Recent Posts

June 02, 2009

Blog. Satu Demokrasi Atau Hipokrasi??


Assalamualaikum..

Satu topik yang mengundang perasaan skeptis sebelum saya memutuskan untuk melontarkan beberapa terjahan pendapat. Satu isu yang besar dan berat yang memberi satu dampak tsunami modenisasi kepada landskap kehidupan global.

'Blog. Satu Demokrasi Atau Hipokrasi?'

Satu kenyataan yang cukup mengundang kerencaman persepsi tidak kira daripada golongan marhaen rakyat, gengsi blogger, golongan profesional , aktivis masyarakat hinggalah kepada Pak Mat yang menjual kopi di warung pun punya naratif tersendiri tentang isu ini. Saya cuba berdiri di pihak yang transparensi dan tidak condong kepada mana-mana pihak. Satu perkara yang perlu dibincangkan secara telus dan serius.

Secara fundamentalnya, lebih afdal kiranya andai kita berbicara kes demi kes agar intensiti kefahaman kita dapat berkembang secara rasional dan berhujah.

Persoalan pertama, Mengapa kita berblog? Berdasarkan pengamatan saya, pelbagai alasan diberi, sebagai satu diari untuk dikongsi bersama pembaca, wadah tempat berkongsi idea dan banyak lagi kalau kita nak senaraikan. Tetapi kita perlu berbalik kepada graviti sebenar, ke arah manapun entri-entri kita itu dilontarkan, untuk tujuan apapun post-post itu ditulis, akhirnya ia akan jatuh juga kepada pembaca.

"..kita tidak berminat tentang siapa yang salah, tetapi apa masalah yang timbul, dan bagaimana cara menyelesaikannya itu lebih penting."

Ada pepatah mengatakan Bloggers ini seperti 'Baling Batu Sembunyi Tangan'. Mereka kadangkala menggunakan nama samaran untuk menopengkan diri mereka dan berkomentar tentang satu-satu perkara berdekorasikan hujah-hujah mereka yang tersendiri untuk menarik perhatian dan menyakinkan para pembaca. Mereka berhujah berdasarkan dalil dan bukti yang tidak bersifat empirikal, dan kadangkala mereka berbicara berdasarkan hipotesis dan pandangan peribadi semata yang sudah tentu diadunkan dengan unsur-unsur bias dan tidak telus. Untuk meneutralkan keadaan ini, ada kenyataan mengatakan bloggers hadir atas hujah 'Mereka menulis bukan kerana nama'. Tetapi kejengkelan timbul kerana kalau benar mereka telus menulis kerana mengatakan pendapat, memaparkan kebenaran dan keadilan, kenapa mereka perlu berselindung di balik nama samaran. Kroni ini menjawab, kerana bloggers juga manusia, dan manusia juga boleh wujud dalam bentuk Mat Rempit, Mat Buku dan sebagainya, muka dan nama penulis bukan kayu pengukurnya, kerana kita tidak berminat tentang siapa yang salah, tetapi apa masalah yang timbul, dan bagaimana cara menyelesaikannya itu lebih penting.

Pada pandangan saya, berdasarkan pengalaman membaca blog-blog, memang wujud bloggers tegar dan juga tidak. Bloggers yang tegar dan prolifik ini sering memasukkan entri-entri membincangkan topik-topik di blognya."...kadangkala blog juga dijadikan talian hayat untuk memomokkan pihak tertentu dengan cercaan, celahan dan cacian yang tidak bertempat sehingga ini memacetkan perkembangan intelektualan pembaca..." Tetapi yang menjadi kekesalan saya, ialah berlaku terlalu banyak lambakan blog, sehingga kadangkala roh atau manfaat daripada blog itu tidak sampai kepada pembaca. Dan kadangkala blog juga dijadikan talian hayat untuk memomokkan pihak tertentu dengan cercaan, celahan dan cacian yang tidak bertempat sehingga ini memacetkan perkembangan intelektualan pembaca itu sendiri. Kadangkala, genre yang cuba ditampilkan dalam blog mereka terlalu bersifat peribadi sehingga seolah-olah blog tempat untuk mengaibkan orang dan mencari siapa yang salah. Secara prinsipnya, yang paling penting bukanlah kita mencari siapa yang salah, tetapi apa yang salah. Kalau kita cuba berdebat siapa yang salah, sampai bilapun kita tidak akan menemukan jawapannya.

Saya akui, gelombang globalisasi dan modenisasi itu tidak dapat dibendung lagi. Kita tidak akan memandang ke belakang dan kembali ke pangkal sebelum globalisasi bermula. Cumanya sekarang, saya sedikit terkilan dengan budaya baru ini yang kian menjadikan kehidupan manusia sekarang semakin kronik dan kritikal. Saya faham dengan prinsip dan teori demokrasi itu yang memberi kebebasan bersuara kepada semua orang, tetapi janganlah kita gunakan wasilah blog ini sehingga kita menghiraukan dan mengembirikan natijahnya , sehingga kita seolah-olah menerapkan budaya fitnah bukannya budaya hikmah.

Isu-isu yang dibangkitkan pun hanya sekadar propaganda semata tanpa menyediakan satu alternatif yang solid kepada permasalahan tersebut. Hanya tahu menuding jari dan enggan meleburkan dirinya masuk bersama menyelesaikan masalah tersebut. Impaknya, kenyataan itu hanya tergencat di situ tetapi membuatkan masyarakat marhaen bercempera. Seolah-olah blog ini tempat peperangan untuk menyerang seteru masing-masing.

Rasanya tidak cukup tangan membincangkan perihal spesies-spesies blog yang pelbagai yang hidup di bumi internet ini. Kini, saya ingin beralih topik tentang kewajaran berblog. Adakah berblog ini satu interpretasi kepada globalisasi itu sendiri? Mungkin jawapannya jelas dan tuntas 'Ya' tanpa bantahan. Saya belum bertemu kelibat jawapan untuk membantah jawapan ini. Tetapi seperti yang dijangkakan, ianya mudah disalahgunakan bahkan diliwat dan diperkosa oleh sesetengah pihak demi kepentingan sendiri.

Mungkin ada pembaca yang tidak bersetuju dengan saya, kerana bloggers"Kita tidak mahu blog menyebabkan kemuncupan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri para pembaca." menulis kerana ingin menyampaikan mesej mereka kepada masyarakat. Itu saya akur dan akui. Tetapi yang saya persoalkan ialah bagaimana cara penyampaian mesej itu sehingga mengkelasduakan nilai-nilai murni yang sepatutnya kita tampilkan dalam setiap post mereka. Kita tidak mahu blog menyebabkan kemuncupan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri para pembaca. Bagaimana nasib blog-blog lima atau sepuluh tahun akan datang kalau penerapan norma-norma kemanusiaan dalam penulisan itu tidak dibudayakan dari sekarang. Adakah ianya akan membuahkan kesan negatif semata tanpa sedikit pun manfaat kepada masyarakat?

Akhirnya, kepada bloggers, teruskanlah berkarya dan memberi pendapat tanpa menyudutkan kesannya kepada para pembaca.


'Hidup Blog Untuk Semua'

Wasalam...

Hasmadi bin Hasbi
1.44 pagi
3,Jun,2009
Meja Tulis Rumah Putatan
Kota Kinabalu, Sabah.



2 comments:

Human create and design technology. However, technology inversely reshape human behavior.

Now, the time we have to humanize the human being...