Recent Posts

Showing posts with label PRK. Show all posts
Showing posts with label PRK. Show all posts

June 26, 2011

Ada Apa Dengan Pilihanraya Kampus (PRK) UTP?? Siri III

Oleh : Hasmadi Hasbi

Ada Apa Dengan Pilihanraya Kampus (PRK) UTP?? Siri III

Pada tahun 2010, seakan sudah menjadi trend, akan ada calon dari pelajar tahun akhir yang bertanding untuk kerusi umum. Saingan pada tahun 2010 dilihat menarik kerana buat pertama kalinya, seorang calon non-Malaysian masuk ke gelanggang untuk bersaing dengan enam (6) calon Malaysian yang lain untuk merebut lima kerusi Majlis Tertinggi MPP UTP. Namun padah menimpanya apabila beliau gagal untuk mengatasi populariti calon-calon jenama Malaysia. Bagi kerusi program, seperti biasa menang tanpa bertanding.

Walaupun beliau dilihat calon yang agak kredibel dari segi pengalaman dan pengetahuannya, namun, mungkin ianya belum dapat meruntuhkan tembok kenegaraan di kalangan minda pengundi kampus. Natijah PRK UTP 2010 sekali lagi melambungkan calon pelajar tahun akhir sebagai Presiden MPP UTP. Apa-apapun disebabkan lambakan peristiwa sepanjang bulan PRK seperti NGC, Music Pursuit, Convofair dan ditambah lagi dengan kesibukan akademik mencartakan PRK UTP pada tahun 2010 antara PRK yang hambar.

Secara analitikalnya, faktor calon memainkan peranan yang sangat penting dalam mencaturkan perjalanan sesuatu PRK. Namun, sedar tak sedar, sebenarnya, kekosongan Kerusi Umum lebih mengiur dan menggoda calon-calon yang hendak bertanding. Natijahnya, kerusi program hanya dipandang sepi dan seringkali sunyi dari sambaran politikus kampus. Faktor lain, seperti pemilihan waktu yang sesuai juga amat perlu supaya fokus pelajar tidak lari dari terarah kepada PRK. Ianya sedikit sebanyak akan menentukan kekuatan gravitinya untuk menarik pengundi melangsaikan tanggungjawab mereka menentukan siapakah yang layak ditauliahkan sebagai yang mengisi takhta tertinggi dalam organisasi mahasiswa kampus.

-TAMAT-

June 19, 2011

Ada Apa Dengan Pilihanraya Kampus (PRK) UTP?? Siri II

Oleh : Hasmadi Hasbi

Ada Apa Dengan Pilihanraya Kampus (PRK) UTP?? Siri II

Ironinya, pada tahun 2007, ledakan kesedaran politik kampus UTP berada dalam keadan hibernasi apabila kedua-dua kerusi umum dan program dimenangi mudah tanpa pertandingan. Walaupun pada awalnya enam calon menghantar nama untuk beradu kerusi umum, namun pasca penamaan calon menyaksikan seorang daripada mereka telah di’MatJenin’kan kerana angan-angannya untuk bertanding dalam PRK pada tahun ini hanya tinggal angan-angan dek kerana pencalonannya ditolak. Ada yang menyifatkan kemenangan calon-calon dalam PRK pada tahun 2007 adalah kemenangan dalam kekalahan.

Pada tahun 2008, nampaknya, lena PRK UTP tersedar dari hibernasinya. Letusan supernova pengundi pada tahun 2005 nampaknya kembali lagi pada PRK kali ini. Sebelas (11) calon telah menamakan diri dan layak bertanding untuk merebut lima kerusi Majlis Tertinggi dan enam kerusi program dipertandingkan iaitu daripada program BIS, Kejuruteraan Petroleum dan Kejuruteraan Kimia, manakala enam kerusi program lagi menang tanpa bertanding iaitu daripada Kejuruteraan Awam, Elektrical dan Elektronik, Mekanikal dan ICT.

Kerencaman latarbelakang dan idelisme calon-calon memberi kesan Domino kepada bilangan keluar mengundi dan undian calon yang meningkat. Tempoh kempen juga menyaksikan beberapa insiden tegang seperti mengoyak poster dan banner calon lain, serta beberapa siri insiden provokasi antara calon. Atas beberapa kesilapan teknikal juga, SPR telah mengambil keputusan yang berat untuk memanjangkan tempoh kempen daripada satu minggu kepada dua minggu. Ini sudah tentu mencabar imuniti calon untuk mengekalkan momentum sokongan pengundi kepada mereka. Sudah tentu pencapaian PRK pada tahun ini sinonim dikaitkan dengan PRK pada tahun 2005 yang dilabel antara PRK UTP yang berjaya dengan kemenangan bergaya calon-calon yang bertanding.


Nuansa PRK UTP dibandingkan dari satu tahun dengan tahun yang lain menyajikan impresionistiknya yang tersendiri. Stanza PRK UTP masih lagi meneruskan perenggannya pada tahun 2009 , dengan pertandingan enam (6) penjuru merebut lima kerusi umum. Walaupun hanya kerusi umum yang menyaksikan pertandingan dengan enam penjuru, namun, kematangan calon-calon mencatur strategi untuk mencandu sokongan pengundi dilihat matang. Pelbagai sentimen dimainkan untuk mengekstasi pemikiran pengundi untuk menyokong para calon. Antara sentimen yang dimainkan adalah seperti sentimen batch, jantina, dan juga sentimen senior/junior dalam MPP. Ramai calon yang disifat Heavy Weight tampil dengan kekuatan, kredibiliti dan pengaruh masing-masing.

Wajah PRK pada tahun ini juga diserikan lagi dengan kehadiran seorang calon Non-Malay berbangsa India yang pertama sepanjang sejarah PRK UTP, yang akhirnya menyaksikan kemenangannya menduduki satu tempat dalam Majlis Tertinggi MPP UTP. Uslub kempen juga dilihat lebih sofistikated berbanding sebelum ini iaitu kempen yang menembusi gentian-gentian maya seperti Blog-blog, Facebook, Twitter dan lain-lain tanpa meninggalkan kaedah kempen yang konvesional seperti perang poster, banner dan kempen ke bilik-bilik.

Bersambung...

June 14, 2011

Ada Apa Dengan Pilihanraya Kampus (PRK) UTP?? Siri I

Oleh : Hasmadi Hasbi

Ada Apa Dengan Pilihanraya Kampus (PRK) UTP?

Menyingkap babak-babak Pilihanraya Kampus (PRK) UTP tahun-tahun sebelum ini, ianya tidak dapat lari dari mengalami pasang surut yang membadai padang politik kampus UTP. Acapkali kedengaran banyak pandangan dan cadangan daripada politikus dan pencinta politik kampus UTP seawal pra sehinggalah pasca PRK UTP. Ianya juga tidak dapat lari dari terus dikejar gosip-gosip, khabar-khabar angin, kritikan, pujian, kejian serta bermacam persepsi dan pandang sisi yang rencam dengan pendapat tersendiri. Dek kerana UTP mengamalkan sistem akademiknya yang unik, maka waqi’ (suasana) politik kampusnya sedikit unik berbanding kampus-kampus lain.

Jika diteliti perkembangan PRK UTP, bermula pada tahun 1997 yang menyaksikan PRK UTP yang pertama sehinggalah pada tahun 2003, proses penamaan calon akan berakhir dengan kemenangan mudah tanpa pertandingan.

Walaubagaimanapun, kehambaran PRK UTP yang kian sugul dari tahun ke tahun akhirnya berjaya dirobek menerusi PRK UTP pada tahun 2004 dengan penglibatan dua belas (12) orang yang menamakan diri sebagai calon untuk beradu merebut lima kerusi emas Majlis Tertinggi MPP UTP.

