Recent Posts

November 08, 2009

UNIVERSITI.Kubu atau Kubur Mahasiswa??

Assalamualaikum wbt,

Seolah-olah artikel ini adalah artikel penutup dan perpisahan, tetapi, ini hanyalah sedikit aliran harapan kepada pembaca terutama kepada marhaen kampus tercinta iaitu Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). 'Sekejap je masa berlalu, macam baru semalam masuk UTP, nie, dah nak tinggalkan UTP dah..' , satu ungkapan skema dan bersifat mandatori untuk diungkapkan bagi mereka yang ingin meninggalkan kampus terutama untuk pergi berpraktikal selama lapan bulan dan juga bagi mereka yang telah bergraduasi. Begitulah hati ini berkata tatkala hendak meningalkan kampus ini kurang sebulan dari sekarang. Kalau nak dikatakan perasaan, semestinya sedih berbaur gembira. Sedih sebab terpaksa meninggalkan kampus untuk lapan bulan, tetapi gembira kerana tidak sabar untuk mengaut sebanyak pengalaman dan pengetahuan di luar kampus. Hati ini ghairah untuk menjengah kehidupan sebenar hidup di tengah-tengah masyarakat di luar kampus. Lima semester atau dua tahun setengah berada di bumi UTP sudah tentu banyak yang telah dilalui. Sudah tentu sebagai seorang yang berkerja secara langsung dan tidak langsung dalam sistem pentadbiran UTP, daripada peringkat pentadbiran, pengurusan sehinggalah kepada peringkat perlaksanaan, daripada seorang pemerhati, pengkritik, sehinggalah kepada peneraju dan penggerak, sudah tentu, diri ini lebih memahami asam garam bekerja dengan warga dalam dan juga luar kampus. Tapi dengan ikhlas hati ini merasakan sesuatu yang tidak lengkap dan hilang dari diri sebagai seorang yang bergelar mahasiswa.

'Well-Rounded Graduates'. Adakah Ia Satu Retorik??

Terdapat tujuh elemen/trait yang telah digarisbawahkan oleh pihak pentadbiran UTP yang perlu para pelajarnya capai untuk melahirkan graduan korporat yang serba boleh dan dapat memuaskan permintaan pasaran kerjaya masakini. Saya bukanlah ingin membentangkan tentang 'Well-Rounded Graduates', saya secara ikhlasnya sangat bersetuju dan menyokong penuh apa yang cuba dibawa oleh pihak pentadbir UTP ini. Tetapi saya masih ingin mempertikaikan sejauh mana apa yang cuba didoktrinkan oleh pihak UTP ini kepada pada pelajarnya menyerap sedalam-dalamnya dan terpatri sekuat-kuatnya dalam diri para pelajarnya dan akhirnya diprojeksikan dalam amalan seharian. Tidak dinafikan, UTP mampu melahirkan graduan-graduan yang kredibel, kompeten dan lengkap dengan pakej dan mempunyai karismanya yang tersendiri, sehingga mampu melonjakkan nama UTP di satu tahap yang boleh dibanggakan dek kejayaan-kejayaan yang dicapai. Namun, itu dari segi kualiti, dari segi kuantiti berapa ramaikah yang mampu menghiaskan diri mereka dengan tujuh elemen yang telah ditandahitamkan dalam Model 'Well-Rounded Graduates' itu? Kita tidak mahu hanya seorang, dua orang atau sepuluh orang yang hebat sahaja, tetapi kita hendak semua menjadi hebat sehebat Chancellor UTP, Tun Dr Mahathir bin Mohamad.

Polisi Yang Menjerat Mahasiswa
Polisi, dasar, peraturan, akta atau apa jua istilah yang menerangkan limitasi dan sempadan batasan perlakuan manusia merupakan satu ketetapan yang bertujuan untuk mengorientasikan manusia kepada hidup yang lebih bertamadun. Bagi pelajar universiti, AUKU(Versi Melayu) begitu sinomin terutama dikalangan aktivis Mahasiswa, yang telah digubal pada 27,April,1971 dan telah dibuat pindaan beberapa kali dan yang terbaru pada 8,Januari,2009. Sedikit berbeza dengan Mahasiswa yang datang dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), mereka terikat dengan AKTA 555(Versi Melayu / Versi English) yang telah digubal pada tahun 1996 dan baru-baru ini telah dibuat pindaan pada awal tahun 2009.

Pindaan AUKU 2009 menyaksikan sedikit keterbukaan yang memberi sedikit ruang kepada Mahasiswa untuk bernafas dan merasa sendiri angin badai kehidupan di luar kampus dengan ruang dan peluang untuk berpatisipasi dengan mana-mana persatuan ,pertubuhan, badan atau kumpulan orang sama ada atau tidak ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, sama ada di dalam atau di luar Malaysia. Kenyataan ini tidak termasuk :
  1. mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau luar Malaysia,
  2. pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau luar Malaysia,
  3. mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang telah ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga, secara bertulis kepada Naib Canselor sebagai tidak sesuai.
Selain daripada itu, pindaan pada Seksyen 16A dan 16B juga dilihat memberi sedikit keselesaan kepada Mahasiswa untuk melontarkan cadangan dan pandangan mereka tanpa sekatan daripada AUKU. Kenyataannya itu menyebut, seorang Mahasiswa tidak boleh dihalang daripada:
  1. membuat pernyataan mengenai sesuatu perkara akademik yang berhubungan dengan perkara yang pelajar itu terlibat dalam pengajian atau penyelidikannya, atau
  2. menyatakan sendiri mengenai perkara dalam perenggan (a) pada sesuatu seminar, simposium atau majlis seumpamanya yang tidak dianjurkan atau ditaja oleh mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahai undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, atau di mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosan pelajar atau Universiti itu.
Tetapi janganlah kita terlalu taksub terhadap peraturan-peraturan yang dicipta oleh manusia, kerana setiap yang bernama makhluk Tuhan akan melakukan kesilapan sekecil walau, pasti akan kita ketemu lompong, kurap, kudis, atau cacat dalam sistem ciptaan manusia yang hina lagi pelupa. Walaupun begitu, tidak dinafikan, perlunya satu Akta ataupun peraturan yang dapat mengawal tatatertib dan tatacara Mahasiswa supaya apa juga tindakan mereka atas dasar ilmiah dan dalam sempadan kemanusiaan. Justeru, kita sebagai marhaen atau rakyat, seharusnya menjadi elemen 'Check & Balance' terhadap sesuatu dasar yang akan digazetkan oleh pihak pentadbir. Begitu juga sebagai Mahasiswa, kita tidak dapat lari daripada akta-akta yang kadang-kadang 'Indah Khabar dari Rupa', hatta, ada dasar-dasar yang dibentuk memandulkan mahasiswa untuk mengembangkan potensi mahal yang perlu digali dalam diri seorang Mahasiswa. Jadilah seperti sahabat-sahabat Rasulullah yang dilingkari oleh sahabat-sahabat yang menjadi 'Check & Balance' kepada apa yang Rasulullah lakukan, seperti Saidina Umar Al-Khattab, yang acapkali mempertikaikan keputusan Rasulullah demi kebaikan dan kemaslahatan, serta konflik yang berlaku diselesaikan secara berhikmah dan syura', tidak pula membawa perpecahan umat, dan sebenarnya, perbezaan pendapat dan konflik inilah yang makin menyatukan umat. Contohnya, dalam peristiwa sebelum berlakunya Perang Uhud, Saidina Umar Karamallahu Wajhah (Yang dimuliakan wajahnya) antara figura yang paling kuat menentang keputusan Rasulullah untuk tidak turun ke medan perang dan hanya bertahan dan mempertahankan Kota Madinah seperti yang dicadangkan oleh seorang munafik iaitu Abdullah bin Ubay. Hasil daripada keputusan syura' dan kolektif, maka Rasulullah bersetuju untuk menukar strategi perang untuk turun ke medan perang, berhadapan sendiri dengan musuh di Bukit Uhud.

Begitulah juga kita sebagai Mahasiswa, sebagai satu entiti berguna yang mempunyai, idealisme, aktivitisme, dan intelektualisme. Kita seharusnya wajib mengeksploitasukan ketiga-tiga elemen yang kita ada ini demi kemaslahatan umat dan Universiti sebagai wadah kepada perjuangan keadilan dan kebenaran.

Lunturnya Bakat Kepimpinan Mahasiswa
Se'GAH' namanya yang disebut-sebut sebagai Menara Gading, seharusnya universiti menjadi kilang yang melahirkan produk pemimpin yang mempunyai model kepimpinan yang unggul dan terpuji. Ramai mantan-mantan pemimpin pelajar ketika di sekolah menengah yang melanjutkan pelajaran ke institut-institut pengajian tinggi, cukup daripada bekas-bekas pengerusi kelab dan persatuan, pengawas hinggahlah kepada ketua pelajar, namun seolah-olah, kebanyakkan mereka ini menghibernasikan diri , dan seolah-olah universiti ini lingkaran besi yang memenjara bakat kepimpinan besar mereka. Apakah, persekitaran universiti mereka tidak cukup merangsangkan enzim kepimpinan dalam diri mereka.

Lemahnya Stamina Aktivitisme Mahasiswa
Pada pengamatan saya, marhaen ataupun Mahasiswa dalam skop Universiti, dapat diklasifikasikan kepada empat golongan dalam mendepani cabaran globalisasi.
  1. Pertama, mereka yang langsung tidak sensitif dan sedar terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Mereka hanya hidup dengan kehidupan mereka semata
  2. Kedua, mereka yang tahu, terdapat sedikit antena dalam diri mereka untuk mengesan apa yang berlaku di sekeliling mereka, tetapi hanya menjadi pemerhati dan penonton yang setia terhadap setiap drama yang berlaku dalam lakonan hidup ini.
  3. Ketiga, mereka yang mempunyai sensitiviti yang tinggi dan ambik cakne secara serius terhadap apa yang telah, sedang dan akan berlaku, serta mereka ini responsif, pro-aktif, dan menjadi pendokong kepada gerakan untuk mencapai idealisme yang mereka pegang.
  4. Keempat, mereka seperti golongan ketiga, bahkan mereka lebih daripada mereka, mereka ini adalah golongan yang menjadi nadi penggerak, peneraju, 'think thanker', 'master mind' dan tonggak kepada gerakan sesuatu idealisme.
Universiti Al-Azhar,Mesir

Universiti Al-Azhar sebagai perut yang mengandung dan melahirkan banyak ilmuwan yang berpengaruh di seluruh dunia pernah mengalami waktu pasang surutnya.Mesir tempat letaknya Universiti tertua di dunia (terletak di Jauhar Al-Khatib, dibina pada 7 Ramadhan 361 bersamaan 22 Jun 972 Masihi) itu sendiri bermaksud mengembangkan ilmu dan mengembalikan kejayaan masyarakat Islam. Ribuan Mahasiswa dikirim ke berbagai pusat peradaban ilmu untuk mengembangkan di dalam negeri sehingga ilmu akan tersebar ke pelbagai penjuru dunia. Setelah kemajuan pesat sejak Dinasti Fatimiah, mengalami kemunduran di zaman Kerajaan Uthmaniah. Sehingga munculnya golongan pembaharu yang dipelopori oleh Ilmuwan Muhammad Abduh yang meninggal pada tahun 1905. Gelombang Idealismenya diteruskan oleh murid-murid dan sahabat-sahabatnya sehingga mampu menggetarkan dunia dan menggentarkan musuh. Beliau bukan sahaja Ilmuwan yang intelek dalam bidang Fizik, tetapi beliau juga adalah seorang aktivis yang mempunyai pemikiran dan idealismenya yang tersendiri.

Ironinya kini, berapa ramai di kalangan Mahasiswa yang mampu memimpin mahasiswa mahupun masyarakat setempatnya untuk bersama-samanya dalam satu sof berjuang menentang sesuatu yang difikirkan jelik dan satu reformasi perlu dilakukan ke atasnya? Dimanakah kita di antara empat golongan seperti yang dicatat di atas?

Terobek Nilai Kemanusiaan dan Jatidiri Mahasiswa
MAHASISWA. Mempunyai auranya yang tersendiri. Satu populasi yang mempunyai ketinggian ilmu yang hebat. Tapi ,apa yang terjadi kepada Mahasiswa kini? Maruahnya dicabuli bilamana mereka sendiri tidak lagi menbawa imej seorang yang berilmu dan berpengetahuan luas dalam disiplin ilmu masing-masing. Universiti sebagai satu premis dan markas tempat mereka dididik, dan ditarbiyyah sebelum ditauliah dengan segulung ijazah seharusnya perlu diliberalisasikan daripada unsur-unsur yang tidak berbentuk ilmiah. Apa yang disaksikan, seolah-olah universiti menjadi sarang hedonism, dan budaya-budaya melampau yang bebas , seperti tempat berbulan madu pasangan-pasangan romantis Romeo dan Juliet, perpustakaan menjadi taman bunga untuk mereka melempiaskan perasaan mereka kepada kekasih hati, ditambah lagi dengan pakaian yang mengajikan pemandangan yang indah, dengan lurah-lurah yang menakjubkan, bentuk tubuh yang kadang-kadang tidak mengiurkan pun, terlalu murah harga diri. ASTAGFIRULLAH AL AZIM...

Malu bila melihat bangunan universiti kelas pertama, tapi akhlak dan perilaku kelas ketiga. Lain pula halnya, dengan segolongan Mahasiswa yang tidak pandai menghormati orang lain dek merasakan diri sudah hebat. Ada yang tergamak, menghina pensyarah. Eh!! Hebat sangat ker kita ni, sampai sesuka hati mencerca pensyarah. 'Apalah pensyarah nie, tak pandai mengajarlah..' (bukan pensyarah yang tidak pandai mengajar, kita yang kurang ajar), 'Pensyarah nie, suka betul menyusahkan orang..' , berjilid-jilid lagilah kata-kata kesat yang pernah kita katakan kepada pensyarah. Dengan sikap, suka meniru dalam peperiksaan, test, dll, macam mana nak dapat keberkatan ilmu.

Masa yang terluang pula digunakan dengan banyak komitmen-komitmen yang tidak berfaedah, tiada keberkatan masa langsung. Apalah salah kiranya kalau masa yang terluang digunakan untuk sembahyang berjemaah di masjid ke, riadah ke, membaca buku-buku ilmiah, dan sebagainya. Janganlah hanya dengan membazir wang dengan ber'shopping' , tengok wayang, atau main 'game' memanjang.

Kita dah besar dah, mumaiz, dah baligh dah pun, dah boleh jadi bapa orang dah, jangan jadi bapa beruang pula, bolehlah kita berfikir secara matang, bezakan antara yang baik dan buruk, jangan terpengaruh sangat dengan permainan dunia, inilah kesan globalisasi. Kita perlu sedar, sekarang ini kita sedang ditarbiyyah dengan fahaman globalisasi, semuanya tanpa sempadan, batas pergaulan tanpa sempadan, berpakaian tanpa sempadan. Apa nak jadi dengan dunia.

'Pandai jer tak cukup, kena bijak. Ramai yang pandai, tapi tak ramai yang bijak..'

Kalau nak mandi, yang pertama teluk,
Kedua barulah pantai,
Kalau nak jadi Mahasiswa, yang pertama hendaklah elok,
Kedua barulah pandai.

Uniknya Masyarakat Universiti
Menariknya universiti ini, adalah himpunan masyarakat ilmiah. Kepelbagaiannya bukanlah dari segi fizikal, jantina, bangsa, latarbelakang hidup, agama, ideologi semata, bahkan kepelbagaian dari segi disiplin ilmu juga menjadikan universiti sebagai lubuk intelektual yang mutlak. Nama-nama universiti yang hebat sehebat Universiti Al-Azhar, University Cambridge dan beberapa lagi inilah pencetus kepada revolusi sesuatu tamadun.

Penyusutan Nilai Keintelektualan Mahasiswa
(to be updated)

Kemuncupan 'Sense of Belonging' terhadap Universiti
(to be updated)

2 comments:

salam saudara hasmadi.

pasal petikan saudara madi ini menarik. tapi saya ada cadangan.
gambar convofair yang saudara madi letak ini, akan memalukan sesetengah pihak.

seeloknya saudara madi "blur" kan gambar tu, cukuplah kita tau ape berlaku, bukan berniat memalukan mereka yang terlibat.

manusia masing2 ada sikap baik dan buruknya, tidak kurang juga kita. berdakwah itu baik, tetapi, tidak baik berdakwah dengan memburukkan orang tertentunya (dengan nyatanya) (eg: meletak gambar orang tertentu di blog dan menyebut kesalahan mereka), apatah lagi menyatakan

"Mahasiswa, tidak jauh beza dengan rumah-rumah pelacuran, harap, ilmu dan bangunan universiti jer kelas pertama, tetapi akhlak dan perilaku kelas ketiga. Baik hantar kat hutan, hidup dengan binatang-binatang yang tak tahu malu. Mencemarkan martabat Mahasiswa jer."

pendapat saya, ini tidak lari seperti mengumpat orang di belakang orang (tanpa pengetahuan orang lain). Sebaiknya dakwah melalui hikmah dan tauladan. Bukannya melalui kefahaman ideologi yang boleh memburukkan orang lain. Pendapat saya, sudah cukup baik dan beriman sangatkah kita ini untuk menentukan mereka seperti rumah2 pelacuran dan patut dihantar ke hutan, hidup bersama binatang? biarlah Allah SWT membuat pengiraan. kita sekadar menegur dan berdakwah. bukan membuat keputusan.

harap saudara madi boleh ambil tindakan. sekadar renungan dari saya.

p/s: maaf, identiti saya tak dapat saya berikan atas alasan2 tertentu.

Terima kasih atas teguran itu.. Insyallah, saya akan terima secara positif..