Recent Posts

October 03, 2008

Belalang Mengaku Helang

Demikianlah, satu ungkapan yang menterjemah perihal satu ceritera Sang Belalang yang tidak berpijak pada bumi yang nyata, hatta bermain pula dengan fantasia kehidupan. Bukan salah ibu belalang yang melahirkannya, dan bukan pula dosa ampunya diri yang tidak berakal, tetapi hanya sekadar satu polemik yang mudah-mudahan akan memberi sedikit ruang kepada kotak minda kita, dan mengetuk pintu hati kita, serta mengejutkan iman yang kadangkala terlena dibuai dengan hiasan duniawi yang bertopengkan kesenangan dan kenikmatan yang telah dibisikkan oleh hasutan yang penuh dengan tipu helah.

Begitulah, iklim kehidupan yang sedang kita rasai sekarang yang semestinya sedikit sebanyak menggangu perjalanan ekosistem kehidupan kita mutakhir ini. Melihat dari pelbagai sudut pandang, ianya dapat ditransformasikan kepada realiti kehidupan kita sebagai golongan pelapis.

Sindrom ‘cukuplah tu’,dan ’oklah tu’ antara simpton-simpton yang menjadi indikator kepada gagalnya sistem pentarbiyyahan yang dilaksanakan dalam sesuatu sistem pendidikan . Sedikit tasawwur atau gambaran awal kepada dua sindrom yang dinukilkan di awal perenggan. Mutakhir ini, kita dikejut dengan laporan dari QS World Ranking University yang melaporkan kedudukan beberapa universiti tempatan kita yang dianggap universiti elit tetapi mendapat kedudukan yang mengaibkan dan memalukan. Sebagai dalil kepada keaiban ini, Universiti Malaya di kedudukan ke-246 terbaik antara kesemua institusi pengajian tinggi, dituruti dengan Universiti Sains Malaysia di tempat ke-307, Universiti Kebangsaan Malaysia ke-309 dan Universiti Putra Malaysia tempat ke-364. Satu pencapaian yang sangat boleh dibanggakan dikalangan yang tercorot. Di manakah letaknya kelompongan sehingga impaknya kepada nanah yang kian jijik dan mengaibkan yang boleh kita saksikan? Tidakkah penyakit ini tidak menginsafkan kita sebagai entiti yang mengisi kebanyakkan ruang lingkup institusi-institusi pengajian tinggi?

Usah kita berbicara tentang sistem pendidikan yang mungkin kudung dan tidak bermaya, usah kita berdiskusi tentang prasarana-prasarana yang mungkin kondisinya boleh dipersoalkan, tapi marilah sama-sama kita berbincang dan merancang segala kepincangan yang berlaku dalam diri kita.

Orang kata, ‘golongan pemuda sebagai golongan pelapis yang akan meneruskan mata rantai perjuangan pejuang-pejuang kita sekarang’. Ada juga orang kata ‘golongan remaja sebagai pewaris yang akan mewarisi tampuk pimpinan negara suatu hari nanti’. Adakah ia hanya sekadar slogan dan komestik? Satu isu yang agak sinis tetapi perlu dibicarakan secara komprehensif dan kolektif supaya natijahnya, dapat memberi inspirasi kepada semua golongan muda yang mungkin masih terkapai-kapai mencari destinasi dirinya sendiri.

Insyallah, kita akan menyelongkar dan membongkar sedikit demi sedikit isu-isu menarik ini.

0 comments: