Recent Posts

October 31, 2008

Pilihan Raya Kampus UTP








Assalamualaikum…

29,Oktober,2008 satu tarikh keramat yang menyelongkar pelbagai persoalan dan tarikh yang dinanti-nanti oleh segenap masyarakat di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) untuk membongkar teka-teki tentang siapakah yang akan menatang dulang kemenangan untuk mengisi kelompongan kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sessi baru 08/09.

Pilihanraya Kampus (PRK) UTP kali ini telah menyaji dan menjanjikan persaingan yang hebat dan pertempuran tertumpu kepada perebutan bagi kerusi Umum iaitu sebanyak lima kerusi yang dipertandingkan. Jumlah calon yang merebut kerusi Umum adalah sebanyak sebelas orang.

Setiap calon menampilkan strategi-strategi tersendiri untuk mencanai pergerakan kempen mereka untuk mencipta gelombang yang dapat memikat hati para pengundi. Para calon juga sedikit tercabar dan sabar dengan keputusan daripada pihak pengurusan universiti untuk memanjangkan masa berkempen dari satu minggu kepada dua minggu. Setelah membuat petisyen daripada calon-calon yang bertanding dan sokongan daripada bekas Presiden MPP UTP 06/07 dan 07/08 , natijahnya tetap sama dan pihak pengurusan tetap utuh berdiri dengan pendirian untuk meneruskan kempen selama dua minggu. Situasi ini berlaku kerana terdapat sedikit masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Berikut merupakan keputusan PRK UTP 08 bagi kerusi Umum :

HASMADI

=

1683 UNDI (tertinggi)

FAROUQI

=

1600 UNDI (ke-2 tertinggi)

NORZILA

=

1535 UNDI (ke-3 tertinggi)

NIK AKMAL AFIF

=

1468 UNDI (ke-4 tertinggi)

SYUHADA

=

1450 UNDI (ke-5 tertinggi)

FARRIZ

=

710 UNDI (ke-6 tertinggi)

SOFIA

=

643 UNDI (ke-7 tertinggi)

ADONIS

=

499 UNDI (ke-8 tertiggi)

ASYRAFF

=

473 UNDI (ke-9 tertinggi)

KHALIB

=

449 UNDI (ke-10 tertinggi)

RAHIMAH

=

423 UNDI (ke-11 tertinggi)





Bahang bagi kerusi Program pula boleh dikatakan agak suam sedikit, yang menyaksikan tiga program yang menang tanpa bertanding iaitu, Program Kejuruteraan Awam, Program Kejuruteraan Mekanikal, dan Program ICT. Manakala tiga lagi program yang bertanding iaitu Program Kejuruteraan Petroleum, Program Kejuruteraan Kimia dan Program BIS pula menampilkan pertandingan tiga penjuru untuk merebut dua kerusi bagi setiap program.

Berikut merupakan keputusan PRK UTP 08 bagi kerusi Program :

ICT

Nurul Farhan

=

193

Amir Hamzah

=

143

Khael

=

109

Petroleum Engineering

Awangku Alizul

=

238

Hafiz

=

221

Ron

=

89

Chemical Engineering

Nur Farhani

=

418

Wan Ahmad Faiz

=

376

Aimen

=

110

Sudah pastinya, pasca pilihanraya kampus ini mengungkap seribu satu persepsi dan perspektif tentang tahap politik kampus di UTP. Kerencaman manifesto yang diberikan kepada pelajar sebagai konotasi simbiosis MPP-Mahasiswa merupakan norma komuniti yang mengamalkan demokrasi. Isu tentang suara pelajar, Consequence Management, Integrasi antara pelajar tempatan dan pelajar asing, soal saman, dan banyak lagi perkara bingit diperkatakan oleh calon-calon yang menjadi pertaruhan dan percaturan untuk memenangi hati para pengundi dan seterusnya memenangi kerusi MPP itu sendiri.


Persoalan timbul, adakah episod PRK yang lepas mampu memberi impak yang lebih holistik dan adakah pimpinan MPP yang baru ini mampu memberi satu nafas yang lebih segar dan mewarnai MPP dengan satu wajah baru yang mewakili suara mahasiswa secara total? Adakah dengan suasana kempen yang boleh dikatakan hangat dan mengengat mampu membayangkan kondisi dan prestasi awal barisan kepimpinan MPP yang baru? Atau ianyanya hanyalah sekadar slogan dan komestik semata. Dan persoalan juga, adakah iklim politik kampus yang sedang kita lalui ini mampu melestarikan tahap momentumnya untuk PRK yang akan datang, adakah ianya akan terus subur, atau akan berkubur?


Setelah yang tersirat telah tersurat, dan yang terikat telah terungkap, maka mahasiswa UTP sedang berteka-teki siapakah pula yang akan mengisi kerusi tertinggi yang begitu diidam-idamkan oleh semua calon iaitu kerusi Presiden MPP yang pastinya akan menjadi ikon dan kepada MPP. Dan bagaimana pula dengan kerusi-kerusi yang lain?Insyallah kita akan membincangkan persoalan ini di kesempatan yang lain.

NOKTAH.

October 03, 2008

Syukur 51

Alhamdulillah, begitulah reaksi yang seharusnya kita pamerkan tatkala menyambut kemerdekaan kita buat kali yang ke-51 yang lepas. Tetapi jangan pula keghairahan menyambut kemerdekaan tersebut mengalpakan kita untuk menerus dan meluaskan lagi agenda pembangunan negara kita yang tidak akan menemui titik noktah selagi matahari terbit dari sebelah timur, dan kita akan terus bergerak seumpama bumi terus berputar mengelilingi matahari pada orbitnya.

Pemuda adalah agen yang bakal memacu jentera pentadbiran negara suatu waktu nanti. Justeru, perlunya mesej ini diinterpretasikan oleh golongan muda, agar apa yang diimpi ini tidak akan menjadi mimpi semata , malah inilah antara agenda yang perlu diteliti kembali agar kelangsungan kemajuan yang kita caknekan ini berparameterkan kepada dasar-dasar agama, bangsa dan negara kita.

Persoalan terbit, tatkala tahun ke-51 kemerdekaan ini baru sahaja membuka tirainya, 1001 ketidaktentuan berlaku silih berganti, dan tidak putus henti. Lantaran itu, inilah medan yang sesuai untuk kita golongan pelapis membuka minda dan serlahkanlah idea-idea yang bernas supaya akhirnya, kita menemui titik pertemuan dan pertembungan untuk bersatu bergelut dengan kemelut yang kita hadapi ini, agar segalanya berkiblatkan kepada keadilan sebagai teras hidup bermasyarakat.

Saya cukup optimis, dengan golongan pemuda yang bersifat dominan dan mobilis mampu menyediakan posisi yang mampan kepada pasukan pemimpin yang akan dilahirkan untuk terus melestarikan hayat negara kita yang telah mencapai usia matang. Sifat berani perlu mendarah daging dalam diri golongan pemuda pemudi. Berani untuk berubah, berani mengambil risiko, berani melontarkan idea-idea bernas,berani mengeksploitasikan apa jua prospek yang ada untuk manfaat manusia sejagat, dan insyaallah andai, keberanian dan ilmu digandingkan dengan iman, sebuah negara ideal yang kita canangkan setelah sekian lama dapat kita gapai.

Beberapa tokoh negara kita telah membuktikan, suara golongan pemuda yang lantang dan matang punya potensi untuk menggoncang sepi suasana, dan merancang satu agenda yang impaknya dapat kita rasakan sekarang. Tun Mahathir yang terkenal dengan sifat lantangnya sejak zaman mudanya mengkritik dasar-dasar kerajaan yang sedikit sebanyak menjadi satu elemen ‘check and balance’ dan lantang juga mengkritik tindakan-tindakan kuasa besar dan mampu menjulang nama Malaysia menerjah tinggi di mata dunia seumpama tinggi KLCC. Dato’ Seri Anwar Ibrahim satu lagi ikon kepada penggerak gerakan mahasiswa yang tegar dengan perjuangannya menuntut keadilan yang hebat dengan pidatonya yang sering melontarkan idea-idea bernas dan matang serta mampu memukau masyarakat bersama-sama beliau di barisan belakang, bersatu merealisasikan agenda reformasi ke arah pembentukkan ‘Malaysia Baru’ yang diimpikannya.

Justeru tidakkah roh perjuangan yang telah ditiupkan oleh tokoh-tokoh terdahulu ini, dapat merasuk dan meresap dalam diri kita? Kitalah yang akan membentuk wajah golongan pemuda yang lebih dinamik.

I’m Not Single

Begitulah antara kalimah-kalimah yang acapkali dilontarkan oleh kerabat bujang sebagai justifikasi bahawa mereka sudah mempunyai aset penting sebelum memulakan satu potret kehidupan yang baru yang sudah pasti akan mengubah landskap kehidupan mereka selepas itu.

Fitrah manusia, mendambakan orang lain sebagai teman sebagai pencetus momentum dan pemangkin untuk menempuh rintangan yang mendatang. Norma kehidupan, rencam dengan pelbagai jenis spesies manusia, ada yang jadi orang, dan ada juga semacam beruang. Walau apa pun berlaku, tidak boleh tidak, suasana menuntut kita mengemis untuk berteman.

Mengintai jendela sirah kehidupan di zaman Rasulullah, baginda dikelilingi ramai teman, malah mereka dipanggil sahabat oleh Rasulullah. Konotasi sahabat bagi Rasulullah tidak berlimitasikan kawan semata-mata, malah lawan juga menjadi sahabat Rasulullah.

Tatkala mengungkap perspektif ‘single’ ataupun ‘not single’ ini, dalam sedar ataupun tidak, kita tidak boleh lari dari hakikat ini, bahawa, kita hidup bukanlah berseorangan. Kita punya kawan mahupun teman yang sentiasa bersama di posisi kita berada. Teman tempat kita menumpukan sepenuh pengharapan kita dan tempat untuk kita mengadu. Itulah tuan punya dunia yang menciptakan sistem kehidupan yang begitu menakjubkan,Allah Subhanahu Wataala.

NOKTAH.

Belalang Mengaku Helang

Demikianlah, satu ungkapan yang menterjemah perihal satu ceritera Sang Belalang yang tidak berpijak pada bumi yang nyata, hatta bermain pula dengan fantasia kehidupan. Bukan salah ibu belalang yang melahirkannya, dan bukan pula dosa ampunya diri yang tidak berakal, tetapi hanya sekadar satu polemik yang mudah-mudahan akan memberi sedikit ruang kepada kotak minda kita, dan mengetuk pintu hati kita, serta mengejutkan iman yang kadangkala terlena dibuai dengan hiasan duniawi yang bertopengkan kesenangan dan kenikmatan yang telah dibisikkan oleh hasutan yang penuh dengan tipu helah.

Begitulah, iklim kehidupan yang sedang kita rasai sekarang yang semestinya sedikit sebanyak menggangu perjalanan ekosistem kehidupan kita mutakhir ini. Melihat dari pelbagai sudut pandang, ianya dapat ditransformasikan kepada realiti kehidupan kita sebagai golongan pelapis.

Sindrom ‘cukuplah tu’,dan ’oklah tu’ antara simpton-simpton yang menjadi indikator kepada gagalnya sistem pentarbiyyahan yang dilaksanakan dalam sesuatu sistem pendidikan . Sedikit tasawwur atau gambaran awal kepada dua sindrom yang dinukilkan di awal perenggan. Mutakhir ini, kita dikejut dengan laporan dari QS World Ranking University yang melaporkan kedudukan beberapa universiti tempatan kita yang dianggap universiti elit tetapi mendapat kedudukan yang mengaibkan dan memalukan. Sebagai dalil kepada keaiban ini, Universiti Malaya di kedudukan ke-246 terbaik antara kesemua institusi pengajian tinggi, dituruti dengan Universiti Sains Malaysia di tempat ke-307, Universiti Kebangsaan Malaysia ke-309 dan Universiti Putra Malaysia tempat ke-364. Satu pencapaian yang sangat boleh dibanggakan dikalangan yang tercorot. Di manakah letaknya kelompongan sehingga impaknya kepada nanah yang kian jijik dan mengaibkan yang boleh kita saksikan? Tidakkah penyakit ini tidak menginsafkan kita sebagai entiti yang mengisi kebanyakkan ruang lingkup institusi-institusi pengajian tinggi?

Usah kita berbicara tentang sistem pendidikan yang mungkin kudung dan tidak bermaya, usah kita berdiskusi tentang prasarana-prasarana yang mungkin kondisinya boleh dipersoalkan, tapi marilah sama-sama kita berbincang dan merancang segala kepincangan yang berlaku dalam diri kita.

Orang kata, ‘golongan pemuda sebagai golongan pelapis yang akan meneruskan mata rantai perjuangan pejuang-pejuang kita sekarang’. Ada juga orang kata ‘golongan remaja sebagai pewaris yang akan mewarisi tampuk pimpinan negara suatu hari nanti’. Adakah ia hanya sekadar slogan dan komestik? Satu isu yang agak sinis tetapi perlu dibicarakan secara komprehensif dan kolektif supaya natijahnya, dapat memberi inspirasi kepada semua golongan muda yang mungkin masih terkapai-kapai mencari destinasi dirinya sendiri.

Insyallah, kita akan menyelongkar dan membongkar sedikit demi sedikit isu-isu menarik ini.