Setahun kemudian, pada tahun 2005, nampaknya, darjah kehangatan PRK UTP terus menyengat dengan penampilan sengit di antara calon yang bertanding. Dek kerana masalah teknikal di pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) UTP, akhirul kalam hanya enam (6) orang calon sahaja yang berjaya melepaskan diri untuk saringan pertama iaitu tapisan penamaan calon untuk melayakkan mereka bertanding dalam PRK UTP. Ternyata, suasana PRK UTP pada tahun itu disifatkan havoc dengan perang poster yang menghujani kampus. Jarum meter kesedaran politik kampus pada tahun ini dikira pada tahap klimaks.

Episod-episod cemas PRK tahun 2004 dan 2005 nampaknya meneruskan legasinya pada tahun 2006 dengan penglibatan sembilan (9) calon untuk merebut sekali lagi lima kerusi keramat dalam Majlis Tertinggi MPP UTP yang telah dibubarkan. Menelusuri kronologi PRK pada tahun itu, diamati kurang menonjolkan detik-detik suspens walaupun agak menarik untuk diperhati dan diamati pertembungan antara calon veteran (bekas) MPP dan juga calon-calon muda yang dilihat kurang berpengalaman dalam aktiviti-aktiviti kampus. Kehambaran juga sedikit terasa dek kerana pembawaan calon-calon yang lahir dari spesies yang low profile. Skema keputusan pengundian seolah-olah bocor kerana, jangkaan dapat dibuat dengan tepat siapakah yang bakal dinobatkan sebagai pemenang untuk mengisi lima kerusi Majlis Tertinggi MPP UTP yang menjadi igauan setiap calon yang bertanding, hatta seawal penamaan calon lagi walaupun tempoh berkempen belum berakhir. Salute perlu diberikan kerana ada pihak yang berkempen bagai nak rak untuk menarik perhatian masyarakat kampus.

Bersambung...

June 08, 2011

Teka-teki Pilihanraya Kampus UTP 2011.


Oleh : Hasmadi Hasbi

Teka-Teki Pilihanraya Kampus UTP

Sejak kebelakangan ini, ramai di kalangan pemerhati politik dan politikus-politikus menabalkan diri mereka sebagai ahli nujum yang cuba meramal bila tarikh sebenar PRU ke-13. Masing-masing hadir dengan teori dan sifir tersendiri sebagai dalil kepada tekaan mereka. Ada yang menjangkakan PRU akan berlaku pada bulan Julai, September atau November tahun 2011, dan tidak kurang juga ada meramalkan bulan April 2012. Sedang itu, Perdana Menteri Malaysia juga menghangatkan lagi peraduan teka-teki bilakah berlakunya PRU dengan memberi hint nombor sebelas (11) yang menurutnya memberi beberapa signifikan dalam hidupnya.

Dari kiri : Nizam (Presiden MPP UTP 05/06), Mudzil (Presiden MPP UTP 06/07), Syahmi (Presiden MPP UTP 07/08), Farouqi (Presiden MPP UTP 08/09) , Hanif (Presiden MPP UTP 09/10), Hamzah (Presiden MPP UTP 10/11)

Nampaknya, teka-teki tentang keabsahan tarikh sebenar PRU ke-13 menyerap masuk ke kampus Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) berkenaan bilakah berlakunya Pilihanraya Kampus (PRK) 2011. Teka-teki ini disabitkan dengan rombakan sistem akademik baru yang juga dikenali sebagai Trimester.

Merujuk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam buku panduan PRK UTP menyatakan Penamaan Calon hendaklah dilakukan dalam tempoh enam belas (16) hari selepas notis dikeluarkan yang juga merupakan hari pembubaran MPP dan Hari Pengundian hendaklah dilaksanakan dalam tempoh sepuluh (10) hari selepas penamaan calon.

Mengintip dan mengintai intipati semester Mei 2011 yang penuh dengan peristiwa penting seperti bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri, tidak ketinggalan dengan kekayaan event nya seperti Ramadhan Discovery (RD), Euphonius dan banyak lagi, sudah tentu ianya menjadi satu parameter dan kompas dalam menentukan bilakah tarikh yang sesuai untuk diadakan PRK.

Apabila ditaakul dari segi perbandingan komposisi pelajar yang akan berada di kampus antara semester Mei 2011 dan September 2011, sudah tentu margin antaranya terlalu besar kerana akan hanya ada tiga batch yang akan berada di kampus pada semester September 11 iaitu Jan 07, July 07 dan Mei 10 termasuklah pelajar-pelajar tahun asas (Foundation) berbanding semester Mei 2011 yang mana semua pelajar berada di kampus ketika itu. Ini memberi sedikit kredit jika PRK diadakan pada semester Mei 2011 dari segi bilangan pengundi yang akan menjadi salah satu punat yang menentukan darjah kehangatan sesuatu PRK.

Selain itu, jika PRK diadakan pada semester ini (Mei 2011), ianya akan memberi sedikit surplus kepada intensiti populariti bakal calon-calon yang akan bertanding dalam PRK akan datang kerana faktor pengundi yang ramai. Secara subsidinya, tempoh kempen PRK merupakan tempoh yang kritikal dengan penampilan uslub kempen yang pelbagai, aktif dan kreatif untuk membeli hati para pengundi.

Dalam hal yang lain, jika PRK tidak diadakan pada semester ini (Mei 2011) dan tempoh khidmat MPP diberikan talian hayat sehingga semester September 2011, bermakna, MPP UTP yang ada sekarang akan sedikit lumpuh kerana beberapa vertebrata nya yang terdiri daripada Majlis Tertinggi dan Exco akan bercempera lantaran cuti semester yang panjang iaitu lebih kurang empat bulan dan ada yang akan berpraktikal. Ini sudah tentu memacetkan gerak kerja MPP untuk menumpahkan sepenuh kudrat dan masa mereka untuk menjaga kebajikan pelajar marhaen. TERIMA KASIH MPP!!.

Secara normanya, satu-satu barisan kepimpinan MPP itu hanya akan menduduki tampuk kepimpinan kurang lebih satu tahun sahaja walaupun tiada peruntukan yang jelas termaktub dalam buku panduan PRK UTP tentang allowable period seseorang menjadi MPP.

Di tambah lagi, dengan implementasi sistem akademik yang dianggap sofistikated aka Trimester, sudah tentu pihak pengurusan terutamanya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PRK UTP sedang menghisab tentang perlaksanaan PRK seresam dengan sistem akademik yang baru ini. Secara logika nya, dapatan perlaksanaan PRK akan datang bakal menjadi spesimen pertama kepada SPR untuk menjalankan Research and Development (RnD) mereka terhadap perlaksanaan PRK yang mujarab dalam sistem Trimester.

Kesimpulannya, kendatipun teori atau hipotesis yang diusulkan, kesedaran tentang peripentingnya keterlibatan setiap entiti dalam kampus, dan partisipasi mereka dalam PRK secara optimum, mengikut posisi masing-masing, perlu dimobilisasikan agar objektif PRK diadakan dapat dicapai. TAMAT.

October 29, 2009

Kehangatan PRK UTP 2009



Assalamualaikum,

Nampaknya, walaupun PRK UTP 2009 telah berlalu, namun ia tetap melakarkan sesuatu yang menarik dalam mencorak politik kampus UTP. Berikut merupakan keputusan PRK UTP 2009 yang telah diumumkan oleh pihak SPR sendiri :













October 28, 2009

UTP pasca Pilihan Raya Kampus 2009::Ke Manakah Hala Tuju MPP Seterusnya?


Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, akhirnya Pilihanraya Kampus UTP baru sahaja melabuhkan tirainya pada malam semalam dengan satu keputusan yang sangat menarik untuk ditelaah. Para pengundi UTP telah melangsaikan tanggungjawab mereka dengan memangkah calon pilihan mereka. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku, dan semuanya berlaku dengan lancar. Nombor-nombor statistik telah diumumkan, namun ia bukan sekadar nombor biasa sahaja, ada sesuatu yang masih perlu digali maksud yang tersirat disebaliknya. Biarkan masa lalu yang bergerak pantas, bersedia dengan masa depan yang kunjung menanti.

Pengurangan Peratusan Pengundi
Seramai 1535 pengundi telah menggunakan kuasa undi mereka di peti undi pada PRK UTP pada kali ini(2009). Jumlah ini menyumbang sebanyak lebih kurang 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi. Peratusan pengundi yang turun mengundi pada tahun ini(2009) berkurang berbanding pada tahun 2008 iaitu lebih kurang 3024 pengundi yang menyumbang sebanyak 48.3 peratus (Rekod pengundian tertinggi UTP). Ke manakah perginya baki 75 peratus undi yang lain?? Perkara ini perlu dilihat serius oleh barisan kepimpinan MPP yang baru. Bagaimana untuk menarik kepercayaan lagi 75 peratus yang tidak mengundi. Walaupun lima calon yang diumumkan mendapat undian lima tertinggi, dan akhirnya dapat menduduki takhta lima kerusi Majlis Tertinggi MPP sebagai habuannya, tetapi perlu diingat, anda masih belum dapat mejuarai hati-hati pengundi yang lain. Bagaimana untuk menaikkan peratusan mengundi untuk PRK-PRK yang seterusnya? Ini yang perlu untuk kita sumbang sarankan demi survival UTP di masa akan datang.

Kehadiran Seorang Non-Malay Mewarnai MPP UTP 2009/10?
PRK pada kali ini sememangnya mencatatkan Bench Mark nya yang tersendiri apabila seorang Non-Malay berjaya melepasi palang yang ke-5 dan seterusnya melayakkan beliau bersama 4 yang lain. Adakah kewujudan perwakilan Non-Malay ini benar-benar mampu mengubah beberapa persepsi jelik yang ditujuarahkan kepada MPP sehingga marhaen menganggap MPP hanya mewakili beberapa golongan sahaja dan tidak mewakili semua pelajar. Seolah-olah UTP terkena dengan tempias atmosfera luar kampus yang sekarang ini lebih terbuka untuk semua orang. Dalam konteks Malaysia, Pakatan Rakyat mampu menggabungjalinkan tiga parti yang secara dominan yang berdasarkan racist iaitu PAS, PKR dan DAP. Dalam konteks global pula, Amerika pula telah membuktikan demokrasi yang lebih subur dengan kehadiran seorang Presien berkulit hitam di Rumah Putih. Prof Dr Hassan Hasbullah, salah seorang proffesor dari Universiti Malaya pernah mengatakan yang abad ke-21 ini adalah abad 21, yang aman kita perlukan kepelbagaian untuk mencapai satu keharmonian dan kesinambungan. Persoalan, adakah dengan kehadiran seorang Non-Malay ini cukup kuat untuk membawa suara-suara Non-Malay dan seterusnya menggarisbawahkan kebajikan mereka dalam agenda MPP untuk membawa perubahan kepada UTP?


Paduan Tenaga 3 Batch yang Mampan
Keseimbangan nisbah berdasarkan batch akademik di kalangan calon juga dilihat sebagai satu kekuatan dalam gabungan individu yang membentuk satu kerajaan Mahasiswa yang kuat. Kata kunci yang pertama ialah SEIMBANG dan HOLISTIK. Dan kata kunci yang kedua ialah KESINAMBUNGAN.

Di bawah payung SEIMBANG dan HOLISTIK. Kita melihat terdapat perwakilan mewakili suara senior dan junior. Walaupun hanya seorang sahaja wakil dari pelajar tahun akhir, dan 4 yang lain boleh dianggap mewakili batch bawahan, namun, suara besar senior secara teorinya dapat diseimbangkan oleh suara ramai junior. Ini menjadi satu lagi elemen Check and Balance dalam satu jentera yang menggerakkan MPP secara keseluruhannya. Keadaan ini tidak akan menenggelamkan suara samada junior ataupun senior. Secara sifir dan rumusnya juga, senior dan junior mempunyai tahap pemikiran dan kematangan yang berbeza dalam beberapa perkara, justeru paduan ini diharapkan dapat menjernihkan keadaan ini pada kedaan yang neutral. Secara tidak langsung, pengaruh senior dan junior dapat dimagnet dan ditempelkan kepada MPP. Adakah wakil senior dan junior ini hanya simbolik semata tanpa membawa sedikit kesan pun dalam merencahkan isu-isu berbangkit senior dan junior dalam agenda MPP yang lebih besar?

Di bawah payung KESINAMBUNGAN. Saya melihat ada kepentingan kita menampilkan muka-muka baru dan muda dalam barisan kepimpinan MPP. Waqi (keadaan) dan gerak kerja MPP tidak boleh disamabandingkan dengan mana-mana kelab atau persatuan yang lain. Setiap penggal, keseluruhan tanzim (organisasi) akan berubah dari pucuk pimpinan hinggalah ke akar umbi. Dan perkara ini akan terus dan terus berlaku selagi mana setiap pimpinan itu akan dibubar dan dibentuk kembali melalui PRK. Berbanding kelab-kelab atau persatuan-persatuan, pucuk pimpinan akan bermula dari bawah, dilatih dan dinaikkan berdasarkan prestasi kerja masing-masing. Kita tidak dapat lari kehadiran individu dalam MPP yang tidak berpengalaman dan tidak berpengetahuan luas tentang gerak kerja MPP. Justeru terdapat keperluan adanya calon yang lebih senior(bukan dari segi umur, tapi pengalaman) dalam gerak kerja MPP sebagai ex-officio yang akan tolong mengemudi dan meneruskan legasi yang telah dimulakan oleh MPP sebelum mereka. Keperluan muka lebih baru dan muda pula dengan harapan mereka pula akan menjadi ex-officio suatu hari nanti dan akan menjadi rujukan kepada generasi-generasi yang seterusnya. Berdasarkan pengalaman, Norzila Noh yang menjadi salah seorang Majlis Tertinggi MPP bagi dua penggal iaitu bagi sesi 2007/08 dan juga 2008/09 cukup banyak menbantu bagi memperkasakan gerak kerja MPP.

Keseimbangan Perwakilan Berdasarkan Jantina yang Baik
Walaupun sentimen ini berbaur prejudis dan berbau seksis, namun hakikat perlunya wakil dari golongan hawa harus disedari terutama dalam menjuarai isu-isu feminin. Saya optimis, dua figura yang kontra dari segi imej dan juga pembawaan diri mempunyai lingkungan pengaruh mereka yang tersendiri dan mampu untuk digabungjalinkan bagi merambatkan satu aura dan gelombang perubahan kepada kampus.

Bergu Antara Orang Berpengalaman dan Orang yang Belum Berpengalaman

Seperti yang telah kita bincangkan di awal post, gerak kerja dalam MPP tidak dapat dipelajari dari mana-mana kelab. Pengalaman kepimpinan dalam MPP menagih kepada banyak pengorbanan samada masa, harta dan jiwa. Cuba bayangkan di belakang MPP, beribu-ribu pelajar yang antara mereka ada yang menyokong, menolak, dan mendesak MPP, dan dihadapan MPP adalah pihak pentadbiran yang bilangannya tidak banyak tetapi mereka mempunyai kuasa memutuskan sesuatu.

Bagaimana Nasib Calon Program yang Menang Tanpa Bertanding?
(to be updated)

Masa Berkempen Sudah Tamat. Ayuh!! Masa Untuk Bersatu
(to be updated)

October 26, 2009

Pendekatan Sentimen dalam berkempen.. memBANTU atau memBANTUT ??


Assalamualaikum wbt..

Nampaknya, walaupun jumlah calon hanya enam orang, tetapi tetap menjamu dan menjanjikan persaingan yang hebat dalam kempem-kempem mereka. Ada antara calon yang berani menggunakan sentimen untuk menjuarai hati para pengundi. Ternyata strategi-strategi yang dicaturkan oleh beberapa pihak untuk menyisihkan seorang dalam perang enam segi ini penuh dengan sifir dan juga rumus. PRK pada kali ini bukan sahaja menarik dengan kemeriahan perang posternya, tetapi hebat dengan perang-perang saraf melalui emel-emel, dan poster-poster sentimen yang disebarkan di kalangan pelajar UTP.

