Recent Posts

September 02, 2010

Kemenangan Syawal : Isu di Sebalik Wajah.


KEMENANGAN SYAWAL : ISU DI SEBALIK WAJAH
Oleh Hasmadi bin Hasbi



Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah sayugianya bulan Syawal merupakan bulan kemenangan kepada umat Islam setelah sebulan ditarbiyyah di dalam Universiti Ramadhan yang di dalamnya beruratkan pelbagai ibadah dan berakarkan banyak kewajipan sebagai alat bantu tarbiyyah rohani dan jasmani. Rasulullah bersabda :

"Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari keduanya, iaitu hari Raya Aidilfitri & Aidiladha"

Namun, ironinya, acapkali sambutan Aidilfitri dibobrokkan dengan beberapa amalan-amalan yang memarginisasikan umat Islam daripada merasai roh Syawal yang sebenar. Aidilfitri memberi tindak balas berantai kepada umat Islam, seperti kebiasaannya, di fasa-fasa terakhir Ramadhan, umat Islam sibuk mengimarahkan dan memakmurkan pusat-pusat membeli-belah berbanding masjid-masjid & surau-surau untuk merebut tawaran Lailatul Qadar yang dihadiahkan Allah kepada makhluknya.

Selain itu, bulan Aidilfitri juga dijadikan kempen 'Jom Membazir' di pusat-pusat membeli-belah dengan tawaran potongan harga mengiurkan dan mencairkan para pembeli berbanding bulan Ramadhan sebagai kempen 'Jom Bersedekah' terutama kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam hal yang lain, siaran-siaran televisyen dan radio juga mula mempakejkan rancangan-rancangan hiburan nyanyian,drama, dan movie yang mencerita dan memberitakan mesej yang kurang bermanfaat berbanding siaran-siaran yang mengetengahkan fadhilat Syawal serta laungan-laungan takbir memuji Allah.

Bulan Syawal juga seringkali dijadikan waktu untuk 'Lepas Geram' setelah sebulan berpuasa sehingga melupakan satu amalan sunat yang amat diseru oleh Rasulullah iaitu berpuasa enam hari dalam Bulan Syawal. Sabda Rasulullah :

"Sesiapa yang berpuasa di Bulan Ramadhan dan kemudian diikuti 6 hari di Bulan Syawal maka perumpamaannya seperti ia berpuasa sepanjang tahun"

Itulah antara beberapa study case yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita dalam menyambut kehadiran Syawal. Mungkin inilah juga yang berlaku kepada tentera Islam dalam peristiwa Perang Uhud yang tertipu dengan kemenangan yang juga berlaku dalam bulan Syawal.

Perang Uhud: Kalah dalam Menang
Peperangan yang memberi tamparan dan pengajaran yang amat bernilai bagi umat Islam. Umat Islam yang mendapat kemenangan yang besar pada awalnya tetapi bertukar menjadi kacau-bilau ditewaskan oleh tentera Quraisy dengan sekelip mata. Dinamakan Perang Uhud kerana peperangan ini berlaku di sebuah tempat yang dinamakan Uhud dan dikelilingi dengan bukit (Bukit Uhud) pada tahun 3 Hijrah. Pihak Kafir Quraisy begitu bernafsu untuk membalas dendam atas kekalahan mereka di Perang Badar tahun sebelumnya.

Rasulullah SAW telah memerintahkan tentera pemanah Islam supaya tidak meninggalkan posisi masing-masing walau apapun berlaku. Disebabkan terpedaya dengan banyaknya harta rampasan perang, maka mereka membelakangkan arahan Rasulullah SAW dan meninggalkan bukit untuk mengutip harta rampasan. Maka tentera kafir Quraisy berpatah balik dan mengambil mengambil posisi yang mereka tinggalkan dan mula menghujankan panah kepada tentera Islam yang sedang leka mengumpulkan harta rampasan perang. Kacau bilau tentera Islam dan banyak sahabat yang gugur syahid termasuklah Hamzah Asadullah, bapa saudara Rasulullah SAW.

Segera Rasulullah SAW menyusun semula tentera Islam dan berjaya menyekat kemaraan tentera kafir. Tamparan kepada umat Islam bagaimana kemenangan bertukar kekalahan di saat tak sepatutnya kalah. Pengakaran kepada para sahabat dan umat Islam seluruhnya bahawa kita perlulah sangat taat kepada Allah dan Rasul tidak cukup hanya dengan percaya sahaja.

Perang Khandak : Dalamnya Iman Umat Islam sedalam Parit Khandak
Perang Khandak telah berlaku pada tahun kelima Hijrah. Ia juga dinamakan dengan peperangan Ahzab. Khandak membawa erti 'Parit'. Nama ini diambil sempena peristiwa umat Islam bersama-sama Rasulullah SAW telah menggali parit di sekililing Madinah untuk menghalang tentera kuffar dari melanggar Madinah.

Dan dinamakan juga dengan peperangan Ahzab yang membawa erti 'bersekutu' kerana beberapa puak Quraisy telah bergabung termasuklah beberapa puak Yahudi telah membentuk satu pakatan tentera bersekutu untuk melanggar Madinah dan memerangi umat Islam. Peperangan ini berlaku pada tahun ke-5 Hijrah. peperangan ini berakhir dengan kemenangan tentera Islam dengan bantuan Allah SWT.

Perang Hunain : Menang dalam Kalah
Perang Hunain terjadi pada 3 Syaawal tahun ke-8 Hijrah, 15 hari setelah peristiwa pembukaan Kota Makkah. Selepas Perang Uhud, umat Islam sekali lagi telah mendapat pengajaran yang amat bernilai iaitu kuantiti bukan faktor utama kemenangan.

Semasa perang Hunain, diriwayatkan jumlah umat Islam yang turut sama ikut keluar berperang tidak kurang dari 10 000 dan tentera kuffar hanyalah 2 puak kecil yang masih degil menentang Islam (puak Hawazan & puak Tsaqif). Dengan jumlah tentera yang ramai, umat Islam sudah mula berasa bongkak dan takabbur sehingga lupa tentang pertolongan Allah SWT.

Allah telah menguji tentera Islam dengan jebakan (helah) tentera musuh dan tentera Islam telah masuk perangkap. Kacau bilau dan ramai yang melarikan diri. Tentera Islam terpaksa berundur dan menyusun strategi dan bertahan sehinggalah Allah SWT mengurniakan kemenangan untuk tentera Islam.

Kelahiran Imam Bukhari : Talian Hayat Hadis-hadis Rasulullah
RH Muhammad ibnu Ismail adalah nama sebenar Imam Bukhari RH. Beliau lahir di Bukhara, Uzbekistan pada tahun 194 H dan meninggal dunia pada 256H. Kitab beliau yang terkenal ialah Shahih Bukahri. Sehingga kini beliau masih menduduki carta tempat pertama 'Ulama Hadis Nombor Satu'.

Seluruh hidup beliau dihabiskan untuk mengkaji, menghafaz dan mencatit hadis-hadis Rasulullah SAW. Hadis-hadis yang diriwayatkan adalah hadis-hadis shahih.

Kesimpulan :
  1. Saya mulakan post ini dengan beberapa real case yang perlu kita sedar untuk menguji keabsahan supaya kita kaget dari kealphaan kita.
  2. Kemudian, saya susuli dengan beberapa rentetan sirah yang berlaku dalam bulan Syawal supaya kita mengambil pengajaran daripadanya.
  3. Setiap maudhu' (tajuk) peristiwa tersebut saya gandingkan beberapa naratif dan persoalan supaya mesej yang cuba disampaikan dalam setiap peristiwa itu dapat diterima dengan tegas dan jelas.
  4. Marilah sama-sama kita melombong makna kemenangan yang sebenar daripada penerokaan kisah-kisah Rasulullah, para sahabat dan pejuang-pejuang Islam yang terdahulu, dan kita coretkan kembali kemenangan itu pada masa kini.
  5. Sesungguhnya kemenangan Islam itu sesuatu yang PASTI , mahukah kita mencalonkan diri kita untuk menjadi salah seorang yang mencari kemenangan itu?

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin




Ikhlas Daripada :

Hasmadi bin Hasbi
Kejuruteraan Awam
Tahun 4 Semester 1
Universiti Teknologi PETRONAS

0 comments: