Recent Posts

January 11, 2009

Masa Yang Terluang dan Terbuang...


Assalamualaikum...

Yang pertama, utama, dan selamanya, ucap syukur kepada Allah sbt, kerana memberi kesempatan, kesihatan dan kekuatan untuk terus menekan papan kekunci ini sebagai satu manifestasi kepada rantaian dakwah yang dicetuskan oleh junjungan besar Rasulullah SAW dan juga para pejuang Islam sehingga roh Islam itu hidup dalam hati-hati orang yang beriman dan bertaqwa.

Dalam ruangan maya kali ini, kita tidak membincangkan Maudu' atau topik tertentu, tetapi insyallah membawa semua pembaca untuk kita sama-sama mem'post mortem'kan diri sempena ketibaan tahun Hijrah yang baru,1430 H.

Semakin masa bergerak semakin usia meningkat, semakin usia meningkat ajal semakin dekat. Iman kadang-kadang meningkat acapkali tersekat. Hati sering terpikat, tapi pada maksiat. Andai Allah, Rasul, dan Malaikat tidak ditaat ,alamat tidak selamat di hari kiamat.

'Demi masa. Sungguh, manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.'
Surah Al-Asr, Ayat 1-3.

Masa makin dewasa itu perkara biasa. Seumpama hidup kita yang berfasa-fasa. Cuma, apa daya dan gaya kita untuk berjaya? Kita terus memekak walau masa terus merangkak. Peka dan pekak mana satu pilihan kita? Sahabat-sahabat kita kian terhimpit dan tersepit. Sedang kita bebas dari ditindas. Mana umat agung, kenapa tidak terpanggilkah untuk sama-sama membangkit dan mengungkit keagungan silam?

Kenapa dan mengapa kita sering lupa dan alpa tatkala kita kaya dan berjaya.?Tidak guna kaya harta kalau miskin hati. Tidak guna berjaya dunia andai gagal akhirat. Usah gentar menyatakan apa yang nyata. Hati ini mual dan muak dengan sandiwara duniawi. Bukan senang hendak menghasil, lantas jangan kita membazir. Biar ia kecil, asal berhasil. Biar perlahan, asal bertahan. Biar sumbang asal menyumbang. Biarlah yang terang disuluh lagi, mudah-mudahan mata hati kita celik memandang kesamaran dunia.

Perjalanan hidup harus dilintas dan direntas,walau dugaan dunia terus memintas. Masa terus bergerak pantas, justeru jangan kita malas. Mengapa kita terus membahas apa yang telah jelas dan tuntas, biar kita tegas dan lantas. Terus mengharung walau terkurung. Terus mengasah dan memperkasa. Terus mengenal jangan meninggal. Terus dan terus memahami dan mendalami. Terus mencari laluan dan panduan. Mudah-mudahan kita tidak bankrap dan muflis di akhirat kelak.

Salam Hijrah...