kebangkitan kaum pelajar menumbangkan Shah Iran yang didokong oleh Amerika Syarikat. Revolusi ini dengan pantas telah menjadi bahan berita penting dalam permulaan abad 15 Hijrah serta memberikan impak yang besar kepada dunia Islam terutama di kampus-kampus universiti apabila Iran berusaha untuk mengeksport idea-idea revolusi ini kepada anak-anak muda terpelajar.

Shah Iran

Pencerobohan ke atas Afghanistan
Pada tahun 1979, dunia telah dikejutkan dengan pencerobohan kuasa komunis Soviet ke atas bumi Afghanistan. Peristiwa ini telah mengundang simpati dan amarah umat Islam seluruh duniamalah dianggap sebagai penyumbang kepada kebangkitan umat Islam apabila media memaparkan pembantaian, kekejaman di luar batas kemanusiaan terhadap umat Islam Afghanistan yang telah sedia ada dalam kedaifan sebelum ini. Kesan semerta daripada penjajahan ini ialah berbondong-bondong pemuda Islam dari seluruh dunia tertumpu kepada gerakan jihad membebaskan bumi ini. Pelajar-pelajar universiti di Algeria pada musim cuti semester telah datang memangku senjata, begitu juga dengan kehadiran seorang pensyarah universiti, Dr Abdullah Azzam yang telah menjadi mentor kepada pelajar-pelajar universiti di Timur Tengah. Beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi kepada perjuangan jihad di Afghanistan dan beliau akhirnya telah mati dibunuh dalam satu serangan bom yang dipasang pada keretanya oleh pihak CIA.
Dr Abdullah Azzam

Insyallah, kita akan cuba menelusuri lagi beberapa peristiwa sama ada di peringkat global ataupun tempatan yang telah menjadi katalis kepada perjuangan mahasiswa supaya kita terpanggil dengan seruan untuk menegakkan keadilan di muka bumi ini. Ingatlah, menegakkan keadilan di muka bumi ini bukanlah seperti 'menanti hujan naik ke langit'. Cuma, Ianya menagih sedikit keberanian dan kesabaran.

Mereka Dalam ICU??

Assalamualaikum. Saya tidak pasti samaada tajuk atau entri yang saya pilih ini sudah lapuk ataupun sudah usang usianya, kerana ianya berkait rapat dengan PRU yang ke-12 yang telah berlalu lebih kurang dua tahun yang lepas. Tetapi, atas dasar wacana ilmiah, apa salahnya kita duduk bersemuka di layar maya internet untuk mencambahkan pemikiran kita.

Berdasarkan posmortem kendiri yang saya lakukan, termuntah beberapa alasan daripada kotak minda saya yang akhirnya mencetuskan tajuk seperti tertera di atas.Antaranya :
  1. Pertama, kerajaan BN Abdullah kehilangan empat kerajaan negeri di samping Kelantan.
  2. BN Pulau Pinang pimpinan Abdullah kehilangan Kerjaan Negeri Pulau Pinang.
  3. Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan lima kabinetnya (termasuk dua presiden parti komponen BN) tewas dalam PRU 12.
  4. Kerajaan BN pimpinan Abdullah gagal menunaikan janjinya untuk mengurangkan rasuah dan kronisme.
  5. Kerajaan BN pimpinan Abdullah menimbulkan perpsepsi umum bahawa ekonomi Malaysia hari ini seolah-olah sedang diasak oleh sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.
  6. Malaysia pimpinan Abdullah yang menjadi pengerusi OIC dan NAM kelihatan tidak memberikan perjuangan yang berkesan di pelantar antarabangsa.
  7. Kerajaan BN pimpinan Abdullah menggula-gulakan rakyat jelata dengan projek-projek koridor mega yang trilion ringgit kosnya semata-mata untuk menutup kesilapan besar akibat pelancaran WPI.
  8. Dan banyak lagi.
Itu adalah pemerhatian dari segi pencapaian yang boleh dihujahkan. Sekarang mari kita memerhati dan meneliti dari tona sejarah pula. Ingat!!! Sejarah tidak pernah menipu.