Sentimen Batch
Sentimen ini bermaksud menggunakan batch sebagai bahan provokasi untuk memberi keuntungan kepada calon yang datang daripada batch yang mendominasi pencalonan. Calon ke 2, 3 & 4 berada dalam batch yang sama iaitu batch tahun pertama semester kedua , manakala calon ke 5 & 6 berada dalam batch tahun kedua semester pertama, dan calon pertama berada dalam batch yang jauh lebih senior iaitu batch tahun ketiga semester kedua yang sedang berpraktikal sekarang. Kalau dihisab menggunakan sifir ini, sudah tentu calon pertama akan kalah teruk kerana dia merupakan satu-satunya calon perseorangan dari batch beliau tambahan lagi penyokong-penyokong wajib beliau (rakan-rakan sama batch) sedang praktikal dan tidak berpeluang untuk mengundi beliau.



Sentimen Jantina
Sentimen ini berasas jantina sebagai bahan provokasi. Kalau dilihat daripada semua calon kerusi umum, hanya ada dua orang perempuan iaitu calon ke 4 & 5 berbanding 4 calon yang lain. Sudah tentu ini menarik untuk dianalisis sebagai satu acuan yang akan membentuk rima dan corak pengundi mereka. Sudah tentu undi-undi dikalangan wanita akan banyak disalurkan kepada 2 calon ini bagi meletakkan wakil golongan hawa dalam barisan kepimpinan Majlis Tertinggi MPP UTP yang akan datang. Saya melihat tidak ada keretakan atau kelompongan hubungan di antara dua calon ini kerana merela pernah berkerja dalam satu pasukan Fasi Minggu Aluan Siswa (MAS) Mei dan juga Julai 2009 dan mereka merupakan gandingan yang mapan dan kukuh. Bermakan, pengaruh pengundi mereka tidak akan berpecah kepada dua, bahkan masing-masing akan mendapat manfaat simbiosis daripada senario ini.


Sentimen Bangsa
Pencalonan kali ini juga menjanjikan satu nafas baru dalam barisan calon yang bertanding. Jika pemisahnya adalah Melayu dan Bukan Melayu, maka keuntungan akan berpihak kepada calon ke 5 , kerana dia satu-satunya berada dalam gengsi Bukan Melayu, dan dia memecah tradisi sebagai orang pertama wakil dari orang bukan orang melayu yang layak bertanding untuk PRk pada kali ini. Ini ditambah lagi dengan penglibatan beliau dalam aktiviti-aktiviti bersama pelajar dan pembawaan dan imej diri beliau yang mesra dan rendah diri memberi sedikit kredit kepada beliau. Pelajar UTP telah lama mendahagakan calon yang berasal dari bukan Melayu untuk bertanding dan seterusnya melayakkan diri untuk turut serta duduk sebaris bersama ahli Majlis Tertinggi MPP yang lain mengemudi MPP UTP. Bonus diberikan kepada calon ini kerana lebih 25 peratus pelajar UTP adalah pelajar asing antarabangsa yang dijangkakan akan menyokong beliau.

Sentimen Diri
Pendekatan ini merupakan pendekatan yang menyerang kredibiliti calon lain. Secara holistiknya, semua calon mempunyai trek rekod diri yang positif dan cemerlang, tidak ada isu peribadi yang boleh digunakan untuk menyerang sesama calon. Serangan lebih berupa propaganda dengan mendoktrinkan pengundi supaya meragui komitmen dan kredibilti cemerlang semua calon.

Di Sekitar Kempen PRK UTP 2009

Assalamualaikum wbt..

Nampaknya, kehangatan perang poster antara calon jelas kelihatan di sekitar kampus UTP, pelbagai jenis kempen poster ditonjolkan untuk memenangi hati para pengundi.