Insyallah pada ruang dan peluang ini, kita akan cuba menghurai dan merungkai dua kalimah yang seakan mirip pada sebutan tetapi berbeza pada pengkonotasian.
Imam Ghazali ada merakamkan, manusia pada fitrahnya di dunia ini akan mengejar empat perkara,iaitu kasih sayang, keamanan, keadilan dan kesempurnaan. Saya ingin mengikat keempat-empat kenyataan tersebut dengan maudu’(topik) kita pada kali ini, Bebas vs Tindas. Stigma kehidupan kita di pentas dunia ini diwarnai dengan kerencaman sifat dan tabiat manusia. Hakikatnya, kunci kepada kejayaan keempat-empat subjek itu adalah kebebasan dari pelbagai dimensi dan paksi kehidupan. Tetapi apa yang pelik dan jeliknya, masih terdapat manusia yang petah berkata kebebasan tetapi melatah melakukan penindasan.
“sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan”
As-Saff, Ayat 3.
‘Ditelan pahit, dibuang sayang’ , begitulah sedikit tasawwur tentang perasaan yang mendarah daging dalam hati ini. Seolah-olah kebebasan yang dilaung-laung selama ini, hanya pergi begitu sahaja ditiup angin. Kebebasan yang ingin kita sama-sama perhati dan teliti ini masih lagi berkisar tentang pilihanraya kampus, di negara kita ini. Mungkin inilah yang dikatakan Kebebasan Dalam Penindasan :
1. Istilah Pilihan Raya Kampus diarah ditukar kepada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Istilah pilihan raya dikatakan adalah setanding dengan Pilihan Raya Umum dan bakal membangkitkan semangat juang mahasiswa.
Oleh itu kalimat ini wajar dihapuskan supaya mahasiswa tidak dapat merasa seperti suasana pilihan raya di luar kampus. Cukuplah dengan kalimat pemilihan, seperti memilih ketua kelas semasa sekolah rendah dan tadika sahaja.
2. Poster-poster calon hanya dikeluarkan HEP. Calon dilarang mencetak poster sendiri. Kreativiti calon tidak perlu dan dilarang. Cukuplah menunggu poster bersaiz A4 dari HEP. Adakah ini cara HEP membentuk kepimpinan dan kreativiti mahasiswa? Semua disediakan, mahasiswa dilayan seperti robot layaknya!
3. Perkataan 'mahasiswa' ditukar kepada 'pelajar' sahaja. Istilah mahasiswa boleh membangkit rasa 'self esteem' yang tinggi di kalangan mahasiswa.
Oleh itu semua universiti menggunakan nama 'Majlis Perwakilan Pelajar' bukan lagi 'Majlis Perwakilan Mahasiswa'.
Perbelanjaan yang besar untuk menganjurkan kursus calon dan jentera Aspirasi Kerajaan sebagai persiapan PRK.
Sebaliknya calon bukan Aspirasi Kerajaan dianaktirikan dan tiada langsung bajet untuk kursus calon apatah lagi untuk jentera mereka. Jelas sekali mahasiswa telah diperbodohkan. Apakah permainan padang yang tidak sama rata ini adil dan 'gentleman'?
4. Semua calon bukan Aspirasi Kerajaan tidak dibenarkan bertanding secara berkumpulan kerana ini akan membentuk kekuatan kepada mereka. Calon bukan Aspirasi hanya dibenarkan bertanding atas kapasiti individu. Begitulah "double standard" kepada mahasiswa bukan Aspirasi Kerajaan.
Sesungguhnya, perkara ini akan mendatangkan celaru dan keliru di kalangan ramai orang dan natijahnya persoalan-persoalan ini perlu dibincang untuk memahami kebejatan ini:
1. Mengapakah PRK tidak diadakan serentak pada tahun ini, sebaliknya dilanjutkan ke bulan Januari 2009? Umumnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti jelas menyatakan, "Hendaklah jawatan Majlis Perwakilan Pelajar dipegang selama satu tahun sahaja."
Dalam kaedah tafsiran undang-undang perkataan "HENDAKLAH" membawa maksud mandatori. Tidak dapat tidak, tempoh perjawatan MPP dengan ini WAJIB berakhir apabila tempoh penggal merekacukup satu tahun.
Perkataan "HENDAKLAH" tidak boleh ditafsirkan secara bebas mengikut selera. Tafsiran sebegini hanya boleh dimungkinkan sekiranya ada proviso yang membenarkan kelonggaran peruntukan tersebut dan pemanjangan tempoh MPP dengan memberi kuasa kepada Naib Canselor atau pihak lain untuk membuat demikian.
Namun jawatan MPP dilanjutkan melebihi setahun iaitu Januari 2009.
2. Mengapakah perasaan takut dan bimbang dengan liputan media dan perhatian masyarakat terhadap PRK dan kebangkitan mahasiswa? Sepatutnya kita berbangga kerana mahasiswa menjadi perhatian dan tumpuan media dan rakyat.
Bukankah mahasiswa juga mempunyai hak untuk masyarakat mendengar suara mereka? Bukankah kita juga mahu mahasiswa mampu menjadi juru bicara ummah? Atau sebenarnya hanya ingin melahirkan 'mahasiswa itik gembol-gembol' tukang angguk-angguk dan tukang geleng-geleng?
3. Apakah visi dan misi kita sebenarnya dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan dan mencapai tahap global? Apakah dirasakan polisi terbaru terutama melibatkan PRK ini bakal melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah seperti yang digembar-gemburkan selama ini?
4. Mengapakah restu diberi dan menggalakkan mahasiswa UiTM mengadakan demonstrasi bila Menteri Besar Selangor mencadangkan supaya sedikit kuota diberi kepada mahasiswa bukan bumiputera?
Ironinya, dalam masa sama mahasiswa dilarang mengadakan demonstrasi dalam isu-isu yang lebih relevan.
5. Mengapa begitu ditekan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedangkan mereka juga mempunyai hak dan pendirian untuk tidak menyokong calon Aspirasi Kerajaan?
Tentu kita masih ingat bagaimana pejabat MPP UIAM dikunci berbulan lamanya semata-mata kerana mereka tidak condong kepada Aspirasi Kerajaan. Berlaku adillah kepada semua mahasiswa. Janganlah peralatkan mahasiswa untuk kepentingan politik sempit sahaja.
Jelas, kalau beginilah bentuk peta politik yang cuba dilakar oleh arkitek politik kampungan, tidak syak dan was-was lagi, keanjalan untuk menegakkan impian untuk mencapai empat subjek yang dinukilkan diawal muqadimmah iaitu kasih sayang, keamanan, keadilan dan kesempurnaan seumpama ‘menegakkan benang yang basah’ disebabkan kebejatan sistem yang telah diprogramkan dan kerencatan kesedaran dikalangan golongan sasar.
0 comments:
Post a Comment