Hegemoni BN (sebelumnya Perikatan) selama 53 tahun kini mula berada di ambang berantakan dan pengecutan cengkaman, sebagaimana nasib kepada parti-parti senior di India (Parti Kongres) , GOLKAR di Indonesia, LDP di Jepun, PLN di Algeria. Parti-parti yang telah lama bergelumang dengan kuasa ini akhirnya mula ditolak oleh rakyat akibat kerakusan kuasa, penyelewengan , rasuah serta pelbagai sisi hitam yang lain. Biasanya dalam tempoh 50 tahun rakyat akan kembali menilai (revisited) tentang keupayaan parti-parti pemerintah manakala parti-parti oposisi akan kembali menawan hati rakyat sebagaimana yang berlaku di negara-negara membangun atau dunia ketiga. Di Mesir, contohnya, Ikhwanul Muslimin pada Disember 2005 telah berjaya memenangi 88 kerusi Parlimen di kawasan-kawasan bandar dan kawasan kelas menengah yang ramai. Regim pemerintah hanya masih berkuku di kawasan pedalaman yang disinonimkan dengan kemiskinan dan kejahilan.

Lambang Partai Keadilan Sejahtera (PKS)
Berasaskan Islam dan popular di kalangan Mahasiswa
dan kaum cendiakawan muda Islam.

Begitu juga di Turki, AK Parti telah menang di kawasan-kawasan bandar seperti Anatolia, Ankara, Istanbul dan kawasan-kawasan bandar yang lainnya di seluruh Turki. Begitu juga dalam pilihanraya di Pakistan baru-baru ini apabila parti oposisi telah memenangi kawasan-kawasan bandar di mana masyarakatnya lebih terdedah dengan maklumat. Sama juga di Indonesia, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) berkuku di bandar-bandar seperti Bandung.

Kini trend yang serupa telah berlaku di Malaysia, kawasan-kawasan bandar dan sub-bandar telah di menangi oleh Barisan Alternatif (BA) seluruhunya. Parlimen Wilayah Persekutuan daripada 13 parlimen, 11 daripanya telah dimenangi oleh BA. Parlimen bandar seperti Shah Alam, Kota Raja, Klang, Ampang, Gombak, Kuantan, Seremban, Kota Bharu, Kuching, Ipoh, dan Pulau Pinang. Secara keseluruhannya BA menguasai bandar-bandar di negara ini dan sudah tentu trend ini akan merebak ke luar bandar untuk tempoh lima tahun dari sekarang.

Kesimpulannya, apa yang pasti, walau apa pun yang bakal berlaku, kita perlu menyahkan banduan politik wang dari terus menjadi golongan ekspatriat dari terus memerintah negara, dan menyingkirkan mereka dari terus mengurat akarkan amalan-amalan jijik dan hina seperti kronisme, rasuah, mengongkong golongan lemah bermaharajalela dan menjadi Ad-Deen mereka. Nauzubillah..

November 28, 2009

Nuansa Mahasiswa.

1974 : Bantahan rakyat miskin di
Baling akhirnya merebak ke tengah kota.
Pelajar-pelajar sedang berdemo di hadapan Masjid Negara.

Assalamualaikum wbt, sesungguhnya sejarah mahasiswa di negara ini mengalami pasang surut perjuangan, ada suram dan ada kelam dalam kerencahan pelbagai jalur ideologi. Setiap dekad mempunyai warna masing-masing yang dilatari dengan peristiwa yang berlaku dalam lingkungan masa tersebut. Oleh itu, perlu ada satu proses mengartikulasi kekuatan dan kelemahan gerakan mahasiswa di setiap dekad terpilih supaya kita lebih adil dalam menilai sejarah.

Anwar Ibrahim, Presiden ABIM sedang
menerangkan sesuatu. Anwar merupakan
ikon gerakan pelajar di Malaysia,
beliau beberapa kali mendekam dalam
tahanan ISA. Anwar adalah sebahagian
potret 'mahasiswa menggugat' di
akhir era 60an dan awal 70an

Ketika zaman imperialisme Barat, anak-anak muda bangkit menentang penjajah di seluruh belahan dunia, Jose Rizal yang mengungkapkan idealismenya lewat karyanya 'Noli Me Tangere'(1887) dan 'El Filibusterismo' (1891) merupakan ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga menyaksikan kepada pembunuhan yang tragis. Seterusnya 'huk balahap' dan gerakan katipunan terus mengempur penjajah malah gerakan mahasiswa di Filipina terus menggempurpenjajah malah gerakan mahasiswa di Filipina terus bernadi dan bernyawa di Zaman Marcos sehingga regim Marcos berantakan lewat demonstrasi anak-anak.

