Assalamualaikum wbt, bila melihat kembali tarikh post yang terkini adalah 14 Oktober 2010, terasa sudah terlalu lama tidak mengemaskini blog peribadi ini. Memang banyak yang ingin dikongsikan terutamanya aktiviti-aktiviti sepanjang cuti semester yang panjang ini. Ini kali pertama saya dapat balik ke Sabah untuk satu jangka masa yang panjang iaitu lebih satu bulan semenjak melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi PETRONAS pada tahun Julai 2007. Selalunya, saya hanya berkesempatan berada di Sabah sekurang-kurangnya satu atau dua minggu sahaja sebelum balik ke semenanjung untuk komitmen yang lain.
Teringat satu Hadith dalam Kitab Riyadus Solihin karangan Imam Nawawi dalam Bab Mujahadah yang menyatakan :
'Ada dua nikmat yang kebanyakkan manusia tertipu kerananya iaitu kesihatan dan kesempatan.' - Riwayat Bukhari
Alhamdulillah pada 15-16 Disember 2010 yang lepas, saya berkesempatan bermusafir ke Pitas bersama Ustaz Akmal. Tujuan ke Pitas adalah untuk menemani Ustaz yang akan menyampaikan ceramah sempena sambutan Maal Hijrah 1432 H peringkat Daerah Pitas di Dewan Serbaguna Pitas. Seperti pepatah Melayu, 'Sambil menyelam minum air' , ustaz diminta untuk menyampaikan sedikit kuliah Maghrib pada 15 Disember 2010 di masjid baru Pekan Pitas. Alhamdulillah, ramai juga qariah masjid yang mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Akmal.
Cuma, kebanyakkan yang menhadiri kuliah tersebut adalah golongan tua dan berumur. Hanya beberapa kerat sahaja orang muda yang kelihatan sedangkan satu hadith ada menyatakan antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari yang tidak ada satu naungan pun ialah Pemuda yang hatinya mencintai Masjid. Ke manakah pemuda-pemuda lain di Pitas ini?? Satu persoalan yang harus kita insafi.
Selepas kuliah di Masjid, kami pun Check-in di salah sebuah hotel di Pitas. Kebetulan pada malam tersebut adalah perlawanan bola separuh akhir pertama piala Suzuki yang menemukan pasukan Malaysia dan Vietnam ditambah lagi dengan penat perjalanan yang memakan masa lebih kurang tiga jam serta perut yang agak lapar, maka kami memutuskan untuk makan di satu restoran berhampiran dengan hotel kami. Seorang pelayan restoran perempuan yang pada pengamatan saya berumur 18 tahun mengambil tempahan makanan dan minuman. Seolah-olah dia baru bekerja sebagai waiter di restoran itu melihatkan gelagatnya yang sedikit kekok dan gelabah ketika mengambil tempahan kami. Tapi xpa, Practise makes Perfect, Insyallah dengan usaha yang gigih dan iltizam yang kuat, semuanya dapat diatasi.
Keesokkan harinya, 8.30 pagi saya dan Ustaz Akmal telah berada di Dewan Serbaguna. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya tidak duduk diam menjadi pemerhati setia di tempat duduk hadirin, tetapi saya seolah-olah menjadi reporter kerana menjadi photographer sepanjang majlis itu berlangsung. Satu pengalaman yang menarik. Hinggakan ada AJK majlis yang fikir saya adalah wartawan dari mana-mana media. Namun, ternyata keramahan penduduk Pitas membuatkan saya tidak berasa kekok berada di situ. Majlis tamat lebih kurang pada pukul 12.00 tengah hari. Setelah selesai makan tengah hari, kami balik ke hotel dan check-out sebelum meneruskan perjalanan balik ke Sabah.
Walaupun ziarah kami sesingkat dua hari satu malam ke Pitas, namun banyak pengalaman yang dapat diambil dari musafir singkat ini. Antaranya, taraf kehidupan di tahap kemiskinan hampir kesemua penduduk di Pitas seharusnya menginsafkan kita yang mempunyai sedikit kelebihan harta dan kemampuan ini untuk membantu mereka dengan kemudahan infrastruktur yang daif. Cuba bayangkan mesin ATM yang terdekat dengan Pitas adalah di Kota Marudu yang memakan masa 1 jam perjalanan. Ini belum lagi disebut keadaan rumah-rumah usang, hatta masih kelihatan kelibat rumah-rumah yang masih beratapkan Nipah.
1 comments:
Salam ziarah..
Tue la gmbaran dunia skrang,betapa minda remaja islam dpengaruhi oleh hiburan yg tiada sempadan.
Masjid dan majlis2 ilmiah payah dhadiri..Mudah2n kita sma2 meningkatkan iman+istiqamah..insyaAllah
p/s: teringat time jd fasi di skolah menengah pitas n kota marudu..mmg jauh pun..^^
Post a Comment