Sheikh Muhamad Abduh pula mengembangkan idea-idea Pan Islamosme denbgan dilatari oleh Universiti Al-Azhar sehingga dipecat daripada universiti Islam paling berprestij itu akibat kekuatan idea Pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir Barat. Hassam Al-Banna (1906-1949) juga adalaha merupakan anak muda ketika menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada tahun 1928 sehingga gerakan ini sangat fenomenal pada abad ke-20. Almarhum yang merupakan lulusan Darul Ulum telah memindahkan markas operasi Ikhwanul Muslimin ke Kaherah pada tahun 1933 kerana mempertimbangkan penyebaran pengaruh Ikhwanul Muslimin kepada pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar yang datang dari segenap penjuru dan belahan dunia. Ternyata eksperimen ini berjaya apabila pelajar-pelajar yang mendapat fikrah Ikhwan telah menyebarkan idea-idea perjuangan Ikhwan ke negara asal masing-masing.

Di Indonesia pula, anak-anak kampus telah menjadi citra perjuangan menentang imperialis Belanda samada yang berpendidikan Islam ataupun sekular. Raden Anjeng kartini dengan gerakan sosialnya sangat muda ketika meninggal dunia, Omar Said Chokroaminoto pula anak muda intelektual yang mengasaskan Sarekat Islam yang dianggotai oleh ribuan anak-anak muda , sebuah gerakan tersohor di negara kepulauan itu pada awal abad 20 sehinggalah diresapi oleh unsur komunis (Sarekat Islam Merah) yang membaham struktur parti Islam itu dengan tindakan keras daripada penjajah Belanda. Soekarno adalah pemimpin mahasiswa dinamis yang yang dikeluarkan dari Kolej Teknologi BAndung, pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji 'Sang Saka Merah putih'. Seterusnya memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Juga tidak lupa peranan angkatan muda dalam Majlis Syura Muslimin (MASYUMI) yang meniupkan semangat jihad kepada anak-anak muda untuk mennetang penjajah dan menegakkan syariat Islam di Indonesia.

Sejarah Indonesia terus dipahat dengan citra anak muda yang rusuh dan berani menyanggah. Pada tahun 1965 ketika Soekarno digulingkan oleh Jeneral Suharto maka anak muda kampus menggerakkan kesedaran politik rakyat sehinggalah kebobrokan pemerintahan regim Suharto maka sekali lagi anak-anak kampus daripada jalur ideologi yang pelbagai telah merentap kekuasaan Suharto pada era reformasi 1998 (kumpulan daripada aliran sosialis seperti FORKOT dan KAMMI daripada aliran dakwah)Sehingga kini kampus-kampus universiti di Indonesia terus memunculkan kesedaran kepada rakyat tentang hak-hak mereka, bersama dengan denyut nadi rakyat dalam pelbagai isu. Badan Dakwah Kampus (BDK) sangat dominan di kampus malah menjadi agen penyemai kesedaran beragama bahkan sebagai katalis ideologi transnasional di bumi seribu bencana itu.

Di negara China pula, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao dan Chen Tu Shiu adalah penggerak kepada peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya telah berjaya meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949 di China. Sejarah juga telah memcatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas akhirnya menggelongsor daripada sangkar merak kayangannya.

Di Burma pula kampus telah menjadi medan utama sebagai markas menentang penjajahan British, beberapa orang anak muda intelegensia yang mempunyai kesedaran politik telah menubuhkan Persatuan Pemuda Buddha (YMBA)pada tahun 1906. Gerakan pemuda ini sangat ditakuti oleh penjajah British lantas mengharamkan keanggotaannya kepada orang awam namun idealisme dan daya juang anak-anak muda kampus ini sangat tinggi dan mencabar British dengan mengadakan mogok dan boikot yang akhirnya turut disertai oleh orang awam.

Di Thailand, negara gajah putih ini juga tidak lekang daripada pengaruh gerakan politik pelajar semenjak awal abad 20 sehingga pada tahun 1932 telah berjaya melakukan Revolusi Thai yang telah mengakhiri imuniti raja. Istana terpaksa tunduk kepada desakan anak-anak muda yang mahukan raja berpelembagaan. Kebangkitan anak-anak muda yang mendapat pendidikan dari luar negara yang membuka dimensi berfikir yang lebih luas tentang konsep negara bangsa , nasionalisme, sosialisme, hak asasi manusia, liberalisme, kapitalisme dan sebagainya. Akhirnya, pada 24 Jun 1932, revolusi Thai telah menggelegak tanpa pertumpahan darah dan anak-anak muda yang menggelarkan mereka sebagai 'partai rakyat' menjadi kerajaan sementara untuk meletakkan Thailand sebagai 'negara baru' yang dimodelkan dengan konsep raja berpelembagaan ala barat.

Arus kesedaran untuk membaiki diri bangsa yang terpuruk dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan pada awal abad ke 20 telah digerakkan oleh anak-anak kampus al-Azhar seperti Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh tahir Jalaludin, Abbas Kalali sehingga kelompok mereka sangat dicurigai. Melalui pembinaan madrasah-madrasah moden ala Mesir dan penulisan, kelompok ini telah menebarkan kepedulian sosial politik masyarakat Melayu untuk merdeka. Bapa kemerdekaan Tanah Melayu, Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi pula semenjak belajar di Universiti Aligargh, India adalah anak muda yang sarat dengan idealisme akibat pergaulannya yang luas dengan tokoh-tokoh nasionalisme di India daripada Liga Muslim India. Kepulangan beliau ke tanah air telah melonjakkan momentum perjuangan kemerdekaan. Menerusi akhbar 'Taman Bahagia' beliau telah melontarkan kritikan bernas terhadap Inggeris sehingga dipenjara pada tahun 1937.

Di bumi Afghanistan, bumi jihad yang berlatarbelakangkan bukit-bukit kontang, menyaksikan kebangkitan mahasiswa menentang penjajahan Russia pada tahun 1979. Gulbuddin hekmatyar seorang pemimpin kampus Universiti Kabul telah menyeru perang jihad kepada teman-teman kampus yang lain sehingga sepuluh tahun berikutnya, 'beruang merah' Russia angkat kaki dari bumi jihad itu pada tahun 1989.

Di Algeria, bumi yang merdeka daripada Perancis pada tahun 1962 telah menyaksikan keberanian anak-anak muda kampus, berselut lumpur menentang kezaliman. Dalam dekad kebangkitan Islam pula, kampus-kampus telah menjadi medan latihan berpolitik dan pusat kebangkitan Islam sehingga memunculkan Front Islamic Salvation (FIS) pada penghujung dekad 1980an antara lain bekas pimpinan mahasiswa seperti IR Abdul Kader Hachani dan Ustaz Ali Benhaj.

Catatan di atas hanyalah sekelumit sketsa dan potret perjuangan anak-anak kampus menggerakkan arus perubahan rakyat. Regim tirani di sepanjang denai sejarah sering tersungkur berhadapan dengan gerakan pelajar dan inilah menjadi alasan mengapa regim yang korup akan merantai dan mengatup rapat suara daripada kampus. Bahkan lebih sadis, mereka sanggup membasahkan aspal dengan darah anak-anak muda kampus yang menuntut keadilan dan kebenaran sepertimana yang berlaku di Medan Tianmen pada tahun 1990, jalanraya-jalanraya di Tehran pada tahun 1979, Jakarta pada Mei 1998 dan di segenap penjuru belahan dunia.

Suara mahasiswa adalah suara keramat yang menjadi cerminan kepada kegelisahan rakyat marhain. Laungan nyaring mereka adalah derak hati yang merindui masyarakat adil tertegak di atas muka bumi tercinta ini.

November 25, 2009

Selamat Berpraktikal Sahabat-sahabat


Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah penantian itu satu penyiksaan, tetapi penyiksaan, kepahitan, kepayahan dan kesusahan itulah yang menyatukan kita. Mungkin ini adalah masa yang dinanti-nanti oleh semua pelajar termasuk pelajar-pelajar Tahun Ketiga Semester Pertama Kejuruteraan Awam UTP pada semester july 2009 iaitu tamatnya peperiksaan akhir semester. Semua maklum, Civil memang selalu lewat habis peperiksaan akhir semester. Tetapi, kita tetap tabah. Ternyata suasana untuk semester pada kali ini mengungkap berjuta kenangan dan perasaan kerana lapan bulan selepas ini, masing-masing akan bertebaran di merata tempat membawa diri untuk melakukan praktikal industri di tempat masing-masing. Madi cukup terharu melihat gambar-gambar ini kerana, walaupun dalam kepelbagaian tabiat dan ragam, tetapi, kami masih boleh bersatu dan kenangan ini tidak mungkin terbeli dan terbayar tanpa kerjasama dan tolak ansur antara kami semua. Madi mengucapkan selamat berpraktikal kepada semua sahabat, korek dan galilah ilmu dan pengalaman sebanyak-banyaknya. Insyaallah, panjang umur, kita jumpa balik lapan bulan dari sekarang sebagai 'Budak Final Year' nanti. Insyaallah kita akan jadi abang dan akak yang baik. Madi nak minta maaf juga kalau Madi tak dapat jadi sahabat yang baik. Apa-apa pun, korang memang best, terima kasih kerana menceriakan hidup Madi selama lima semester ni.